Tag Archives: Rawatan Sakit Belakang

Urus kesakitan untuk cepat pulih

Aduh..pinggangku sakit semula. Telah hampir seminggu macam nih. Namun apa yang aku buat? Tiada sebutir ubat pun yang kutelan. Senja semalam, sebab terlalu sakit sangat, aku cuma berbaring di atas hot water beg. Kemudian teringat senaman2 dan rawatan fisioterapi yang telah dilakukan kira-kira 2 tahun nan lalu. Mungkin perlu diulangi semula lawatan ke Damansara Specialist Hospital berkenaan. Namun di Utusan Malaysia, aku menemui artikal yang bagus ini.

ARKIB : 20/12/2011

Urus kesakitan untuk cepat pulih

Oleh SHOLINA OSMAN
Gambar MUHAMAD IQBAL ROSLI

Dr. R. Gopinathan menunjukkan punca kesakitan di urat saraf yang boleh menjejaskan kehidupan individu.

PEPATAH ada mengatakan lain padang lain belalang. Begitu juga dengan rasa kesakitan yang dialami oleh setiap individu. Memang berbeza antara satu sama lain.Pakar Bius dan Pakar Pengurusan Penyakit Hospital Pantai, Dr. R. Gopinathan memberitahu, contohnya seperti reaksi yang ditunjukkan oleh seseorang yang mengalami masalah patah pergelangan tangan.

”Ada yang menunjukkan rasa sakit yang sedikit. Ada pula yang akan menganggap keadaan menjadi teruk sekali,” katanya ketika ditemui di pejabatnya yang terletak di Jalan Bukit Pantai, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jelas Dr. Gopinathan, ini menunjukkan rasa sakit sebenarnya bergantung kepada daya ketahanan diri individu terhadap kecederaan atau luka. Sesetengah individu terlalu takut hingga menambah rasa kesakitan.

Jelasnya, dalam kes seperti itu hanya menerusi rawatan, ubat-ubatan dan nasihat yang berkaitan dapat memulihkan keadaan pesakit.

Justeru, setiap individu perlu pandai menguruskan kesakitan agar cepat pulih atau bertemu dengan doktor untuk mempelajari kaedah menguruskan rasa sakit.

Biasanya, kata Dr. Gopinathan kesan kesakitan yang dapat dilihat dengan mata kasar dikategorikan sebagai ringan.

”Penyakit ringan ini dijangka boleh sembuh dalam tempoh tiga bulan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, sakit yang melibatkan urat saraf seperti sakit tengkuk, sakit belakang, sakit pinggang yang dihadapi hampir kebanyakan orang dewasa pula dikategorikan sebagai penyakit yang tidak boleh dilihat dengan jelas.

Kesakitan seperti itu biasanya kata beliau, akan melalui tempoh yang agak lama untuk dipulihkan.

”Ia juga akan turut memberikan kesan terhadap kehidupan peribadi seseorang . Pesakit itu mudah rasa cemas, tidak dapat tidur dan tidak yakin pada diri sendiri,” katanya.

Dr. Gopinathan berkata, ia akan menyebabkan seseorang itu menjadi murung, tidak mahu keluar rumah sehingga merasakan tidak ada langsung rawatan untuk membantunya pulih.

Bagaimanapun katanya, kerunsingan itu boleh diatasi jika mereka menemui doktor yang mempunyai kepakaran dalam pengurusan penyakit.

”Di sini mereka akan mendapat nasihat untuk mencuba kaedah yang terbaik untuk mengurangkan rasa sakit yang dialami,” katanya.

Sebagai contoh katanya, bukan semua sakit di bahagian pinggang itu akan menyebabkan seseorang itu diserang penyakit lain yang lebih ditakuti seperti buah pinggang atau kanser.

Beliau berkata, dengan adanya teknologi rawatan moden, penyakit ini dapat dipulihkan dan pesakit akan dapat menikmati kehidupan dengan lebih baik.

Kata beliau, terdapat juga rawatan lebih moden seperti laser yang mana tidak lagi memerlukan pembedahan sebagai rawatan.

Selain itu katanya, kaedah lain yang digunakan untuk mengurangkan sakit tengkuk dan belakang menggunakan radiofrequency ablation.

”Cara rawatan baru ini hanya dilakukan dalam tempoh beberapa jam sahaja. Selepas rawatan pesakit boleh terus pulang ke rumah,” katanya.

Beliau memberitahu, pesakit bukan sahaja akan diberikan ubat-ubatan, tetapi juga latihan fisioterapi dan sebagainya.

Dr. Gopinathan juga memberikan untuk hidup sihat seseorang itu perlu melakukan senaman regangan tangan yang boleh dilakukan sewaktu dalam keadaan duduk atau berdiri dan berjalan kaki menggunakan kasut yang sesuai dan menaiki tangga.

”Individu iuga perlu mengambil makanan yang menyihatkan dan elak daripada mengambil makanan lewat di waktu malam,” katanya.

Selain itu katanya, perlu juga berfikiran positif agar setiap penyakit yang dihadapi oleh seseorang akan sembuh dengan cepat.

”Cari rakan-rakan yang mempunyai penyakit yang sama supaya dapat dikongsi pengalaman agar dapat mengelak diri dari terus dalam keadaan runsing,” katanya.

Kata beliau, sebaiknya carilah apa sahaja hobi yang boleh diisi ketika waktu terluang supaya dapat mengelak daripada berfikir tentang penyakit yang dialami.

Selain itu, kena tenangkan fikiran supaya dapat menikmati kehidupan dengan lebih baik.

”Cuba biasakan diri dengan menarik nafas sedalam-dalamnya dan kemudian lepaskan secara perlahan-lahan supaya diri berada di dalam keadaan yang lebih tenang,” katanya.

Katanya, sebaik-baiknya cuba bersosial bagi mengelak diri daripada bersendirian atau berinteraksi dengan rakan baru menerusi laman sosial Facebook (FB).

Di samping itu, katanya, jangan menyalahkan diri sendiri atau orang lain di atas kesakitan yang dihadapi sebaliknya hadapi dengan tabah.

Kaedah bedah cara batin haram

Oleh Muhammad Asyraf
Sumber Berita Harian : 2011/09/13

Perbuatan dengan bantuan jin boleh pesong akidah

ISLAM mementingkan kebaikan dan kesihatan. Di samping itu Islam menyuruh umatnya berikhtiar mengubat apabila dijangkiti sebarang penyakit. Ada banyak ayat al-Quran dan hadis berkaitan penjagaan kesihatan dan mengubati penyakit.

 Malah ada enam kali sebutan syifa’ atau kesembuhan dalam al-Quran antaranya firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran, ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat kepadanya; dan al-Quran tidak menambah kepada orang yang zalim melainkan kerugian juga.” (Surah Al-Isra’, ayat 82).

Amalan perubatan menggunakan doa atau bacaan ayat al-Quran adalah satu daripada cabang rawatan diakui syarak sebagai amalan mulia. Ia dipanggil ruqyah ataupun jampi bersesuaian syarak. Malah ia diamalkan pada zaman Rasulullah dan salafussoleh.

Daripada Auf bin Malik katanya: “Kami pandai menjampi pada zaman jahiliah, maka kami bertanya Nabi SAW, Ya Rasulullah SAW apakah pandangan anda mengenai jampi? Lalu Baginda SAW meminta mereka memperdengarkan jampi digunakan sejak zaman jahiliah itu. Baginda SAW menyatakan harus dilakukan, selagi tidak menyebabkan syirik.” (Hadis riwayat Muslim)

Kalangan masyarakat menamakan rawatan secara ruqyah saja dianggap perubatan Islam. Manakala rawatan secara saintifik di hospital adalah perubatan moden semata-mata. Hakikatnya perubatan moden sebahagian daripada perubatan Islam.

Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah sendiri dalam kitabnya Tibb al-Nabawi dan Zaad al-Ma’ad menceritakan bagaimana Nabi SAW merawat menggunakan kaedah berbekam, penggunaan biji habbatussauda, madu dan bermacam lagi makanan kesihatan.
Namun, sejak akhir-akhir ini ada kaedah rawatan mula menjadi tumpuan masyarakat iaitu pembedahan batin. Selepas meneliti unsur terdapat dalam pembedahan batin diamalkan sesetengah perawat maka beberapa nas hukum perlu diperjelaskan agar tidak memberi kecelaruan kepada masyarakat dalam menilai benar atau salah.

Rawatan itu ada yang membedah tubuh badan dengan tangan kosong atau tanpa peralatan moden, membetulkan tulang tanpa sentuhan fizikal, menggunakan peralatan ghaib, perubatan jarak jauh dan seumpamanya.

Penggunaan ayat al-Quran atau doa diharuskan tetapi jika disertai dengan sihir, iaitu membabitkan jin, perbuatan itu salah kerana amalan berkenaan termasuk dalam kategori dosa besar yang membinasakan iaitu sihir.

Walaupun pengamal perubatan batin menyatakan ia berpegang kepada ayat al-Quran dan kaedah syarak, namun difikir secara logik, ternyata bukan mudah seseorang itu, terutama orang awam memastikan status amalan itu.

Apabila sesuatu yang di luar adat kebiasaan itu dilazimi secara berterusan seperti upacara pembedahan batin, sekali gus jelas bagi kita ia sudah terkeluar dari kaedah asas perubatan yang diizinkan.

Ia jauh daripada perubatan secara saintifik moden, ruqyah serta tibb al-Nabawi yang menepati syarak. Jelaslah kaedah perubatan secara pembedahan batin ini meminta bantuan jin kerana sesuatu yang magis dan di luar adat tidak boleh berlaku secara berterusan.

Memang ada ulama membenarkan perubatan dengan meminta pertolongan jin antaranya Imam Ibnu Taimiyah dalam Majmu’ Fatawa dan ulama Saudi, Syeikh Ibn ‘Uthaimin dalam Fatawa al-Aqidah. Mereka mengharuskan khidmat jin dengan syarat penggunaan pada perkara diharuskan di samping wasilah juga diharuskan syarak.

Ini bermakna rawatan menggunakan khidmat jin diharuskan dengan syarat wasilah adalah harus. Hujah mereka ialah kisah Nabi Sulaiman yang mendapatkan khidmat jin untuk memindahkan istana Puteri Balqis dari Yaman dan ini adalah kurniaan Allah SWT.

Namun, ada pendapat menolak pandangan ini kerana peristiwa Nabi Sulaiman bukan syariat yang ditinggalkan kepada kita.

Pendapat ini dihuraikan Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz, Dr Ahmad bin Nasir bin Mohd al-Hamd dan ramai lagi. Bahkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-39 pada 21 September 1995 juga memutuskan bersahabat dengan jin dengan tujuan mendapatkan pertolongan dalam perubatan, mencari kekuatan dan kehebatan ditegah syarak dan haram.

Masyarakat Islam dinasihatkan meninggalkan rawatan syubhah seperti pembedahan batin. Umat harus memahami, setiap penyakit ada penawarnya tetapi setiap penawar tidak dijamin boleh menyembuhkan. Semoga Allah membebaskan kita dari segala penyakit dengan reda-Nya, bukan diberi kesihatan dengan kemurkaanNya.

Penulis ialah juara Imam Muda musim pertama terbitan Astro Oasis




Rawatan Prolotherapy

Kini telah lebih setahun saya menderita sakit pinggang, bermula dari semasa cuti Tahun Baru China tahun lepas . Doktor telah mengesahkan saya pengidap lumber disc prolapes, atapun biasa di sebut slipped disc.  Biasanya kalau sakit sangat, saya akan makan pil penahan sakit dan kemudiannya berbaring di atas gel ais yang di beli di Damansara Specialist Hospital tahun lepas.

Hinggalah pada suatu hari, bila suami memberikan gambar ini yang diperolehi dari laman web iLuvIslam. Pada masa itu, saya tidak sakit sangat, jadi saya abaikan sahaja segala maklumat yang terkandung di dalamnya.

Semasa sedang berkursus Joomla, tetiba pinggang saya sakit sangat, hingga mengganggu tumpuan saya berkursus. Oleh kerana tidak sanggup lagi menahan kesakitan, saya terus call klinik ini untuk buat temujanji.

Temujanji ditetapkan pada pukul 12 tengahari 9 April 2011. Ketika kami tiba ada 2 pesakit sebelum saya. Agak lama juga tempoh yang diambil untuk merawat seorang pesakit.

Doktor menerangkan procedur rawatan, dan kesan jangka pendeknya. Menariknya sebab tiada rawatan susulan yang tiada kesan jangka panjang.

Hasil pemeriksaan, saya memerlukan 5 suntikan di tempat yang berbeza di pinggang kiri saya. Cuma doktor menjangkakan bahawa mungkin selepas ini bahagian kanan saya pula yang akan sakit. Ini adalah kerana, kemungkinan bahagian kiri dan kanan saya sebenarnya sakit, namun kesakitan belah kiri yang melebihi belah kanan hingga belah kanan tidak terasa sakit. Senang cerita, mungkin belah kiri saya sakitnya 80%, manakala belah kanan cuma 30%. Selepas suntikan di belah kiri, sakit saya cuma tinggal 10% manakala sakit belah kanan masih lagi 30%.

Kini telah lebih sebulan saya menjalani rawatan ini, dan alhamdulillah rasa sakit saya telah berkurangan.  Insya-Allah saya akan mendapatkan rawatan belah kanan pula untuk dengan harapan sakit pinggang ini akan sembuh sepenuhnya.

Kepada sesiapa yang mengidap sakit pada tulang atau sendi, saya mengesyorkan membuat rawatan di sini. Kos yang dikenakan adalah :

1. Consultation :RM50

2. Suntikan : RM50 untuk satu suntikan. (Bilangan suntikan berbeza bergantung kepada pesakit)

3. Ubat :RM100

Sekadar peringatan, sehingga tarikh 9 April 2011, Klinik berkenaan cuma menerima transaksi tunai sahaja. Untuk maklumat lanjut boleh lawati http://www.proloclinics.com/index.php ataupun http://www.prolotherapy.org/

 

Punca sakit belakang

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

norlaila@hmetro.com.my

AKTIF...berenang antara aktiviti yang menggunakan banyak pergerakan.

AKTIF…berenang antara aktiviti yang menggunakan banyak pergerakan.

pix_topright

BANYAKKAN berehat, supaya sakit pinggang segera berkurangan. Ini antara cara yang dinasihatkan doktor untuk mengatasi masalah sakit pinggang tetapi makin lama baring berehat, makin sakit pula jadinya. Ketika berbaring kesakitan terasa hilang perlahan-lahan tetapi kembali mengejut apabila cuba bangun atau menggerakkan badan.

Benarkah berehat dengan berbaring cara terbaik untuk menghilangkan kesakitan pinggang? Rupa-rupanya kaedah ini disarankan untuk satu atau dua hari saja kerana berbaring terlalu lama juga boleh menyebabkan sakit belakang bertambah teruk.

Jika kesakitan masih tidak berkurang, segeralah mencuba kaedah lain atau lebih baik berjumpa doktor supaya ia tidak berlanjutan dan menjejaskan kehidupan.

Boleh dikatakan semua orang pernah sakit belakang terutama di bahagian pinggang, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Dianggarkan 80 peratus orang pernah mengalami sakit belakang yang menyebabkan kerja dan aktiviti harian terganggu. Sakit belakang juga antara punca utama ketidakupayaan bekerja dan penyumbang besar kepada pengambilan cuti sakit.

Sakit belakang menduduki tangga kedua dalam masalah neurologikal (sistem saraf), kata Pakar Bedah Tulang Belakang, Dr Siow Yew Siong. Sakit belakang menandakan ada yang tidak kena dengan saraf kita. Saraf sihat sepatutnya bergerak bebas di dalam badan bagi memastikan bekalan darah, pertukaran cecair badan dan khasiat makanan berlaku dengan sempurna.

Antara faktor penyumbang kepada masalah sakit belakang ialah postur (kedudukan) badan yang tidak betul, melakukan aktiviti di luar kebiasaan dan mengamalkan gaya hidup tidak aktif. Malah, terlalu banyak rehat juga boleh menyebabkan kita mengalami sakit belakang kerana badan manusia dicipta untuk kita bergerak aktif; bukan berehat santai sepanjang masa.

Bahkan duduk terlalu lama juga boleh menyebabkan kita sakit belakang kerana ketika duduk, kita memberi tekanan paling tinggi kepada bahagian bawah tulang belakang. Tulang belakang adalah struktur yang boleh dilentur sehingga tahap tertentu. Inilah sebabnya kita boleh membongkok atau membengkokkan badan ke kiri dan kanan.

Ia terdiri daripada 33 tulang vertebra yang dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu vertebra servikal (tujuh tulang pertama bermula di bahagian bawah tengkorak), 12 tulang vertebra torasik, lima tulang vertebra lumbar (pada bahagian bawah belakang badan) serta lima tulang sakrum dan empat tulang koksiks yang bercantum.

Di antara setiap tulang ini ada satu cakera (diska) yang bertindak sebagai penyerap hentakan, menambah keanjalan tulang belakang untuk ‘dilentur’ ke kiri, kanan, depan dan belakang. Cakera ini juga berfungsi mengagihkan berat badan secara seimbang.

Antara punca sakit belakang yang biasa ialah masalah diska tergelincir pada tulang belakang akibat posisi badan tidak betul (apabila cakera terkeluar sedikit, ia akan menekan saraf yang menyebabkan rasa sakit); otot terlalu lemah atau tegang sehingga tidak dapat menyokong bentuk asal tulang belakang atau mengangkat benda berat dengan cara salah.

Sakit belakang dibahagikan kepada dua jenis iaitu sakit yang akut (selama beberapa hari hingga minggu) dan kronik jika kesakitan berlarutan melebihi tiga bulan. Kebanyakan sakit pinggang akut disebabkan masalah mekanikal semula jadi – terjadi akibat trauma pada bahagian pinggang atau penyakit seperti artritis.

Trauma ini pula katanya, boleh disebabkan kecederaan sukan, bekerja dalam rumah, berkebun atau sentakan mengejut seperti kemalangan.

Gejala dialami setiap pesakit berbeza; ada yang sekadar sakit otot atau sakit seperti ditikam yang menjalar dari satu bahagian ke bahagian lain; menyebabkan pergerakan terhad atau tidak boleh berdiri tegak.

Bagaimana sakit belakang terutama di bahagian pinggang boleh terjadi? Menurut Dr Siow, kekuatan tulang dan keanjalan otot merosot dengan peningkatan umur. Bahkan cakera yang terletak di antara setiap tulang pada tulang belakang juga mula kehilangan cecair dan keanjalannya; menyebabkan ia hilang kebolehan untuk menyerap hentakan.

“Kesakitan boleh berlaku dalam banyak keadaan contohnya mengangkat benda yang terlalu berat atau regangan berlebihan terjadi menyebabkan salah satu otot atau ligamen tergeliat atau kejang.

“Jika tulang belakang mengalami regangan atau mampatan keterlaluan, satu cakera boleh pecah atau tertolak keluar. Cakera ini akan memberi tekanan kepada lebih 50 saraf yang bercabang daripada saraf tunjang.

“Apabila akar saraf ini terhimpit atau mengalami keradangan, kita akan mengalami rasa sakit. Lokasi kesakitan itu bergantung kepada saraf mana yang terhimpit atau radang.

Selain itu, bagi masalah sakit pinggang, ia juga boleh disebabkan masalah cakera, artritis, osteoporosis atau lain-lain penyakit tulang,” katanya.

Antara faktor penyumbang sakit belakang ialah:

  • Obesiti
  • Merokok
  • Tekanan
  • Keadaan fizikal tidak elok
  • Postur badan yang salah
  • Posisi tidur tidak elok
  • Tiada sokongan daripada tilam ketika tidur
  • Sakit belakang, khususnya pada bahagian pinggang boleh menjadi petanda kepada masalah kesihatan yang lebih serius terutama bagi kesakitan yang disertai demam atau hilang kawalan untuk buang air kecil atau besar; sakit ketika batuk dan kaki terasa semakin lemah.

    Siapa yang boleh mendapat sakit belakang atau sakit pinggang? Semua orang tanpa mengira peringkat umur dan risiko mendapatnya meningkat dengan pertambahan umur.

    Bagaimanapun, masalah ini lebih kerap berlaku pada lingkungan umur 30 hingga 50 tahun; disebabkan proses penuaan dan gaya hidup yang tidak aktif.

    Antara masalah yang sering dikaitkan dengan sakit pinggang ialah kerosakan cakera, degenerasi (kemerosotan) tulang belakang (ia menyebabkan kesakitan belakang ketika bangun tidur atau selepas berjalan lama) dan stenosis spina (juga ada kaitan dengan kesakitan akibat masalah cakera).

    Diagnosis dan rawatan

    Masalah sakit belakang boleh dikesan melalui sejarah perubatan dan pemeriksaan fizikal, ujian darah dan ujian imbasan. Ujian imbasan ini seperti sinar-X, diskografi (ejen pembandingan akan disuntik ke dalam cakera) dan tomografi komputer (CT) adalah kaedah cepat untuk mengetahui jika pesakit mengalami masalah cakera, stenosis spina atau kerosakan pada mana-mana tulang belakang.

    Manakala ujian pengimejan resonans magnetik (MRI) digunakan bagi mengesan masalah kemerosotan, kecederaan atau penyakit pada tisu, saraf, otot, ligamen dan salur darah. Imbasan tulang pula adalah untuk mengesan dan memantau jika berlaku jangkitan, keretakan atau penyakit pada tulang belakang.

    “Kebanyakan masalah sakit belakang khususnya sakit pinggang boleh dirawat tanpa pembedahan. Antara kaedah rawatan ialah untuk mengawal kesakitan, mengurangkan keradangan, mengembalikan fungsi dan kekuatan bahagian belakang serta mencegah kecederaan daripada berulang.

    “Menekap bahagian yang sakit dengan ais atau pek panas boleh mengurangkan kesakitan dan keradangan; membantu sesetengah pesakit untuk bergerak. Sejurus selepas mengalami trauma, pesakit seharusnya menekap pek ais yang dibalut dengan tuala pada bahagian sakit selama 20 minit beberapa kali sehari.

    “Selepas dua atau tiga hari melakukan kaedah ini, tuam bahagian berkenaan dengan tuala atau pek panas untuk seketika bagi merehatkan otot dan merangsang aliran darah.

    Mandi air suam juga boleh membantu merehatkan otot.

    “Selain itu anda juga boleh berehat di katil (baring) tetapi hanya untuk satu atau dua hari saja. Berehat (baring) boleh membuatkan sakit belakang bertambah teruk dan menyebabkan seseorang pesakit mengalami tekanan, kemurungan, melemahkan otot dan kemungkinan berlakunya darah beku pada kaki. Pesakit seharusnya kembali melakukan aktiviti harian secepat mungkin,” katanya.

    Menurutnya, bersenam adalah cara yang paling berkesan untuk mempercepatkan penyembuhan kepada masalah sakit belakang (khususnya sakit pinggang) dan menguatkan otot belakang dan abdomen. Antara senaman yang mudah dilakukan ialah senaman regangan, berenang, berjalan atau menjalani terapi pergerakan bagi memperbaiki koordinasi dan keseimbangan untuk postur dan otot.

    Doktor juga akan memberikan ubat untuk merawat sakit belakang akut dan kronik. Selain itu terapi intervensi (termasuklah suntikan ubat bius steroid pada tisu, sendi atau akar saraf) dan suntikan epidural.

    Pembedahan adalah pilihan terakhir, selepas semua kaedah lain tidak berjaya mengurangkan kesakitan. Dapatkan pandangan kedua jika anda disyorkan menjalani pembedahan kerana kini ada banyak kaedah baru yang lebih mudah dan berkesan.

    Pencegahan

    Bolehkah sakit belakang dielakkan? Ya. Sakit belakang yang disebabkan postur badan kurang baik atau lain-lain sebab bukan trauma (kemalangan) biasanya boleh dielakkan dengan kaedah di bawah:

  • Kerap bersenam untuk meningkatkan keupayaan dan keanjalan otot. Antara senaman yang baik ialah senaman regangan, yoga, tai chi, berenang atau pilates. Lakukan senaman aerobik seperti berjalan, berjoging, berbasikal, bermain badminton atau menari sekurang-kurangnya tiga kali seminggu selama 20 minit setiap sesi.Tingkatkan kekuatan anda dengan senaman yang membabitkan seluruh badan, terutama otot perut, belakang, paha dan pinggul. Senaman menguatkan otot kaki dan bahu membantu mengurangkan risiko kecederaan ketika mengangkat benda berat.Buat pergerakan memanaskan badan sebelum bersenam atau bersukan. Ia penting untuk meningkatkan suhu dan pergerakan otot bagi mengelak risiko kecederaan.
  • Pelajari posisi atau postur badan yang betul ketika melakukan kerja, terutama ketika mengangkat barang. Berhati-hati ketika anda berasakan ketegangan otot supaya ia tidak tercedera.Elakkan duduk terlalu lama dan buat senaman regangan atau berjalan seketika setiap 30 minit. Apabila duduk, pastikan paha dan lutut pada posisi selesa, selain menggunakan kerusi yang memberi sokongan pada belakang badan.
  • Amalkan prinsip ergonomik – sama ada di rumah atau tempat kerja boleh mengurangkan risiko kecederaan. Ini termasuklah menggunakan kerusi yang mempunyai penyandar mengikut bentuk semula jadi tulang belakang.“Tulang belakang kita mempunyai lengkuk seperti bentuk S terbalik dan sebarang aktiviti yang mengubah lengkuk semula jadi ini, jika dilakukan untuk jangka masa lama, boleh menyebabkan ketidakselesaan. Sekiranya berterusan, ia boleh menyebabkan sakit belakang,” kata Dr Siow.
  • Amalkan pemakanan seimbang untuk mengelakkan masalah berlebihan berat badan, terutama di bahagian pinggang. Ini kerana kegemukan di pinggang akan memberi lebih kesan kepada otot di bahagian berkenaan.
  • Berhenti merokok. Asap rokok akan mengurangkan aliran darah ke bahagian bawah tulang belakang dan menyebabkan cakera lebih mudah mengalami kemerosotan.
  • Tidur di atas tilam yang boleh memberi sokongan kepada badan, tidak terlalu keras atau lembik sehingga anda ‘tenggelam’ apabila baring di atasnya. Tidur dalam posisi yang membolehkan anda mengekalkan lengkungan tulang belakang yang normal.Tilam yang tidak memberi sokongan kepada badan akan mendorong kita untuk tidur dalam posisi kurang baik, membuatkan otot meregang dan tidak membantu penjajaran tulang belakang – semuanya menyumbang kepada masalah sakit belakang.“Tilam yang baik sepatutnya memberikan sokongan kepada lengkuk semula jadi tulang belakang. Kajian menunjukkan tilam yang separa empuk boleh membantu mengurangkan kesakitan belakang. Jika tilam terlalu keras akan memberi lebih tekanan pada belakang dan ini boleh memburukkan keadaan,” katanya.
  • Eh apa kat bawah nih. Cuba klick tengok



    Penyakit batu karang

    Telah hampir sebulan saya mengalami sakit perut dan juga pinggang di sebelah kiri.  Pada mulanya saya ingatkan sakit disebabkan oleh Endometrosis ataupun slipped disc yang dialami sebelum ini datang semula.  Seorang doktor menyatakan berpunca dari endo dan merujukkan saya kepada pakar. Manakala seorang lagi doktor pula mengatakan usus saya yang membengkak dan kena jangkitan kuman.  Hari ini doktor di klinik lain mempunya pandangan yang berbeza. Katanya semua yang saya alami adalah tanda-tanda awal untuk penyakit batu karang.

    Apa itu batu Karang

    Batu Karang“Batu yang terdapat dalam ginjal atau lebih dikenali dengan “Buah Pinggang” terjadi dari tumbuhan kristal halus dari beberapa jenis kimia. Kimia yang paling lumrah adalah kalsium oxalat, kalsium pospat dan yang kurang dikenali ialah asid uric, cystine dan magnesiam pospat ammonia.

    Saiz batu karang ini ada yang halus seperti pasir dan boleh jadi sebesar bola golf. Kebanyakkan batu tumbuh membesar dalam ginjal, kemudian bergerak ke bawah ke dalam saluran kencing dimana ianya menjadi bertambah besar.
    Kesulitan akan timbul apabila batu-batu menjadi terlalu besar yang mengakibatkan ganguan kepada perjalanan aliran air kencing. Ini boleh membawa kepada penyakit dimana kuman-kuman akan merebak. Gangguan dan/ atau perebakan kuman itu akan mengakibatkan kerosakan ginjal, jika tidak diubati segera”.

    PUNCA-PUNCA PENYAKIT / FAKTOR RISIKO

    1) Ketidaksempurnaan dalam aliran saluran kencing
    2) Terlalu banyak makan makanan laut yang mengandungi kandungan kimia yang tinggi
    3) Kegagalan buah pinggang
    4) Tahap metabolisme seseorang
    5) Nanah yang mengeras akibat jangkitan kuman semasa kecil
    6) Kekurangan pengambilan air minuman
    7) Jangkitan parasit atau cacing di dalam pundi kencing

    TANDA-TANDA / SIMPTOM

    1) Sakit pada bahagian abdomen iaitu pada sisi kanan dan kiri pinggang
    2) Kesakitan seperti berdenyut, berat, dan sakit melilit yang amat sangat seperti hendak bersalin
    3) Loya-loya,hendak muntah dan berpeluh.
    4) Sukar kencing atau lansung tak boleh kencing dan kencing berdarah/bernanah
    5) Demam yang mengigil dan tubuh jadi lemah,muka jadi pucat/sembab dan kulit jadi kering

    PANDUAN BAGI PESAKIT BATU KARANG

    1. Minum banyak air masak untuk membersihkan air kencing.
    2. Elakkan minuman manis, terutama minuman karbonat.
    3. Makanan seperti barli, kentang, keledek, berasaskan tepung gandum, bunga kubis dan pisang
    4. Elakkan makanan kaya asid oksalik seperti tomato, bayam, lobak merah, daging, strawberi, koko, coklat dan teh.
    5. Kurangkan pengambilan garam dan gula, termasuk ikan masin, jeruk dan coklat.
    6. Banyak makan sayur-sayuran dan buah-buahan kaya serat.
    7. Kurangkan sumber protein haiwan, sebaliknya gantikan dengan protein tumbuh-tumbuhan.
    8. Kurangkan minum kopi, teh dan alkohol.

    _______________________________________________

    Beban batu karang

    Oleh Suzan Ahmad
    2011/01/16

    pix_gal0

    Pakar gambarkan kesakitan lebih teruk daripada saat bersalin

    SAKIT batu karang sudah terlalu kerap kita dengar. Jika bukan diri sendiri, pasti ada rakan atau saudara mara yang mengadu pernah berdepan masalah yang menjejaskan kehidupan seharian.

    Apa tidaknya, ada yang sukar berjalan akibat kesakitan teramat sangat pada perut sehingga terpaksa cuti sakit. Apakah sebenarnya masalah ini? Batu karang merujuk keadaan yang mana wujud sisa mineral halus seakan batu kristal di sepanjang saluran kencing. Saluran ini mengandungi organ seperti buah pinggang, ureter, pundi kencing dan urethra yang berfungsi menapis darah untuk membuang kekotoran yang kemudian disingkir dari tubuh.

    Pembentukan batu biasanya mula terbentuk di buah pinggang sebelum bergerak ke bahagian lain saluran kencing hingga tersumbat di tiub yang lebih kecil seperti batu pundi, batu uriterik dan batu buah pinggang menyebabkan pesakit merasa sakit yang teramat sangat.

    Pakar Perunding Urologi Hospital Pakar KPJ Kajang, Dr Mohd Ridzwan Yusof berkata kelompok usia yang sering mengalami masalah ini adalah antara 20 hingga 40 tahun. Ada juga yang berlaku pada usia di bawah 20 dan melebihi 40 tahun, walau bagaimanapun kes begini adalah jarang.

    Penyakit batu karang lebih mudah menyerang lelaki berbanding wanita iaitu pada nisbah tiga lelaki bagi setiap seorang wanita. Ini disebabkan lelaki memiliki hormon testosteron yang tinggi. Ini menjelaskan mengapa orang tua dan kanak-kanak jarang mendapat penyakit ini memandangkan hormon testosteron mereka rendah.

    “Punca utama terbentuknya batu karang terbahagi kepada faktor luaran membabitkan diet yang tinggi kandungan bahan kimia atau purine. Bahan kimia ini ada di dalam organ dalaman haiwan, angsa, ekstrak daging, makanan laut, telur ikan dan arak,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

    Faktor lain penyebab batuk karang adalah kurang minum air, keadaan kerja yang tidak banyak pergerakan (seperti di pejabat atau kerjaya pemandu lori, teksi) dan kerja di luar yang terdedah kepada matahari. Tidak ketinggalan, faktor geografi iaitu negara Asia termasuk Malaysia yang ramai pesakit batu karang serta bangsa yang mana mereka berkulit cerah lebih mudah menghidapnya berbanding kulit hitam.
    Punca lain termasuk kadar mineral tidak seimbang, peningkatan hormon, pesakit yang menjalani pembedahan pintasan usus, kekurangan bahan-bahan pencegahan dalam air kencing (citrate, magnesium dan zink), jangkitan saluran kencing dan laluan kencing yang tidak normal.

    “Kajian sebelum ini pula menunjukkan 25 peratus pesakit batu karang mempunyai sejarah keluarga dan ini bermakna ia ada kaitan dengan faktor genetik. Malah antara penyakit genetik yang dikaitkan dengan batu karang termasuk renal tubular, tubalar acidosis dan cystinuria,” katanya.

    Dr Mohd Ridzwan berkata, tanda-tanda utama penyakit batu karang termasuk rasa senak secara mengejut dan berulang-ulang dan terlalu sakit hingga ada pakar yang menggambarkan kesakitannya lebih teruk daripada sakit bersalin, kencing berdarah, muntah-muntah dan kencing tak lawas.

    Bagi tanda-tanda yang agak lewat pula, adalah kegagalan buah pinggang, loya, muntah dan sesak nafas.

    Mengenai saiz batu karang, katanya, ia bergantung kepada di mana lokasi ia terbentuk sama ada di dalam buah pinggang yang mana ia boleh memenuhi semua rongganya dengan saiz maksimum sehingga 4 sentimeter.

    Dalam pundi kencing pula ia boleh memenuhi rongga itu sehingga 10 sentimeter dan di saluran uriter (antara buah pinggang dan pundi kencing) selalunya kurang daripada satu sentimeter.

    Mengikut kaedah konservatif, batu karang boleh dirawat dengan meningkatkan pengambilan air sebanyak 3 liter sehari, rawatan perubatan atau ubat-ubatan mengurangkan asid dalam air kencing; ubat penahan sakit, suntikan dan ubat-ubatan pemecah batu yang tidak spesifik bagi kes yang tidak serius.

    Apakah jenis batu dialami mereka? Menurut Dr Ridzwan, bagi 100 pesakit misalnya, kira-kira 80 peratus mengalami jenis batu kalsium, batu asid urik, struvite dan lain-lain.

    Bagi kaedah kurang invasif atau tidak membabitkan pembedahan, beberapa cara boleh digunakan mengikut tahap batu karang pesakit seperti gelombang Extracorporial shockwave lithotripsy (ESWL) khusus untuk batu bersaiz kurang dua sentimeter.

    Sesetengah batu seperti systine dan calsium oxalat monohydrate adalah sangat keras dan susah untuk dipecahkan menggunakan kaedah ini. Teknik ini juga tidak sesuai bagi mereka yang menghidap darah tinggi, masalah saluran darah mengambil ubat pencair darah dan batu yang dijangkiti kuman.

    PCNL atau Percutaneous Nephrolithotripsy merawat batu saiz lebih dua sentimeter; retrograde Intrarenal surgery (RIRS) merawat batu kurang satu sentimeter yang mana batu karang itu dipecahkan menggunakan laser.

    Apakah peluang pesakit untuk pulih? Biarpun hakikatnya, batu karang boleh pulih sepenuhnya, tetap ada kebarangkalian tinggi untuk berulang. Kajian di Amerika Syarikat menunjukkan 10 peratus pesakit boleh mengalami semula masalah itu dalam masa setahun, 35 peratus kes dalam masa lima tahun dan 50 peratus kes dalam masa 10 tahun.

    Namun masih ada kaedah untuk mengelak penyakit itu berulang iaitu menerusi pengambilan air yang mencukupi sekurang-kurangnya tiga liter sehari. Di samping itu, menjaga pemakanan dengan mengamalkan diet rendah purin seperti bijirin, roti dan bihun, telur, hasil tenusu dan minuman seperti teh, kopi dan coklat.

    Bagaimana pula dengan masyarakat yang sebaliknya lebih cenderung berjumpa pengamal perubatan alternatif terlebih dulu sebelum mendapat nasihat pakar?

    Persepsi ini, kata Dr Mohd Ridzwan, harus diperbetulkan.

    “Ada pelbagai cara dilakukan tetapi ada risikonya. Jika batu di buah pinggang itu tersumbat, anda dinasihatkan mendapatkan rawatan pakar dengan kadar segera kerana jika terlambat ia akan menyebabkan kerosakan buah pinggang atau kematian andai ada jangkitan kuman yang merebak dan menyebabkan keracunan dalam darah.

    “Tidak salah menjalani rawatan sebegini kerana sebahagian besar pesakit saya melakukannya…cuma saya nasihatkan sekiranya anda melakukan rawatan alternatif ini sila pastikan anda diperiksa semula oleh pakar perubatan bertauliah di hospital untuk memastikan batu itu benar-benar sudah berjaya dikeluarkan.”

    sumber : SIHAT,  Berita Harian

    Eh apa kat bawah nih. Cuba klick tengok



    Sakit Pinggang: Kaedah Rawatan Melalui Prinsip Pemulihan Serta Postur & Pergerakan Solat

    Ada kalanya saya semacam hampir-hampir berputus asa dengan kesakitan pinggang ini.  Sekali fikir mahu jer saya menjalani pembedahan untuk mengubati kesakitan yang tidak mampu ditanggung lagi.  Mujur ada iman senipis kulit bawang.  Saya sedar sakit itu ujian dari Allah.  Maka kepadanya saya akan kembali.

    Setiap kali rukuk semasa solat memang terlalu sakit, terutama untuk solat subuh. Selalu juga saya ‘kalah’ hingga terpaksa bersolat duduk.  Namun hati saya berat mengatakan bahawa pembedahan dan ubat bukanlah satu-satunya kaedah rawatan untuk penyembuhan.

    Carian saya di google menemukan saya dengan laman web ini

    http://www.kedai-buku.com/kedai-buku/details/1816/25/solat/islam/um-sakit-pinggang–kaedah-rawatan-melalui-prinsip-pemulihan-sert.html. Di kedai buku yang hampir dengan pejabat dimaklumkan bahawa buku berkenaan tiada dalam simpanan. Memikirkan masa yang terhad untuk mencari dikedai lain, kami menggunakan sepenuhnya kemudahan pembelian online dari laman web ini.

    Saya cuma sempat membelek sepintas lalu buku berkenaan.  Diharapkan buku ini mampu membantu dalam proses penyembuhan sakit pinggang yang telah hampir setahun dideritai ini. Amin ya Rabbal Alamin




    Peruntukan perubatan *burst*

    Hari nih saya mendapat surat daripada Pengarah Bahagian, meminta untuk mengisytiharkan masalah kesihatan. Ini kerana peruntukan perubatan MARA saya telah burst. Peruntukan untuk kami sekeluarga adalah sebanyak rm850 iaitu Rm300 untuk saya, RM300 untuk suami dan Rm250 untuk Adam.

    Melihat kepada lampiran yang disertakan, sebanyak Rm292 adalah bil untuk tahun 2009. Manakala bakinya adalah adalah untuk saya dan Adam. Ini adalah kami pertama peruntukan MARA untuk saya burst. Selama ini, kami sering menggunakan peruntukan perubatan Heitech untuk perubatan saya dan juga Adam.

    Namun, oleh kerana awal tahun saya telahpun menghabiskan semua peruntukan GP/SP untuk saya dah Adam, sebanyak Rm3000 setahun untuk rawatan Lumber Disc Prolapse saya, maka tiada lagi peruntukan Heitech yang boleh digunakan.

    Ini sebagai bukti bahawa tahun 2010 kami benar-benar diuji.  5x rumah kami pecah masuk, notebook dan barang-barang berharga hilang, kereta dibawa orang berjalan-jalan diwaktu malam. Adam dan ayah sama-sama pernah di masukkan ke ward di Hospital Pakar Damansara, disebabkan oleh demam panas dan juga paras asid urik yang melampau.

    Walau bagaimanapun, sakit belakang ini masih lagi belum sembuh sepenuhnya. Awal tahun depan, apabila peruntukan perubatan ini diberikan semula, saya bercadang untuk membuat rawatan suntikan Radiofrequensi untuk sakit belakang ini. Dari seorang rakan dimaklumkan bahawa ada pakar untuk rawatan berkenaan di Hospital Ampang Puteri. Untuk kali ini, kami akan lebih berhati-hati untuk menggunakan peruntukan perubatan dengan sebaiknya. Yang utama adalah perlu admited terlebih dahulu, di Heitech, peruntukan untuk rawatan di GP/SP berasingan daripada peruntukan untuk rawatan di ward.

    Apapun, kami bersyukur sangat, kerana rawatan perubatan kami di tanggung oleh majikan. Ringkasnya peruntukan perubatan kami adalah seperti berikut :

    1. RM850 – oleh MARA utk kami sekeluarga pergi ke GP. SP tidak ditanggung. Manakala untuk hospital disarankan mendapatkan rawatan di Hospital Kerajaan
    2. RM3000 untuk GP/SP untuk saya dan Adam
    3. RM30,000 untuk Hospitalization saya dan Adam
    4.  Tiada had untuk GP/SP atau Hospitalization untuk suami

    Ramai orang sering mengejar gaji yang tinggi, tetapi terlupa faedah-faedah lain yang syarikat beri. Walaupun gaji kami tidaklah tinggi mana, namun Syukurlah , kami mendapat faedah perubatan yang boleh dikatakan terbaik. Alhamdulillah




    Rupanya Ada Kaedah Rawatan Sakit Kronik Tanpa Bedah

    Oleh HAMID KARIM

    MENGENAL PASTI jenis rawatan yang sesuai adalah sebahagian daripada elemen penting dalam pengurusan merawat kesakitan. Namun hal ini sering terlepas pandang oleh kebanyakan pesakit khususnya di kalangan mereka yang mengidap penyakit kronik di bahagian tulang belakang yang sukar disembuhkan dalam tempoh yang lama.

    Oleh sebab berlakunya kecelaruan mengurus kesakitan yang dihidapi, khususnya dalam menentu atau mengenalpasti rawatan tepat dan terbaik, banyak pesakit terlantar menderita kesakitan yang berpanjangan dan paling menyedihkan ada di antara mereka kehilangan peluang untuk sembuh seperti sediakala.

    Pentingnya mengenalpasti rawatan dan menguruskan kesakitan ini ditegaskan oleh seorang pakar sakit kronik Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan, Dr Nizar Abdul Jalil.

    Menurut beliau, kegagalan pesakit mendapat rawatan yang tepat berhubung penyakit yang mereka hidapi menjadi antara punca sakit kronik seperti cakera gelincir (slip disc) di tulang belakang atau kecederaan facet dihidapi akan menjadi liabiliti yang berpanjangan.

    Akibatnya, pesakit terus-menerus menanggung kesakitan dan terlantar serta sebahagiannya seperti putus harapan untuk mencuba rawatan seterusnya.

    Menerusi pengalaman sendiri, penulis didedahkan oleh Dr Nizar bahawa pesakit kronik hari ini berhak untuk mendapatkan rawatan tepat dan terbaik. Pengalaman banyak pesakit sebelum ini yang gagal sembuh daripada sakit kronik sehingga ada di antara mereka lumpuh sepanjang hayat akibat daripada kelemahan menguruskan jenis rawatan patut dijadikan iktibar.

    Mengikut amalan biasa, kebanyakan pesakit kronik di negara ini terutama yang mengidap kecederaan cakera pada tulang belakang katanya, akan dirujuk kepada pakar ortopedik bagi tujuan penentuan sakit dan rawatan.

    Hal ini bagaimanapun berbeza di negara jiran, Singapura kerana menurut Dr Nizar, pesakit di negara itu sebaliknya akan dirujuk terus kepada pakar sakit kronik terlebih dulu untuk didianogsis dan diberi penentuan rawatan sebelum dirujuk kepada pakar ortopedik atau yang berkaitan.

    Hanya jika keadaan tidak boleh dielakkan, barulah pesakit boleh menerima cadangan pakar ortopedik agar menjalani pembedahan. Bagaimanapun, keadaan hari ini sememangnya telah jauh berubah. Pesakit berhak memperolehi pengetahuan tentang rawatan konservatif, iaitu rawatan tanpa pembedahan bagi mengelak daripada berdepan risiko yang lebih besar.

    Bidang rawatan yang dipelopori oleh Dr Nizar ini membayangkan kemungkinan pesakit kronik di negara kita mempunyai peluang untuk pulih berdasarkan rawatan khusus yang dikenali sebagai rawatan suntikan Radiofrequensi. Menerusi kaedah rawatan Radiofrequensi ini, pakar sakit kronik akan hanya menggunakan suntikan bagi merawat pesakit mereka.

    Jarum akan disuntik terus ke saraf cedera bertujuan mengecutkan saraf yang sakit dan sekaligus menghilangkan bisa yang ditanggung pesakit bertahun-tahun lamanya. Demikian pengalaman serupa dialami sendiri oleh penulis yang disahkan mengidap kecederaan facet di tengkuk dan bahagian belakang serta bahu yang dideritai bertahun-tahun lamanya.

    Penggunaan kaedah suntikan di dalam bilik bedah yang hanya mengambil masa lebih kurang sejam dapat meredakan bisa yang menyerang tangan dan sebahagian besar tubuh penulis.

    Sebelum ini, kebanyakan pegawai perubatan ditemui mencadangkan supaya rawatan dilakukan oleh pakar ortopedik dan sebagai jalan akhir pembedahan mesti dilakukan. Namun kaedah rawatan radiofrequensi yang dipelopori oleh Dr Nizar berjaya memindahkan beban sakit dan trauma bertahun-tahun tanpa melalui proses pembedahan.

    Menurut Dr Nizar, pengurusan sakit yang betul yang bertujuan mendapatkan rawatan selesa dan kurang implikasi atau risiko kepada pesakit amat penting pada kehidupan hari ini. Ditambah pula dengan adanya pakar dalam sakit kronik, peluang bagi pesakit menghindarkan diri daripada dibedah tulang belakang sehingga boleh menyebabkan risiko lumpuh amat luas.

    Malangnya, kata beliau, sebahagian besar pesakit kronik di negara ini belum terdedah atau mengetahui kaedah suntikan bagi merawat sakit kronik khususnya berkaitan kecederaan tulang belakang. Melalui pengalaman beliau merawat pesakit kronik sehingga kini, sebahagian besar pesakit kembali dapat meneruskan kehidupan seperti biasa melalui kaedah ini.

    Menerusi kaedah suntikan, epidural streroid akan disuntik bagi mengurangkan kesakitan sama seperti proses suntikan menahan sakit bagi mereka yang ingin bersalin. Sedikit steroid akan dimasukkan bagi mengurangkan bengkak dan keradangan pada akar saraf yang terhimpit (bagi kes cakera gelincir tulang belakang).

    Sepanjang terbabit sebagai pakar dalam bidang sakit kronik, Dr Nizar memang mengakui bahawa di antara 80 hingga 90 peratus pesakitnya secara umum tidak mengetahui mengenai rawatan Radiofrequensi yang tidak memerlukan mereka menjalani pembedahan sebelum datang bertemunya.

    Persoalannya kini, bagaimanakah nasib pesakit kronik yang kurang terdedah kepada media yang sejak akhir-akhir ini kerap memaparkan maklumat tentang rawatan konservatif tanpa pembedahan itu?

    Apakah mereka akan terus dirujuk kepada pakar ortopedik dan seterusnya disaran menjalani pembedahan tanpa mendapat pilihan lain? Mengakui hakikat itu, Dr Nizar menyarankan pesakit supaya selalu bertanya kepada doktor perubatan mengenai rawatan alternatif supaya mereka dapat memilih dan sekaligus mencuba sesuatu yang lebih rendah risikonya.

    Bagaimanapun, pesakit tidak seharusnya pula menafikan standard rawatan yang digunapakai apabila berdepan kesakitan tulang belakang. Indikasi di negara ini sama seperti di negara lain, iaitu apabila rawatan konservatif atau rawatan tanpa bedah ini gagal, ia menunjukkan kecederaan saraf pada tulang belakang sudah tentu mencapai tahap kritikal.

    Biasanya menurut Dr Nizar, hal ini berlaku selepas enam bulan mendapatkan rawatan konservatif tanpa bedah. Maka pesakit itu akan dirujuk kepada pakar ortopedik. Di situlah terletaknya kebijaksanaan pesakit mengurus sakitnya dengan berbincang bersama pakar ortopedik mengenai rawatan terbaik yang boleh dipilihnya.

    Mengulas mengenai terma sakit kronik, beliau menjelaskan bahawa sakit ini biasanya datang tanpa disangka dan boleh berlarutan sehingga tempoh masa lama jika tidak mendapat rawatan yang tepat dan segera dan kebanyakannya berkaitan kecederaan tulang belakang.

    Kesakitan ini amat merimaskan dan boleh mencapai tahap kritikal apabila pergerakan tangan atau kaki pesakit boleh terjejas. Orang ramai boleh mencuba kaedah rawatan tanpa bedah bagi merawat sakit kronik dengan menghubungi Dr Nizar Abdul Jalil di HUSM Kubang Kerian.

    HAMID KARIM adalah seorang penulis bebas dan pernah menjadi ketua biro sebuah akhbar tempatan. Dr Nizar adalah pakar sakit kronik yang telah merawat penulis dan berharap bidang rawatan tanpa bedah ini dapat dikembangkan lagi bagi membantu rakyat/pesakit di negara kita.

    http://www.mstar.com.my/variasi/pendapat/cerita.asp?file=/2010/6/25/mstar_pendapat/20100625190440&sec=mstar_pendapat

    Derita sakit pinggang

    *Bersama Pakar Urologi Prof Madya Dr Zulkifli Md Zainuddin, Ketua Unit Urologi, Pusat Perubatan UKM, Cheras

    Saya mengalami gejala sakit pinggang kira-kira dua bulan yang lalu. Saya terasa amat sakit setiap kali duduk terlalu lama terutama pada pinggang sebelah kiri. Kaki saya juga terasa sakit ketika memijak lantai. Saya ingin tahu apakah ini berbahaya atau cuma sementara. Saya mohon secepat mungkin saya diberitahu kerana saya sudah tidak tahan menanggung sakit.

    *************************
    DARI apa yang saudara ceritakan, ada dua masalah kesihatan yang perlu dipastikan sebelum rawatan diberi. Ini membabitkan sama ada saudara mengalami masalah tulang belakang atau masalah batu karang ginjal. Dari segi simptom yang saudara hadapi, iaitu sakit pinggang yang menjadi lebih teruk jika saudara duduk terlalu lama serta kaki sakit semasa memijak, saya merasakan kemungkinan besar saudara mengalami masalah yang berkaitan dengan tulang belakang. Masalah yang paling sering berlaku ialah masalah slipped interveterbral disc atau prolapsed interveterbral disc.

    Dalam kedua-dua masalah ini, apa yang terjadi ialah pelapik yang terletak di antara tulang belakang terkeluar dan menekan saraf yang keluar di sisi tulang belakang. Ini boleh terjadi akibat trauma pada bahagian belakang, misalnya terjatuh atau cedera semasa bersukan.

    Seseorang itu akan mengalami sakit pada bahagian pinggang selalunya pada bahagian tengah tulang belakang. Sakit ini menjadi lebih teruk semasa bergerak, duduk lama, berdiri lama atau di dalam posisi tertentu seperti membongkok.

    Sakit ini boleh dikurangkan dengan baring atau rehat atau dengan memakan ubat tahan sakit. Sering juga sakit ini juga akan menjalar turun ke bahagian paha dan kaki. Pesakit selalunya menggambarkan kesakitan ini seperti aliran elektrik turun ke kaki. Pada peringkat yang teruk, ia boleh menyebabkan kebas-kebas pada bahagian paha dan kaki malah kaki juga boleh menjadi lemah dan lumpuh.

    Sakit yang berpunca dari batu karang ginjal juga boleh mempunyai tanda tanda yang sama iaitu sakit belakang yang teramat sangat. Bagaimanapun, ia akan dirasai pada bahagian di mana batu itu berada iaitu sama ada di sebelah kiri atau kanan tulang belakang.

    Sakit yang berpunca dari batu karang ini berbentuk memulas dan tidak ada kaitan dengan pergerakan atau posisi badan. Malah ia boleh berlaku ketika seseorang sedang berehat.

    Ada setengah pesakit akan mengalami loya dan muntah. Jika batu karang mula bergerak turun ke dalam ureter, sakit yang memulas ini akan dirasakan turun ke bahagian bawah abdomen.

    Pada kaum lelaki, sakit ini boleh dirasakan hingga ke buah zakar atau penghujung kepala zakar. Kebanyakan pesakit juga akan mendapati air kencing akan bercampur dengan darah.

    Ada juga yang mengatakan terdapat ketulan batu atau pasir dilihat keluar bersama-sama dengan air kencing .Kencing juga akan menjadi pedih dan tidak lawas sekiranya air kencing dijangkiti kuman.

    Untuk mendapat penyelesaian punca masalah sakit belakang saudara, saya ingin menasihatkan saudara berjumpa pakar orthopedik terlebih dulu. Beberapa penyiasatan seperti x ray dan mungkin Magnetic Resonance Imaging perlu dilakukan untuk mengetahui status sebenar tulang belakang saudara.

    Untuk mengetahui sama ada saudara menghadapi masalah batu karang ginjal pula, ujian seperti xray dan ultrasound ginjal perlu dilakukan. Bagi sesetengah pesakit yang disyaki mengidap masalah batu dalam ureter pula, siasatan seperti intravenous urogram (IVU) atau CTU perlu dilakukan.

    Info Kesihatan

    Kesan negatif akibat masalah tulang belakang

    1. Osteoporosis (bagi wanita)
    2. Stress
    3. Migrain
    4. Rabun dekat/jauh
    5. Sakit mental
    6. Lemah tenaga batin
    7. Kurang aktif atau kurang stamina
    8. Cepat letih
    9. Cepat marah
    10. Lambat berfikir
    11. Sakit pinggang
    12. Masalah buah pinggang

    Faktor Diska Tergelincir

    • Mengangkat barang berat tanpa mengikut cara atau kaedah yang betul.
    • Melompat dari tempat yang tinggi.
    • Terbabit dalam kemalangan jalan raya.
    • Kurang bersenam sehingga menjadikan tulang belakang tidak kuat.
    • Sering melakukan aktiviti lasak.

    Simptom

    • Sakit bahagian belakang pinggang.
    • Sengal dan kebas punggung dan kaki.
    • Lemah kaki.
    • Kesakitan berdenyut-denyut pada paha dan kaki.
    • Jika diska tengkuk terbabit, kesakitan akan dirasai sehingga ke tangan dan kebas kaki.

    Rawatan

    PESAKIT yang mendapatkan khidmat tukang urut, biasanya hanya pulih untuk seketika tetapi selepas beberapa hari, keadaan itu boleh menjadi bertambah serius.

    Justeru, pesakit dinasihatkan supaya menemui doktor dan menjalani pemeriksaan sinaran-X serta Magnetic Resonance Image (MRI). Melalui MRI, doktor dapat melihat dengan jelas dan mengenal pasti diska yang terkeluar dari kedudukan asal.

    Selepas disahkan diska menekan urat saraf, doktor akan menjalankan rawatan peringkat awal, iaitu rawatan konservatif ke atas pesakit. Pesakit dinasihatkan supaya banyak berehat, tidak melakukan kerja berat atau mengangkat barang berat.

    Pesakit juga diberi ubat-ubatan dan jika kesakitan beransur kurang, mereka dinasihatkan melakukan senaman ringan untuk menguatkan otot. Lazimnya, pesakit akan menjalani rawatan konservatif di antara tiga dan enam minggu.

    Bagaimanapun, jika tidak ada sebarang perubahan selepas tempoh itu, doctor akan menasihatkan pesakit supaya menjalani pembedahan discectomy. Melalui pembedahan ini, doktor akan mengeluarkan sedikit diska yang tergelincir supaya tekanan ke atas saraf dapat dikurangkan.

    Biasanya, selepas pembedahan, pesakit akan pulih dalam tempoh kira-kira dua minggu hingga satu bulan. Mereka juga berasa lebih selesa untuk melakukan aktiviti harian.

    Bagaimanapun, pesakit dinasihatkan supaya bersenam dan tidak melakukan aktiviti yang boleh menyebabkan diska tergelincir.

    Tahukah anda?

    SERAMAI 2.2 juta penduduk Britain dilaporkan menerima rawatan sakit belakang setiap tahun dan sebahagian besarnya didapati kurang cergas serta jarang bersenam.

    Menurut pakar biokimia Hospital Royal Free, London, Prof Donald Grieve, pekerjaan yang hanya memerlukan seseorang itu duduk terlalu lama, dipercayai menjadi punca sakit belakang, selain kurang bersenam yang menyebabkan lemah otot dan mudah mengalami kecederaan.

    # Elak baring terlalu lama.

    Mengurangkan sakit belakang

    # Berehat.

    Sebaik-baiknya berbaring di atas katil yang rata dan letakkan bantal dibawah lutut. Cara itu dapat mengurangkan ketegangan otot. Cuba lakukan kaedah ini tiga hari berturut-turut. Terlalu lama baring pun tidak elok kerana ia boleh menyebabkan otot menjadi lemah dan ini mendedahkan ketegangan.

    # Mandi air suam

    Mandi atau berendam di dalam air suam boleh melegakan sakit belakang.Sebaik-baiknya rendam dalam air suam selama kira-kira 20 minit setiap hari.Bagaimanapun, wanita mengandung tidak digalak menggunakan kaedah ini kerana boleh menyebabkan keguguran.

    # Menggunakan tilam yang sesuai

    Tilam lembik dan buruk boleh memburukkan lagi keadaan sakit belakang. Dapatkan tilam yang lebih elok untuk menjamin keselesaan dan kesihatan.

    # Ambil aspirin

    Aspirin boleh dimakan untuk meredakan kesakitan, tetapi mesti mendapat pandangan doktor terlebih dulu kerana bimbang terhadap kesan yang boleh dihadapi disebabkan pengambilan itu.

    # Relaks

    Tenangkan fikiran kerana sakit belakang juga dipercayai berpunca daripada tekanan emosi.

    # Gunakan kusyen

    Sebahagian besar kerusi kenderaan tidak menepati ciri-ciri keselesaan dan apabila memandu terlalu lama, kesakitan akan bertambah teruk. Justeru, untuk memastikan kesakitan tidak berterusan, letakkan kusyen kecil di belakang anda.

    # Berenang

    Berenang adalah senaman aerobik yang paling berkesan untuk meredakan sakit belakang. Jika tidak tahu berenang, berjalan pantas juga dapat membantu meringankan masalah.

    # Mengangkat barang dengan cara yang betul

    Apabila mengangkat barang berat, pastikan barang itu diangkat dengan cara yang betul. Contohnya, dekatkan barang itu ke badan anda.

    # Kawal berat badan

    Pastikan berat badan seimbang. Badan yang terlalu berat juga boleh memburukkan lagi keadaan sakit belakang.

    Berakhirnya rawatan

    Hari ini, 17/3/2010, secara rasminya berakhirlah rawatan sakit belakang ku di Damansara Specialist Hospital.

    Mengimbas kembali, aku mula sakit pinggang pada bulan Januari. Paling teruk di awal Februari. Pada mulanya aku menyangkakan bahawa ini hanyalah sakit biasa sahaja, maka rawatan cuma di klinik biasa, berurut dan juga rawatan di Pusat rawatan Islam Darul Salam, kalau-kalau sakit ini berpunca dari gangguan jin atau makhluk-makhluk lain.

    8/2 /2010, apabila pergi klinik panel yang kedua, aku diberitahu bahawa kemungkinan saraf  ku yang bermasalah dan aku disyorkan bertemu dengan pakar saraf. Mungkin ditakdirkan, aku benar-benar bertemu dengan pakar saraf, sebab ramai pula mengatakan aku sepatutnya bertemu dengan Pakar Orthopedic. Sekarang aku percaya, jika bertemu Pakar Orthopedic, kemungkinan untuk aku menjalani pembedahan agak tinggi berbanding apabila aku bertemu dengan pakar saraf.

    Pelbagai rawatan telah dijalankan, X-Ray, CT- Scan, dan MRI. 8 sesi fisioterapi, dan 3 kali bertemu doktor. Sehingga semalam 16/3/2010, bil yang telah di claim oleh Hospital Pakar Damansara adalah berjumlah RM2705.80. Ini belum termasuk 3 lagi sesi fisioterapi dan juga temujanji berjumpa doktor hari ini.

    Mungkin kerana terlalu sakit, hingga kami terlupa satu fakta. Had kelayakan untuk mendapat rawatan dari Klinik Panel (GP) dan berjumpa pakar (SP) untuk isteri dan anak yang layak untuk my hubby hanyalah RM3000. Ini bermakna, bahawa budget untuk GP dan SP setahun untuk aku dan Adam telah habis. Lepas ini, jika aku atau Adam sakit, kami perlu pergi ke Klinik Panel MARA. Syukur sebab kami berdua ada kemudahan klinik panel masing-masing.

    Pagi ini, sekali lagi aku tersentak, bila kerani di hospital bertanya berapa hari MC yang aku layak. Dengan muka yang penuh yakin akupun menjawap 90 hari. Bila ditanya sekali lagi betulkah 90 hari?, baru aku perasan.Yang sebenarnya adalah seperti berikut :

    1. 90 hari setahun dari Hospital Kerajaan/Klinik Panel(termasuk No 2 di bawah)
    2. 15 hari setahun dari Hospital Swasta – (out patient)
    3. 180 hari setahun dari Hospital Swasta – (in patient)

    Mengambil kira 2 fakta di atas, sepatutnya awal-awal lagi aku memilih untuk dimasukkan ke ward, kerana kelayakan untuk Hopitalization adalah RM30,000 setahun untuk aku dan Adam. Dengan itu tiada masalah dalam MC dan RM. Walaupun aku tiada sebarang masalah dengan MC sekarang ini, tetapi awal tahun depan pastinya My Hubby ada sedikit masalah dengan RM, dimana kemungkinan kena potong gaji untuk membayar lebihan perbelanjaan yang telah aku gunakan.

    Apapun, ‘LESSON LEARNED HERE’. Sebagai peringatan semoga perkara yang sama tak berulang lagi. Just remember, apa-apa pun better to be admitted.

    Syukur, kerana aku tidak perlu lagi berulang alik ke Damansara Specialist Hospital, samada untuk temujanji dengan doktor ataupun untuk rawatan fisioterapi.

    Rawatan sakit belakang tanpa pembedahan

    Rawatan sakit belakang tanpa pembedahan

    Oleh Hazlinda Hamzah
    - BERNAMA

    SAKIT belakang tidak semestinya memerlukan pembedahan sebagai kaedah penyelesaiannya. – gambar hiasan.


    Saya tidak mahu dibedah untuk pulihkan masalah sakit belakang saya. Saya takut jika pembedahan itu tidak berjaya dan saya lumpuh. Saya tidak yakin sanggup menanggung akibatnya,” kata Siti Ismail, seorang wanita bertubuh kecil yang aktif bersukan mewakili tempat kerjanya, seperti badminton dan ping pong.

    Sakit belakang yang dialaminya sejak beliau mengangkat sebuah pasu bunga berat, kini merupakan kebimbangan utamanya.

    Selepas bertemu dengan beberapa pakar ortopedik, pakar neurologi serta pengamal perubatan alternatif, Siti yakin bahawa sakit belakang beliau boleh dirawat tanpa pembedahan. Dan beliau yakin keputusan beliau betul!

    Dr. Siow Yew Siong, seorang Pakar Bedah Ortopedik berpengalaman, mengesahkan bahawa pembedahan bukan satu-satunya kaedah pemulihan sakit belakang dan ia bukan dalam senarai keutamaan rawatan bagi mereka dengan masalah spina degeneratif.

    SAKIT BELAKANG

    “Kebanyakan mereka yang mengalami sakit belakang menyeksakan khususnya di bahagian bawah badan ialah yang berusia lebih 45 tahun. Ini disebabkan oleh tulang spina yang menebal dan juga ligamen. Sebenarnya, kaki yang berasa kebas merupakan sebahagian daripada simptom sakit belakang, khasnya di bahagian bawah,” jelas Dr. Siow.

    Apabila ditanya berapa lama tempoh yang diambil oleh mereka yang mengalami sakit belakang untuk mengatasi kesengsaraan ini, tidak kira semasa berdiri atau duduk, Dr. Siow berkata: “Pertama, kami perlu bertanyakan kepada pesakit sejarah terperinci sakit belakang yang mereka alami. Kemudian, menguji kekuatan otot untuk memastikan refleks mereka. Satu ujian darah dilakukan untuk mengenal pasti punca sakit yang teruk ini.

    “Langkah berikut ialah ujian MRI ataupun Magnetic Resonance Imaging, yang akan mengenal pasti sama ada sakit itu disebabkan oleh masalah tulang degeneratif atau kecederaan,” katanya ketika ditemui pada forum kesihatan umum bagi Sakit Belakang dan Kaki Kebas, baru-baru ini.

    Satu ujian saraf kemudian dijalankan untuk mengenal pasti saraf yang terbabit dalam sakit yang menyeksakan ini. Imbasan tulang hanya dilakukan untuk mendiagnosis bahagian tulang yang terbabit dan juga untuk memantau apa-apa jangkitan selepas kecederaan berlaku.

    “Saya cadangkan pencegahan sebagai cara terbaik dalam mengelak sakit belakang yang menyeksakan ini. Lakukan senamanan Neural Flossing. Ia hanya mengambil masa 30 minit; 10 minit apabila anda bangun pagi, sebelum turun dari katil untuk ke tandas dan 20 minit sebelum anda masuk tidur.

    “Pesakit saya sentiasa memberi alasan yang mereka kesuntukan masa. Pastikan tilam anda mampat, supaya ia dapat menampung badan anda dengan baik,” tegas Dr. Siow apabila ditanya akan kaedah rawatan terbaik bagi sakit belakang.

    RAWATAN BAGI SAKIT BELAKANG

    Menurut beliau, setiap orang harus meneliti dengan serius postur berdiri dan duduk masing-masing.

    Nasihat beliau, pastinya wajar diberikan pertimbangan khusus bagi mereka yang menaip berjam-jam di hadapan komputer di ruang kerja mereka.

    “Duduk lama di satu tempat tidak baik untuk tulang belakang anda. Saya menggalakkan pesakit saya untuk mengingatkan rakan-rakan mereka supaya berdiri untuk beberapa minit selepas duduk selama sejam.”

    “Berjalan pastinya disyorkan, walaupun mungkin ada majikan yang tidak senang dengan kakitangan ‘hiperaktif’ yang berjalan semasa waktu kerja,” tambah Dr. Siow berseloroh.

    Harus diingati yang tiada siapa yang terkecuali daripada sakit ini, tidak kira muda atau tua.

    Sebenarnya, sakit belakang yang dialami oleh pesakit muda tidak kurang serius berbanding golongan berusia yang mengalaminya. “Bagi kanak-kanak, ia sebahagian daripada proses pembesaran mereka,” jelas Dr. Siow kepada seorang ibu yang meminta penjelasan semasa forum itu.

    Seorang lagi yang hanya mahu dikenali sebagai Nordin, bertanya mengenai teknik serta keberkesanan rawatan frekuensi radio oleh kerana ramai yang takut untuk menjalani pembedahan.

    Pakar ini menjelaskan bahawa di bawah prosedur gelombang radio, saraf di tempat berkenaan dibakar dan rawatan ini boleh menghentikan rasa sakit bagi tempoh 9 hingga 12 bulan.

    Bagaimanapun, untuk memastikan tempoh bebas sakit yang lebih lama latihan Neural Flossing mesti dijalankan secara berterusan.

    POSTUR BAIK

    Aneh sekali, selepas itu pesakit biasanya lupa masalah mereka itu dan mereka akan leka semula apabila tiada sakit ini selama 12 bulan. Mereka juga mengabaikan senaman dan akhirnya sakit belakang ini menghantui mereka semula.

    Saraf menghantar perutusan sakit ke otak. Oleh itu apabila saraf dirawat mengikut prosedur ini, ia menghentikan perutusan sakit. Bagaimanapun, saraf ini boleh hidup semula dan tumbuh.

    Terdapat kes di mana saraf-saraf ini walaupun kembali berkomunikasi dengan otak, tiada lagi rasa sakit. Ini kerana pesakit terus menjalani fisioterapi dan latihan secara berjadual.

    Hari ini, terdapat pelbagai penawar untuk merawat sakit belakang, yang boleh menjejaskan kehidupan.

    Epidural Lysis dan Radiofrequency Ablation kini terdapat di Malaysia, satu terapi intervensi untuk meredakan sakit akut dan kronik.

    “Saya hanya akan mengesyorkan pembedahan jika ia benar-benar perlu khususnya apabila ia menjejaskan gaya hidup pesakit. Walaupun demikian, kita perlu menilai sakit ini terlebih dahulu kerana pembedahan tidak bermakna rasa sakit ini akan hilang. Saya menasihatkan kepada sesiapa sahaja supaya menjaga dengan baik postur mereka, gunakan pendakap secara berterusan untuk mengelakkan bongkok. Rawat sebarang kesakitan dengan merujuk kepada doktor yang pakar dalam bidang ini,” Dr Siow mengingatkan semua.

    Menjaga postur anda semasa menggosok pakaian juga penting kerana pergerakan mendadak tulang belakang boleh menimbulkan masalah.

    Kesihatan Bertambah Baik, Syukur Alhamdulillah

    Hari ini, setelah lebih 2 minggu dari perjumpaan yang lalu, aku menemui Dr Azmi semula.  Soalan pertama doktor, “Macam mana dengan perkembangan sekarang, ada kurang ker? Berapa peratus pengurangannya?”

    Alamak, sakit pun boleh kira peratus ker? Apa nak jawap nih.

    “Entahlah doktor, saya rasa macam tak der kurang pun, kadang rasa makin sakit adalah. Saya ada ramai kawan yang kerja sebagai doktor juga dan mereka nasihatkan saya, kalau sakit makan jer ubat. Doktor suruh saya makan Neurotin 2x sehari, kalau sakit sangat kadang saya makan 3x sehari. Cuma biasanya kalau saya makan ubat tengahari, petang tuh kepala saya mula rasa dizzy dan macam nak muntah”

    “Yer ker, kalau tak der kurang, then saya akan suggest to go for operation”

    “Oklah, kalau macam tuh”

    “Tak per, U baring dulu atas katil, saya nak periksa”

    Doktor cuba mengangkat kaki kiri.

    “Doktor, tuh bukan kaki yang sakit”

    “Yer saya tahu”, bila kaki kiriku dah 90 darjah tegak ke atas.

    Lepas tuh doktor cuba pula mengangkat kaki kanan. Lebih kurang 80 darjah bila aku menjerit kesakitan. “Hmm dah better, dulu tak sampai 45 darjah pun dah kata sakit sangat, nih masih boleh tahan lagi nih kan, kalau saya tegakkan.

    “ Yer doktor.”

    “Kalau macam tuh, teruskan makan ubat dengan sesi fisiterapi. Nampaknya berkesan. Actually apa yang diorang buat yer?” (maksudnya dalam diam doktor mengakui keberkesanan sesi fisioterapi berkenaan)

    La doktor pun tak tahu ker? Nasib baik mulutku tak celupar macam tuh. “Mula2 diaorang tarik tulang belakang saya, lepas tuh letakkan mesin untuk kurangkan sakit, lepas tuh letakkan ais”. Dirumah pula 2x sehari, pagi dan malam saya buat 5 jenis exercise yang mereka ajar”.

    “Ok, kita jumpa lagi 2 minggu dari sekarang”.

    “Doktor boleh bagi ubat lebih sikit tak, sebab sekarang semua ubat dah habis”

    “Ok saya bagi ubat untuk 3 minggu”

    “Terima kasih doktor”. Lalu aku pun keluar dari bilik doktor dengan senyum panjang. Lega kerana tak perlu memikirkan mengenai pembedahan. Syukur Alhamdulillah.

    Balik dari Hospital Damansara, kami singgah membeli barang keperluan dan makan tengahri di Tesco Mutiara Damansara.

    Hospital Kerajaan vs Hospital Swasta

    Hari ni, kali ke 5 aku menjalani rawatan fisioterapi.

    Kali pertama dan ke 2 tengahari, kira-kira pukul 11.30 pagi.
    Kali ke 3 dan ke 4 pula adalah petang pukul 3.30, lepas tuh aku terus balik.
    Kali ke 5 dan juga ke 6 nanti adalah pagi, pukul 8.30 pagi.

    Setakat ini boleh dikatakan 2x seminggu aku menjalani rawatan berkenaan. Kira-kira sejam untuk setiap kali rawatan
    Setiap kali, apa yang lakukan adalah tulang belakangku ditarik untuk diregangkan dengan menggunakan mesin.
    Lepas kira-kira 20 minit, mesin untuk menahan sakit diletakkan ditempat yang sakit sangat. Biasanya aku rasa macam badanku kena ‘drill’.
    Lepas tuh pula, ditempat yang sakit akan diletakkan ais, kira-kira 20 minit lagi..

    5 tahun yang lalu pun aku pernah sakit pinggang. Pasal rawatan dan doktor pakar aku dah tulis sebelum ini.

    Sekarang mengenai fisioterapi.  Di Hospital kerajaan, sesi cuma diadakan disebelah pagi sahaja. 1x setiap minggu dan biasanya sesi aku pukul 10.30 pagi. Waktu itu, bermakna separuh hari waktu kerja aku dan suami ‘burn’ untuk sesi ini, berbanding sekarang cuma kira2 2 jam sahaja masa aku yang hilang (sejam untuk rawatan, sejam lagi perjalanan pergi dan balik).

    Perbezaan kekerapan, bilangan staff yang merawat dan pilihan waktu yang fleksible menyebabkan makin ramai orang yang memilih Hospital Swasta berbanding kerajaan, kecuali orang yang benar-benar tidak mampu. Kalau ikut kerja aku, memang aku kena pergi ke Hospital kerajaan. Terima Kasih kepada Syarikat My husband yang menyediakan kemudahan perubatan yang terbaik untuk staf dan keluarga. Aku dah 2 kali ‘menginap’ di sana, manakala Adam pula dah 4 kali. Setiap kali, secara purata bayarannya adalah RM1000 untuk 1 malam.

    Hari ini aku saja jer bertanya, untuk setiap kali sesi fisio ni, berapa bayaran sebenar yang dikenakan untuk saya.

    “RM150, kata kerani berkenaan, yang tak lekang dengan senyuman manisnya”.

    Aku dimaklumkan paling kurang aku memerlukan 10 sesi. Itu belum termasuk lagi kos untuk berjumpa doktor pakar dan juga ubat. Kemungkinan aku akan di rujuk kepada Dr lain, Pakar Orthpedic/neurosurgeon, kerana sekarang ini aku cuma berjumpa Consultant Physician/Neurologist.

    Cuma aku terfikir, sampai bilakah perkara ini akan berterusan?

    Kekurangan Doktor Dijangka Diatasi Lima Tahun Lagi (Utusan Malaysia 18/2/2010)

    Kekurangan 60 peratus doktor di hospital dan klinik-klinik kerajaan di seluruh negara dijangka dapat diatasi dalam tempoh lima tahun apabila lebih ramai siswazah dalam jurusan perubatan mula dikeluarkan universiti tempatan.
    Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, bagi mengatasi kekurangan itu, Kementerian Kesihatan melalui strategi jangka pendek menawarkan kepada doktor swasta untuk berkhidmat di hospital dan klinik kerajaan secara kontrak.
    “Kekurangan doktor terbabit termasuk doktor pakar itu ketika ini bagaimanapun tidaklah menjejaskan perkhidmatan di hospital atau klinik kerajaan.
    “Kerajaan yakin kekurangan tersebut akan dapat diatasi apabila 15 universiti di negara ini yang mengadakan jurusan itu dapat mengeluarkan sekurang-kurangnya 3,000 siswazah kedoktoran mulai tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat hospital Jerantut, di sini, hari ini.
    Katanya, kerajaan juga sentiasa berusaha mempertingkatkan perkhidmatan kesihatan terutama bagi rakyat di kawasan luar bandar dengan membina lebih banyak pusat kesihatan, selain menaik taraf pusat kesihatan sedia ada. – Bernama

    Fisioterapi utk slip disc

    Bila sebut lumbar disc prolapse ramai orang yang terpinga-pinga. Semalam bila kali pertama aku kerja setelah sekian lama MC, aku pun jawap jer ‘Slip disc’

    “Ohh… kakak saya pun dulu kena jugak, lepas buat operation baru OK”

    “Pakcik saya pun kena..tapi dia tak berani operation, sebab doktor kata kalau buat pun untuk sembuh just 50 50″

    “Apa slip disc? Mcm Anwar Ibrahim kena dulu yer, tapi sekarang dia dah Ok kan, dia buat operation kat luar negeri dulu kan”

    “Oh slip disc.. mcm Pn XX yang dulu kerja kat unit tuh..dah meninggal dah pun kan dia tuh”

    Tuh adalah antara komen2 yang aku terima semlama, mostly negetif dan menyakitkan hati, tetapi cuma kesabaran memujuk hati.

    Harinih pula aku menerima satu e-mail dari FB, Katanya suaminya pun mengidap sakit yang sama dan telah menjalani pelbagai rawatan. “At last. Setiap hari amalkan baca fatihah. Selepas solat at least 15 kali . Doa mintak disembuhkan penyakit. Tambah QulhuAllah 3 kali kalau larat sebelum mintak doa tu. Ada org ajar kat akak ni. Penyakit dari Allah Zack, Dia je boleh amik semula. InsyaAllah. BTW bagus juga sedekahkan fatihah kat anak2 selepas solat.”

    Tersenyum aku, Alhamdulllah, ada juga yang memberi petua yang tidak sukar untuk diamalkan, malah tidak memerlukan sebarang modal pun sebenarnya.

    Dalam lift untuk membeli makan tengahari terjumpa pula dengan rakan sepejabat, bertanyakan soalan dan memberikan jawapan yang sama.

    “Oh saya pun pernah kena, dulu saya accident, lama lepas tu kira2 10 tahun barulah kena kesannya. Lama juga buat rawatan fisioterapi dan makan ubat, Alhamdulillah sekarang dah Ok. ”

    “Tak buat operation ker?”

    “Tak, just makan ubat dan fisio jer”

    Lega, ada direct testimonial dari individu itu sendiri, bukan kakak, pakcik, suami atau orang lain.

    Petang nih sesi ke 3 untuk buat rawatan fisioterapi.

    Semoga kesakitan ini akan segera sembuh.

    Mohon doa semua

    Assalamualikum wrt wbt,

    Saya dengan rasa rendah dirinya mohon ampun dan maaf kepada pembaca semua, seandainya ada tulisan saya yang menyinggung hati anda semua.

    Maafkan semua kesalahan saya, dan tolong doakan supaya saya segera sembuh dari penyakit ini. Telah sebulan saya sakit pinggang, minggu lepas penyakit ini turun ke peha dan mulai jumaat lepas, turun ke betis pula. Hingga sekarang, betis dan kaki saya terasa kebas dan akan sakit sangat bila saya duduk lama di atas kerusi.

    Doakan semoga saya cepat sembuh. Amin..