Istimewa….utk ayah!

AISYAH menutup pintu biliknya perlahan-lahan. Dijengket-jengketkan kakinya supaya lantai tidak berbunyi, kemudian menuruni anak tangga ketingkat bawah dengan berhati-hati. Di hujung tangga dia menoleh ke atas, lega ibu dan ayah tidak sedar apa yang sedang dilakukannya.
PAP! Cahaya lampu kalimantang menerangi ruang dapur rumah teres dua tingkat itu. Aisyah tersenyum lebar. Ya, ini-lah masanya… inilah masanya. Sudah lama dia menantikan saat itu, sekarang sampailah saat yang dinanti-nantikannya.

Hari Sabtu, September 2003, Aisyah ingin memulakan hari itu dengan sesuatu yang istimewa.
Dia mencuci cili merah yang diambil dari dalam peri sejuk dan kemudian mengupas bawang besar. Sebilah pisau tajam dicapai, diikuti papan landas, piring dan mangkuk. Kabinet dibuka, sekali lagi dia tersenyum melihat bekas putih yang penuh berisi tepung gandum. Minyak masak lebih daripada mencukupi.

Senyuman lebar terukir di wajah kanak-kanak comel berusia 11 tahun itu. Dia ingin memulakannya sekarang. Ya sekarang, sebelum ibu dan ayahnya terjaga.
Dengan pantas Aisyah mencedok sesudu tepung tapi ketika hendak menuangnya ke dalam mangkuk…
PRRANGG! sudu itu terlepas daripada genggamannya. Lalu bertaburanlah tepung di atas lantaidan meja.

Aisyah cemas. Habis, habis kotor meja yang baru dibeli ayahnya. Dengan tergesa-gesa dia mengaut tepung itu, namun sisa-sisanya tetap mengotori meja tersebut. Tak apalah, kotor sikit saja, Aisyah menenangkan perasaannya. Sudu tadi dicuci dan Aisyah bersiap untuk memulakan impiannya.
Namun bila melihat meja yang kotor dan aneka bahan di depan matanya, Aisyah tiba-tiba jadi celaru. Mana satu yang patut dimulakan dahulu. Adun tepung? Potong cili? Hiris bawang? Minyak masak? Kuali? Garam?

“Macam mana ni?” Aisyah menggaru kepala.
Dia pandang ke luar. Alamak! Matahari pagi sudah menjengah, mungkin pukul 7.00 pagi. Badannya menggeletar, pasti sekejap lagi ibunya turun ke dapur. Selepas itu ayahnya pula muncul. Habis, habiiiiis! Aisyah perlu siapkan cepat! Dia perlu bersihkan segala kotoran itu sekarang!
“Macam mana ni? Macam mana ni?” Aisyah kian kalut.
Sudah banyak kali Aisyah lihat ibunya memasak makanan istimewa ini, nampak mudah saja tapi… Aaaahhhh!

Tangan Aisyah menggigil semasa menuangkan air ke dalam mangkuk yang berisi tepung. Dikacaunya tepung itu hingga likat. Malangnya dalam sibuk menggaul, tangannya tersinggul cawan yang diletak di tepi meja!
PPRRAANGG”
Lalu berhamburanlah air membasahi lantai dan kain pelapik di bawah sinki. Lekas-lekas kain tersebut dibaling ke dalam bakul atas mesin basuh.
Sambil menggaul tepung bercampur cili dan bawang yang telah dihiris-hiris, berkali-kali Aisyah memandang ke luar jendela. Alamaaaak… dah siang!

“Aku kena siapkan cepat, kalau tidak…” Aisyah tambah kalut.
Malangnya baru menuang sedikit minyak ke dalam kuali yang telah diletakkan di atas dapur, Aisyah teringat sesuatu. Ah, dia sepatutnya mencampurkan adunan tadi dengan ikan bills. Tapi mana ikan bilisnya? Mana? Mana? Hari sudah cerah! Ikan bills perlu disiang, dibasuh.
Aisyah mengesat air matanya yang mula menitis. Dia takut dimarahi ibu kerana mengotori dapur, bimbang dipukul ayah kerana membuat sesuatu yang tidak disuruh. Mereka pasti berang melihat dia memasak seorang diri. Ibu dan ayahnya sudah banyak kali berpesan, ‘jangan main pisau, jangan main api’!

Dalam pada Aisyah kalut mengambil minyak masak, menyiang ikan bilis, membubuh garam ke dalam tepung likatnya, tiba-tiba hujung matanya melihat kelibat seseorang di belakangnya. Aisyah menoleh…

“Mama! Ayah!”
Aisyah gamam melihat ibu dan ayah berdiri memandangnya. Tubuh kanak-kanak comel itu menggigil, mukanya pucat lesi. Dia tunduk memandang meja yang kotor dengan ikan bilis, biji cili, kulit bawang…
Lantai pula comot dengan tepung dan minyak masak yang ditumpahkannya. Pinggan, cawan, pisau, piring dan papan landas berterabur di atas meja serta dalam sinki. Air mata Aisyah tak dapat disekat-sekat lagi. Digenggamnya jari-jemari yang penuh bercampur dengan tepung.
“Mmm… mmama… aa… ayah…” katanya tersekat-sekat, “maafkan Aisyah. Aisyah nak buatkan cekodok untuk ayah, tapiiii…”

Belum sempat dia menghabiskan kata-kata, si ayah duduk di depannya. Aisyah tunduk, tidak berani melihat wajah ayahnya.
“Aa… Aisyah nak… nak buat cekodok. Ayah kan suka cekodok,” ulang Aisyah sambil menahan tangisannya. Habis, pasti aku kena marah, pasti aku kena pukul, kata Aisyah di dalam hati.
Tapi tiba-tiba Aisyah merasa tubuh-nya dirangkul penuh erat, kemudian pipi dan dahinya dicium berkali-kali. Pelukan itu hanya dirungkai hampir seminit kemudian dan si ayah merenung wajah cornel anaknya itu. Pandangan dua beranak itu bertembung.
“Ma… maa… maafkan Aisyah ya, ayah…” rayu Aisyah tersedu-sedu.
“Ayah tak marah. Ayah tau Aisyah sayang ayah…” kata si ayah dengan suara sebak. Air matanya juga bergenang. Dipeluknya Aisyah sekali lagi.

Si ibu datang menghampiri. “Bila bunyi bising-bising kat bawah ni, mak dan ayah turun. Kami sejak tadi perhatikan Aisyah. Aisyah nak buat cekodok ni sebab hari ni hari jadi ayah, kan?” tanya pula si ibu sambil membelai rambut anaknya itu.
Aisyah mengangguk. Ya, sejak dua hari lepas sudah diberitahu hajat itu kepada ibunya. Itulah sarapan kegemaran ayahnya, orang yang amat Aisyah sayangi. Dia ingin meraikan hari lahir bapanya itu dengan suatu yang istimewa juga.

“Jom, mari kita buat sama-sama,” sambung si ibu lalu menarik tangan Aisyah.
“Okey… ayah kupas ikan bilisnya,” sambung si ayah sambil menyeka air mata anaknya itu. Senyuman manis terukir di wajah mereka.
Pembaca budiman, dalam menjalani hidup ini, kita cuba untuk melakukan yang terbaik tapi ia tidak semudah yang direncanakan. Kita berusaha menyediakan sesuatu yang paling istimewa untuk orang tersayang, tapi sering kali kita gagal melaksanakannya.

Kita berusaha memberikan yang terbaik untuk anak-anak, namun bukan mudah melakukannya. Anak-anak pula cuba untuk meraih perhatian serta menunjukkan betapa mereka juga sayangkan ibu dan bapa, tapi bukan semua ibu bapa memahaminya…

Mahkota Untuk Ayah

qamar_muneera

“Ayah, maafkan Udin. Andai Udin tahu hasrat ayah. Andai Udin tahu impian ayah. Andai Udin tahu rahsia hati ayah. Udin takkan bantah cakap ayah. Udin akan mengaji Quran sungguh-sungguh dengan Ustaz Naim. Udin akan tunaikan impian ayah kala ayah masih disisi,” sayu kedengaran suara Ustaz Saifuddin. 

Jiwanya dibentur gundah. Dia baru usai menghadiahkan bacaan Yassin buat ayah. Ustaz Saifuddin mengusap-usap lembut batu nisan. Seakan-akan dia membelai kepala ayah. Raut wajahnya terpampang rasa terkilan.

” Udin buka kelas Al-Quran untuk orang-orang tua sekarang. Udin mengajar sepenuh masa di situ. Ramai pakcik-pakcik dan makcik-makcik datang mengaji. Seronok Udin tengok semangat mereka. Bersungguh-sungguh benar mereka mahu belajar Al-Quran. Kalau ayah ada…,” 

Udin tidak dapat meneruskan bicara. Kerongkongnya terasa perit. Air yang bertakung di tubir mata sudah lama berjujuhan.

“Ayah, semalam Udin mimpi. Udin lihat ayah dipakaikan mahkota yang sinarnya terang benderang. Lebih bercahaya dari sinar matahari. Wajah ayah berseri-seri. Ayah pandang Udin. Ayah senyum. Tak pernah Udin tengok ayah senyum semanis itu. Kalau boleh, waktu itu Udin tidak mahu celikkan mata. Biarlah Udin terus pejam dan menikmati senyuman ayah. Adakah ayah sudah ampunkan Udin? Ayah, Udin rindukan ayah,” Ustaz Saifuddin menyeka air mata yang kian tidak terbendung. 

**********************************************

Wajah Udin berkerut menahan sakit. Rasa tidak puas hati menyembur-nyembur dari anak matanya. Dikerling betis yang kini berbalar. Kesan-kesan merah tampak jelas. Air mata ditahan. Tidak dibenarkan walaupun setitis gugur. Menangis ertinya lemah. Ayah tidak adil. Kenapa dia sahaja yang selalu kena marah. Kenapa dia sahaja yang selalu dirotan. Ayah memang tidak sayangkan dia. Ayah hanya sayangkan Kak Sarah. 

Dia menjeling tajam ke arah Kak Sarah. Geram membuncah di hati melihat muka selamba Kak Sarah yang seolah-olah mengejek-ejeknya. Kak Sarah memang sengaja hendak kenakan dia. Kak Sarah memang gatal mulut. Kak Sarah tidak patut memaklumkan ayah tentang hal dia mandi di sungai hujung kampung sekaligus tidak menghadiri kelas agama. Kak Sarah memang menyibuk. 

Muqaddam dan papan rehal di atas meja diregut kasar. Kakinya sengaja dihentak-hentak ketika berjalan. Berdetap-detup bunyi papan lantai dipijak.

” Nanti!” Kak Sarah menahannya.

“Apa lagi!” sergah Udin. Mukanya merona merah.

“Tak mahu pakai kopiahkah?” Kak Sarah berlembut. Cuba menyiram api kemarahan adiknya. 

Cepat-cepat Udin merabut kopiah lusuh di tangan Kak Sarah. Ternyata Kak Sarah gagal menyejukkan hati Udin. Udin lemas selalu dileteri ayah. Ayah selalu membanding-bandingkan dirinya dengan Kak Sarah. Ayah selalu memuji-muji Kak Sarah. Memang dia tidak nafikan Kak Sarah punya banyak kelebihan berbanding dirinya. Darjah tiga Kak Sarah sudah khatam Al-Quran. Setiap tahun Kak Sarah naik ke pentas menerima anugerah pelajar cemerlang. 

Dengan keputusan yang memberangsangkan dalam UPSR Kak Sarah dapat melanjutkan pelajar di sebuah sekolah menengah sains. Memang Kak Sarah menjadi kebanggaan ayah dan emak. Sebaliknya, Udin masih membaca Muqaddam walaupun kini sudah berusia sepuluh tahun. Namanya kerap juga dipanggil waktu perhimpunan kerana tidak siap tugasan yang diberi oleh guru ataupun ponteng kelas. 

Dia lebih suka menghabiskan sepanjang petang memancing ikan atau mandi sungai di hujung kampungnya daripada menghadiri kelas agama. Kadang-kadang dia berbasikal hingga ke kampung seberang semata-mata mahu bermain bola sepak. Pada malam hari, budak-budak lain terkocoh-kocoh pergi mengaji di rumah Ustaz Naim, Udin bersama-sama dua tiga rakannya yang lain seronok berlumba basikal di atas ban. 

Ayah rungsing memikirkan tentang anak jantannya yang seorang ini. Degilnya bukan sedikit. Puas Udin dirotan dan dihukum oleh ayah. Pernah ayah mengikat Udin pada batang pokok rambutan di belakang rumah kerana ponteng kelas mengaji. Habis badan Udin merah-merah digigit kerengga. Pernah juga Udin dikurung di luar rumah kerana pulang dari bermain lewat petang. Namun, insafnya hanya bertahan beberapa hari sahaja. Kemudian Udin kembali dengan sikap bebalnya. 

Lantaran itu, Udin acapkali dimarahi dan dileteri ayah. Tiada hari yang dilalui Udin tanpa bebelan dan jalur-jalur merah pada tubuh kecilnya. Mujur ada emak. Emaknyalah yang selalu mempertahankannya apabila dia dimarahi ayah. Ketika ayah mengangkat rotan, Udin cepat-cepat berlindung di belakang emaknya. 

” Esok kita akan bertolak selepas subuh. Pakaian dan barang-barang keperluan dah siap dikemas Udin?” suara garau ayah mengejutkan Udin. Lamunannya terganggu. Raut wajah ayu Fatimah, anak Haji Hussain yang bermain-main dalam anak matanya sebentar tadi pecah berkecai.

” Sudah ayah,” Udin gugup. Matanya disapa sayu. 

Esok Udin akan berpisah dengan Fatimah. Udin akan dihantar melanjutkan pelajar di sebuah pondok di Kelantan. Keputusan UPSR yang corot menyebabkan dia tidak berjaya menempatkan diri di mana-mana sekolah menengah berasrama penuh mahupun sekolah menengah sains. Ayah mengambil keputusan menghantar Udin mendalami ilmu agama. Itu memang impian ayahnya selama ini. Ayah tidak mahu Udin bergaul lagi dengan rakan-rakan yang biadap tingkahnya. 

Pada mulanya Udin berasa tertekan amat. Udin terkongkong dengan pelbagai peraturan dan pantang larang sepanjang berada di pondok. Kebebasan bermain dan merayau-rayau bersama rakan-rakan yang pernah dinikmati suatu masa dulu tidak dapat dilaksanakan lagi kini. Setiap hari, Udin perlu menghadap Al-Quran. Bukan sekadar membaca, menghafal malah! Udin juga perlu mengulit pelbagai kitab-kitab tebal seperti Fathul Muin, Riyadhus Salihin dan Ihya Ulumuddin. 

Segala kerja rumah harian seperti membasuh, melipat dan menyeterika baju terpaksa dilakukan sendiri. Udin agak ketinggalan berbanding sahabat-sahabat lain kerana Udin masih merangkak-rangkak membaca Al-Quran. Lantaran itu, dia tidak dapat menghantar banyak hafalan baru sewaktu tasmi dengan ustaz. Penguasaan bahasa arabnya juga lemah. 

Pernah disuarakan pada ayahnya untuk berhenti belajar di pondok dan menyambung saja pengajian di sekolah menengah biasa. Namun ayah tidak ambil pusing. Mahu tidak mahu, Udin cuba menyesuaikan diri. Dia cium tangan, pipi dan dahi panas ayah seperti biasa pagi Jumaat itu sebelum bertolak pulang ke pondok selepas menghabiskan cuti beberapa hari di rumah. 

Ketika usai solat asar petang hari yang sama, mudir madrasah, Ustaz Syukri tergesa-gesa berjumpanya. Dia terjelepuk longlai mendengar berita pemergian ayah. Petang itu juga dia pulang semula ke kampung halamannya. Bagai mimpi. Sabtu keesokan hari Udin mencium pipi dan dahi sejuk ayah yang tidak lagi bernyawa. 

Kata emak ayah meninggal ketika menanti waktu asar menjelang. Tiba-tiba sahaja jantungnya gagal berfungsi.Wajahnya masih dibasahi titisan air wudhuk kala malaikat maut bertandang. Udin harapan ayah. Udin sandaran ayah. Suatu hari nanti, apabila Udin sudah pandai mengaji dan mahir ilmu Al-Quran ,ayah mahu belajar dengan Udin. Ayah tidak tahu baca Quran. Ibu hendak ajarkan dia tidak mahu. Ayah hendak Udin yang ajarkan dia. 

Setiap hari dia panjatkan doa agar Allah lembutkan hati Udin dan mudahkan Udin belajar Quran. Ayah malu untuk berguru dengan Ustaz Naim. Katanya sudah senja sangat untuk berguru lagi. Bicara ibu beberapa hari selepas ayah dikebumikan bersimpongang di indera dengar Udin. Tiada air mata yang tumpah kala itu. Bukan Udin tidak sedih. Bukan Udin tidak tersentuh. Cuma segala-galanya berlaku tanpa diduga. 

“Orang yang membaca Al-Quran sedangkan dia mahir melakukannya, kelak mendapat tempat di dalam Syurga bersama-sama dengan rasul-rasul yang mulia lagi baik. Sedangkan orang yang membaca Al-Quran,tetapi dia tidak mahir, membacanya tertegun-tegun dan nampak agak berat lidahnya yakni dia belum lancar, dia akan mendapat dua pahala. Hadis ini diriwayat oleh Bukhari dan Abul Husain Muslim bin Al-Hujjaj bin Muslim Al-Qusyaiy An-Nisabury dalam dua kitab Shahih mereka,” Ustaz Syukri menyejukkan hati Udin tika Udin mengadu kesukarannya membaca Al-Quran apatah lagi menghafalnya.

” Ustaz, bagaimana mungkin saya lakukan untuk membantu ayah yang tidak mengenal huruf-huruf Quran jauh sekali membacanya?” udin melontar pertanyaan yang terbuku dalam hatinya. Ustaz Syukri mengelus-elus janggutnya yang kian memutih. Air mukanya tenang. Hati pasti akan damai memandang kejernihan wajahnya. 

” Udin ajarlah ayah. Di sini Udin belajar sungguh-sungguh ilmu Quran. Kemudian bila pulang ke kampung Udin kenalkan ayah dengan Kalamullah ini. Ingat, sebaik-baik kalian adalah yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya. Orang tua ini selalunya ego. Dia segan nak pergi belajar dengan orang lain. Tentu dia malu. Mungkin dia akan lebih selesa jika yang mengajarnya itu darah dagingnya sendiri,” Ustaz Syukri menepuk-nepuk lembut belakang badan Udin.

“Tapi ayah Udin sudah tiada lagi…”Udin bersuara. Perlahan.Dia menekur hamparan hijau yangdijadikan alas duduk. Angin yang menyembung dari ruang tingkap bertiup kasar menampar-nampar tubuh Udin. Angin seperti mengutuk Udin kerana dosa-dosa lampau pada ayah. Sedih mengasak-ngasak sukma. 

“Barangsiapa membaca Al-Qur’an dan mengamalkan isinya, Allah memakaikan pada kedua orang tuanya di hari kiamat suatu mahkota yang sinarnya lebih bagus dari pada sinar matahari di rumah-rumah di dunia. Maka bagaimana tanggapanmu terhadap orang yang mengamalkan ini,” Ustaz Syukri memetik kembali hadis riwayat Abu Dawud yang pernah dibaca sewaktu dalam kelas Al-Quran. 

Ketika itu mereka sedang menekuni kitab At-Tibyaan fii Aadaabi Hamalatil Quran karangan Imam Nawawi. Udin tertegun. Udin menyeka air matanya. Wajah Ustaz Syukri direnung. Ada semangat menyelinap dalam lipatan hatinya. Biar dia masih bertatih membaca Kalam Allah. Biar dia tidak hebat seperti Kak Sarah dalam pelajaran. Biar sahabat-sahabat jauh meninggalkannya di belakang. Dia tidak akan putus asa.Dia akan mendalami bersungguh-sunggguh ilmu Quran dan mengamalkannya. 

Dia mahu hadiahkan ayah mahkota itu. Dia mahu ayah miliki mahkota itu dan menghuni syurga Ilahi walau ayah tidak pernah menyelak lembaran Quran apatah lagi membacanya. Angin kembali berpuput mesra. Seolah-olah memujuk udin. Seolah-olah merestui impiannya.

"Selamat Hari Bapa"

KASIH ADIELA

“Assalamualaikum, sayang. Dah lama tunggu?!”
Sapaan Tuah mengejutkan Adelia yang telah lama menanti.
“Waalaikumsalam. Kenapa awak selalu lambat? Ada date ngan orang lain ke?”
“Hmm..”
“Tuah…”
Adelia merengus.
“Selalu macam ni, dari kampus lagi. Awak nak makan apa?”

“Masa kampus, saya lambat sebab saya nak layan ramai aweks. Sekarang saya ada sorang kekasih aje. Jadi sekarang saya sibuk uruskan pasal majlis pertunangan kita. Nak makan apa, sayang?!”
“Sayanglah order dulu, Lia ikut sayang aje.”

Adelia menjawab lembut. Dengan senyuman manja, Adelia boleh menggegarkan iman Tuah. Sejak 4 tahun mereka berkawan, 2 tahun lepas. Adelia dan Tuah saling menerima diri masing-masing. Mengikat janji setia sebagai pasangan kekasih. Adelia adalah segala-galanya bagi
Tuah. Walaupun Adelia, anak yatim dan serba kekurangan. Tuah tidak pernah kisah, bagi Tuah. Hanya Adelia insan yang boleh menceriakan hidupnya.

“Tuah beruntung sebab ada sayang.”
“Lia pun, Lia sayang Tuah.”
“Kita kahwin.”
“Memanglah, kitakan dah janji.”
“Lia, hari raya keempat kita bertunang. Hari raya kelima lepas tu kita kahwin. Amacam?!”
“Tuah, kan ke kita nak ikut planning umi? 3 bulan lepas tu baru kahwinlah.”
“Tak bolehlah, lama sangat. Tak sabar nak memiliki Lia.”
“Iyalah tu!”
“Lepas tu kita dapat baby, Tuah nak anak kembar. Boleh ke, sayang?!”
“Boleh… Tapi ada syarat. Lia nak majlis tunang Lia nanti. Lia nak mawar putih dalam setiap hantaran. Lia tak nak Tuah datang. Biar Umi aje yang datang. Sarungkan cincin, Tuah takyah datang ya.”
“Tuah nak datang, nak tengok sayang.”
“Boleh… Tapi tak boleh anak kembar lah.”
“Adelia.”

Adelia ketawa, seronok mengenakan buah hati kesayangannya. Tuah menjuih bibir. Hubungannya dan Tuah dibajai Adelia dengan kejujuran dan ketulusan. Malah dia dan Tuah sama-sama menjaga batas-batas hubungan dan kepercayaan antara mereka. Itulah yang mengukuhkan cinta yang disemai sejak 2 tahun lalu.

* * *

“Terima kasih, Tuah. Penuhi permintaan Lia.”
“Kalau tak sebab nak anak kembar, abang terpaksa batalkan niat nak tengok Lia jadi milik abang.”
“Abang?!”
“Iyalah, sayang. Dah jadi tunang. Sayang kena panggil abang tau. Abang pulak akan panggil Adelia, sayang.”
“Abang, Lia sayang abang. Lia suka mawar putih tu. Lia nak simpan sampai bunga tu layu dan kering. Selagi bunga tu tak hancur, selagi itulah cinta Lia pada abang.”
“Terima kasih, sayang. Abang bagi 8 kuntum kan?”
“Apalah abang ni, 12 kuntum. Lia nak tanya abang, kenapa bagi gelang dan rantai sekali? Membazir aje.”
“Untuk sayang, nyawa pun abang sanggup gadaikan. Oklah sayang. Abang ada kerja sikit. Sayang bila nak balik KL? Abang rindu.”
“Lia ada cuti 6 hari lagi. Esok Lia nak ke hospital.”
“Kenapa?!”

Tuah cemas. Terdengar tawa manja Adelia.

“Lia nak buat medical check up. Nak kena hantar masa pendaftaran Master nanti.”
“Ooo… Sayang buat abang risau. Jaga diri, sayang. Tidur awal tau.
Jangan buat kerja berat-berat. I love you.”
“Lia pun.”
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam.”

Tuah mematikan talian, video yang diambil Tajol di hari pertunangan Adelia ditonton lagi. Sejak Tajol dan keluarganya kembali ke KL semalam, video itu hampir setiap hari ditontonnya, kemanisan dan keayuan Adelia di hari pertunangannya. Adelia sudah memakai tudung, itu janjinya andai dia dan Tuah bertunang. Segala-galanya milik Tuah, Tuah bersyukur. Adelia insan yang paling memahaminya. Malah hubungan mereka direstui oleh adik beradik Adelia dan keluarga Tuah. Busana putih susu yang digandingkan dengan warna keemasan, menambahkan
keayuan dan kecantikan Adelia. Tuah tersenyum, bangga bila mengenangkan Adelia sudah bergelar tunangannya. Dulu dia tidak pernah menghargai Adelia. Adelia hadir di sisinya
sebagai teman paling rapatnya sejak di semester satu. Dia dan Adelia saling menjaga antara satu sama lain. Adelia tidak pernah berkecil hati dengan Tuah bila Tuah mendampingi gadis lain. Bagi Adelia, Tuah tidak lebih dari seorang kawan, begitu juga Adelia. Hinggalah di tahun akhir pengajian, Tuah mulai menyedai kehadiran Adelia, itupun tatkala Adelia sering menceritakan tentang perancangan Along nya untuk menjodohkannya dengan Dr Hakimi. Sepupunya. Tuah mulai cemburukan Adelia. Lantas sebaik mereka menerima Ijazah di hari graduasi, Tuah
menyatakan hasrat hatinya pada Adelia, ternyata cinta Tuah disambut gembira oleh Adelia. Tuah bersyukur.

“Lia, Tuah rindu.”

* * *

“Maafkan Lia, Tuah.”
“Kenapa?! Kenapa?! Buat abang macam ni?!”
“Lia tipu awak selama ni, Lia tak pernah sayangkan awak. Lia hanya anggap awak macam kawan. Tak lebih dari tu.Lia dah tak boleh menipu diri Lia lagi. Lia penat membohongi perasaan Lia dan mainkan perasaan Tuah.”
“Tipu?!! Kau tipu aku!!! 2 tahun kau kata kau main-main. Jangan bodohkan aku, Lia!!!”
“Lia memang tipu kau, Lia sayangkan Hakimi. Lia baru sedar yang selama ni, hati Lia untuk Hakimi bukan untuk Tuah. Maafkan Lia, Tuah.”
“Kau malukan Umi, kau malukan keluarga aku. Apa salah kami kau buat kami macam ni?!”
“Lia tak sanggup menipu lagi, Lia tak sanggup hidup susah dengan Tuah.”
“Adelia!!!”
“Lia orang susah, Lia dah serik hidup susah selama ni. Bisnes Tuah belum tentu boleh menampung hidup Lia dan anak-anak nanti.”
“Cukup!!! Aku tak nak dengar semua tu lagi.”
“Ni jemputan Lia. Lia harap Tuah boleh datang.”

Adelia cuba berlalu, Tuah merentap lengan Adelia. Kasar.

“Aku akan miliki kau sebelum kau jadi milik Hakimi.”
“Jangan jadi bodoh, Tuah! Aku jijik dengan sentuhan dan perbuatan kau.Aku jijik!!”

Tuah cuba mencium wajah Adelia dengan rakus. Namun tolakan kasar Adelia mematikan perbuatan Tuah. Adelia merenung wajah Tuah.

“Pandang muka kau pun aku jijik, Tuah. Masakan aku boleh membiarkan kau menyentuh aku, sebab itu selama ini aku haramkan kau sentuh anggota badanku. Walaupun tangan sekalipun. Aku jijik dengan kau dan keluarga kau. Aku jijik!!!”
“Pang!!!”

Airmata yang ditampung sebentar tadi merembes keluar. Bersama keperitan pipi kirinya yang baru disentuh kasar oleh Tuah. Adelia cuba bertahan. Biar pipi kirinya hancur sekalipun, Baginya Tuah tidak memberi makna apa-apa. Tuah insan jijik di pandangan Adelia. Tuah menangisi nasib dirinya, dihina oleh insan yang amat disayanginya. Adelia berlalu tanpa simpati. Tuah memandu pulang, sebaik Umi melihat Tuah. Seisi keluarga menyerbu kearah Tuah.

“Alang, kenapa Adelia pulangkan semua ni? Apa dah jadi?”
“Dia nak putuskan pertunangan, dia dah ada pengganti yang lebih baik.”
“Kenapa malukan kita macam ni?! Apa kita nak buat dengan barang-barang ni?”

Dulang hantaran yang pernah diberikan pada Adelia sebulan lepas masih berbungkus rapi. Tuah semakin baran melihatkan hantaran yang lansung tidak terusik.

“Buang semua ni! Aku tak nak tengok semua ni lagi!!”

Serentak itu, Tuah menyepak dan menghancurkan hantaran yang tersusun di ruang tamu rumahnya. Umi dan adik beradiknya cuba menghalang. Namun gagal, segalanya hancur dikerjakan Tuah.

“Betul kau nak pergi Tuah?!”
“Aku nak tengok dari jauh. Aku nak tengok kebahagian Adelia mengahwini Hakimi.”
“Tuah, kau jangan menyesal tau. Nanti kau menangis, sapa nak pujuk.”

Zali mengusik, mereka tiba di rumah Adelia di waktu tengahari. Penuh kenderaan di susur masuk ke rumah Adelia. Tuah mulai memendam rasa. Zali dan Samad tersengih melihatkan Tuah yang tidak senang duduk. Mereka yang datang berkonvoi 2 buah kereta dari Kuala Lumpur, mulai mencari parking.

“Aku rasa pelik lah, Win.”

Shahira dan Azwin mulai pelik bila, melihatkan beberapa orang yang berselisih dengan mereka berkopiah dan kesedihan. Samad dan Zali tidak putus-putus memujuk Tuah.

“Kalau kau tak nak masuk, kau tunggulah. Aku dan Samad nak isi perut. Lantak kaulah Tuah. Sapa suruh datang.”

Kawan-kawan Adelia disambut Azim dimuka pintu. Pelik Shahira, Rosma dan Azwin bila tiada pelamin ataupun khemah pengantin. Azim membawa rakan-rakan Adelia ke bilik.

“Abang… Abang Tuah tak datang?! Kak Lia nak sangat jumpa abang Tuah.”
“Adelia…”

Terduduk Rosma bila melihatkan tubuh kaku temannya. Hakimi menyambut.

“Lia dah tak nampak dan tak boleh bergerak macam dulu.”
“Ya allah! Sejak bila dia macam ni?!”

Samad kembali ke kereta selepas mengetahui keadaan Adelia. Diambilnya yassin dan kopiah.

“Kau nak ikut aku atau tak, Tuah?!!”
“Kenapa pulak?! Kau nak paksa-paksa aku?”
“Aku ulang Tuah, kalau kau tak nak menyesal kau ikut aku Tuah. Adelia dah teruk sangat.”
“Mengarutlah. Kau pergilah, sampaikan salam aku pada dia kerana pernah melukakan hati aku.” “Kau jangan menyesal!!!”

Tuah kembali menyandar, hairan dengan sikap Samad yang emosional. Sedang asyik Tuah mendengar alunan muzik dari radio. Tingkap kereta diketuk seseorang. Azim?! Tuah pelik.

“Kenapa abang tak masuk?!”
“Abang…. Abang…”
“Kak Lia nak sangat-sangat jumpa abang. Tolonglah, bang. Azim rayu kat kaki abang. Masuklah jenguk Kak Lia. Mungkin ini untuk kali terakhir.”
“Abang tak sanggup, dik.”

Tuah meraup mukanya.

“Azim tahu, abang dan Kak Lia masih menyayangi antara satu sama lain. Kak Lia kecewakan abang. Azim minta maaf. Tapi Azim minta sangat-sangat, sebelum Kak Lia ‘pergi’ abang jenguklah dia. Tolonglah.”

Azim menangis dan merayu. Tuah pelik, takkan Adelia sekejam ini. Memaksa dirinya untuk menghadiri majlis bahagianya dengan Hakimi. Tuah tak sanggup melihat Adelia bersanding di pelamin bersama Hakimi. Jiwanya hancur setelah diketahui Adelia memainkan perasaannya selama ini. Kali ini, apa pula lakonan Adelia?! Azim masih merayu. Tuah kaku.

“Kak Lia dah nak mati, abang Tuah.”

Suara Achik mengejutkan Tuah. Tipu?! Adelia gadis riang, yang tak pernah bersedih. Tak pernah menangis atau kecewa. Adelia gadis riang yang hanya tahu ketawa dan tersenyum. Mana mungkin Adelia akan mati. Tak mungkin?! Ini hari bahagia Adelia dan Hakimi.

“Abang tak percaya?! Kak Lia dah nazak. Kak Lia nak jumpa abang. Untuk kali terakhir.”
“Adelia!!!”

Tuah meraung, tangga kayu rumah Adelia dipanjat. Semua orang pelik dengan tindakan Tuah. Mencari-cari Adelia, Tuah semakin lemah bila kedengaran bacaan Yassin dalam segenap ruang di rumah usang milik Adelia. Tuah gagahkan diri, bertahan menghadapi kenyataan. Hakimi
memeluk Tuah. Erat. Seolah antara mereka berkongsi kesedihan yang sama. Tuah cuba menghampiri bilik Adelia.

“Kau jangan tipu aku, Kimi. Jangan mainkan aku seperti mana Adelia mainkan perasaan cinta aku padanya.”
“Sabar, Tuah. Adelia bukan milikku. Dan bukan jua milikmu. Adelia akan tinggalkan kita bila-bila masa.”
“Lia….”

Tuah terjelepok di lantai. Hakim membantu Tuah menghampiri Adelia yang kaku. Tanpa suara ataupun pergerakan, hanya mata membuntang memandang ke atas. Adelia masih mampu tersenyum.

“Lia… Tuah datang.”

Rosma dan Azwin yang menemani Adelia di kiri dan kanan berbisik ke telinga Adelia, airmata Adelia menitis. Menyambut kehadiran Tuah. Tuah kaku, takut menerima hakikat Adelia akan pergi untuk selamanya. Along, Angah dan beberapa orang lain hanya mampu mengalirkan airmata.

“Tuah…. Tuah….”

Bibir Adelia bergerak-gerak memanggil Tuah. Tuah mengucup tangan Adelia. Jutaan keampunan Tuah rayu dari Adelia, namun hanya kesepian yang melanda.

“Lia, Tuah datang. Berbicaralah dengan Tuah, sayang. Kenapa Lia tak beritahu semua ni pada Tuah?!”
“Tuah… Maafkan Lia.”

Gerakan bibir Adelia menambah sebak di dada Tuah. Airmatanya mengalir. Tiada lagi suara manja Adelia.

“Sejak 2 hari lepas Lia dah tak boleh bercakap, Tuah. Malah Lia dah tak boleh melihat. Sekarang Lia hanya boleh mendengar. Berbicaralah dengan dia, Tuah. Dia nak sangat jumpa kau.”

Hakimi memegang bahu Tuah. Hakimi membawa diri, keluar dari bilik Adelia. Tak sanggup melihat kemesraan antara Tuah dan Adelia.

“Lia, aku minta maaf. Jangan tinggalkan aku, Lia.”

Pipi Adelia yang cengkung, diusap lembut oleh Tuah. Menyesal, kerana pipi itu pernah menjadi tempat singgahan tamparan kasarnya.

“Tuah… Terima kasih kerana datang.”

Adelia tersenyum, bibir yang dulunya sentiasa merah dan tersenyum. Kini ianya pucat dan kering. Malah pecah-pecah akibat Adelia yang terlantar sejak beberapa minggu lalu. Adelia menarik nafas. Masing-masing mulai khuatir. Hakimi kembali ke bilik, bila Along mulai
memanggil.

“Izinkan Lia pergi. Masa Lia dah sampai, Lia nampak abah dan ibu. Along… Angah… Maafkan Lia.”
“Mengucap Lia. Mengucap. Along maafkan Lia. Along halalkan semuanya.”

Masing-masing menangis hiba. Sukar untuk dilepaskan pemergian seorang teman sebaik Adelia. Rosma memeluk Adelia erat. Pipi Adelia dicium, airmata sudah berhamburan keluar. Tiada kata-kata yang boleh diluahkan lagi, melainkan melepaskan Adelia pergi dengan aman. Selesai kalimah syahadat di lafaz oleh Adelia, Adelia terus menutup mata. Tuah menangis hiba. Azim dan Achik terus menghilang. Akhirnya Adelia pergi jua.

“Dia tunggu Tuah datang. Dia nak sangat jumpa Tuah. Terima kasih Tuah, sebab sudi datang jenguk Adelia.”
“Kenapa Along tak bagitahu Tuah awal-awal lagi?!”
“Adelia tak kasi. Dia kata kau akan datang, aku pernah bagitahu aku akan call kau. Tapi Adelia menegah, dia yakin kau datang. Dia nak minta kau maafkan dia. Dia bagi surat ni untuk kau.”
“Aku tak pernah marahkan Lia, Kimi. Aku tak boleh nak benci dia. Dia terlalu baik. Tapi aku yang bodoh! Aku tergamak tampar dia. Aku bodoh!!!”
“Sabar Tuah, kita sama-sama doakan dia. Semoga rohnya aman dan sejahtera di sana.”

Angah menghulur Yassin dan kopiah pada Tuah dan Hakimi. Semua teman Adelia sebanyak mungkin menghadiahkan bacaan ayat-ayat suci buat Adelia. Sebaik jenazah selesai ikebumikan, teman-teman Adelia masih setia membantu keluarga Adelia menguruskan majlis arwah untuk Adelia. Tuah dan Azim membersihkan bilik Adelia selepas sehari pengebumian Adelia.

“Azim… Kenapa dengan bunga-bunga kering ni? Mana Kak Lia dapat?!”

Kuntuman bunga-bunga mawar kering tersebut dikutip Tuah. Satu persatu.

“Abang lupa ke?”
Tuah hairan dengan jawapan Azim, kuntuman bunga-bunga kering yang berteraburan di bilik arwah Adelia menjadi tumpuan Tuah.

“Ini 12 kuntuman mawar putih yang abang bagi bersama hantaran pertunangan abang. Abang lupa ke?!”
“Ya allah!”

Tuah meraup muka, kesal kerana tidak pernah terlintas tentang ketiadaan kuntuman mawar putih di setiap dulang hantaran, ketika arwah memulangkan kembali hantaran pertunangan mereka. Tuah cuba menahan diri. Terimbas kembali suara gembira arwah dengan pemberian 12
kuntuman mawar putih tersebut di hari pertunangan mereka.

“Abang, Lia sayang abang. Lia suka mawar putih tu. Lia nak simpan sampai bunga tu layu dan kering. Selagi bunga tu tak hancur, selagi itulah cinta Lia pada abang.”
“Lia… Kenapa seksa abang macam ni?!”

Azim mendekati Tuah. Sukar dimengertikan bagi Azim bila melihatkan reaksi Tuah. Sejak arwah tiada, Tuah lah yang menggunakan bilik arwah. Semua barang-barang arwah dikemaskan oleh Tuah.

“Kalau Azim tahu, Kak Lia dan abang saling menyintai. Azim takkan setuju dengan Along. Azim takkan paksa Kak Lia terima abang Kimi. Sejak Kak Lia putuskan hubungan dengan abang. Kak Lia banyak termenung. Kekadang airmatanya menitis. Kak Lia kerap termenung di beranda. Azim tak tahu, itu petanda bahawa Kak Lia akan tinggalkan kami. Kalaulah Azim tahu, tak sesekali Azim biar Kak Lia menangis. Maafkan kami, abang. Maafkan Along dan Achik. Kami tak tahu.”
“Entahlah, Azim. Abang pun buntu. Abang menuduh Kak Lia macam-macam, malah… Malah…Tangan abang singgah ke pipi Kak Lia. Abang bodoh!!”
“Abang…”
“Abang kesal, abang tampar Kak Lia. Abang tak tahu dia sakit. Kalaulah abang tahu.”
“Hanya Allah swt Yang Mengetahui, bang. Kita banyak silap dengan Kak Lia. Tapi Kak Lia tak pernah marah, tak pernah berkecil hati.”

Selepas seminggu Tuah berada di kampung Adelia, Tuah kembali ke Kuala Lumpur. Bersama surat terakhir pemberian Adelia dan 12 kuntum bunga kesayangan Adelia.

‘Assalamualaikum Tuah…
Maafkan Lia, maafkan Lia, Tuah. Setiap malam Lia menyesali kebodohan Lia. Lia hancurkan hati dan impian Tuah. Hidup Lia tak aman, tidur Lia tak lena. Setiap hari Lia ingat tentang pertemuan terakhir kita, pertemuan yang membuatkan Tuah membenci Lia seumur hidup. Hati Lia hancur melihat airmata Tuah tika itu. Tapi apakan daya, biarlah Tuah kecewa hari tu daripada Tuah sama-sama menderitai penyakit yang Lia hidapi tika ini.
Tuah…
Lia minta dari Tuah, lepaskan cinta Tuah kepada Lia. Kita tiada jodoh Tuah. Walau segunung kasih dan cinta Tuah pada Lia. Kuasa Allah swt membataskan segalanya. Lia harap Tuah dapat menerima semua ini. Kita hanya sahabat akrab, dan itulah takdir Allah swt. Pada umi dan
keluarga Tuah, Lia susun 10 jari memohon maaf dari mereka. Andai berkesempatan ingin Lia sujud di kaki setiap ahli keluarga Tuah memohon maaf. Lia kecewakan mereka, Lia minta maaf. Setiapkali Lia sujud menyembahNya, Lia memohon agar tindakan Lia pada Tuah dan
keluarga akan dimaafkan. Masa Lia tidak panjang. Lia memang sayangkan abang Kimi. Abang Kimi separuh dari kehidupan Lia.. Dari Lia mengenal ABC, hingga Lia bergelar graduan. Abang Kimi yang banyak membantu Lia. Lia terlalu sayangkan abang Kimi, seperti Lia sayangkan Angah. Lia sakit Tuah, hidup Lia tak panjang. Esok ataupun lusa, ataupun sebulan akan datang. Lia mungkin akan mengadap Yang Maha Esa. Menghitung dosa dan pahala. Lia di alam sana, Tuah. Sepanjang hidup Lia hanya menerima dari abang Kimi. Kali ini Lia minta Tuah memahami, Lia Cuma mahu abang Kimi menerima sesuatu dari Lia. Lia mahu abang Kimi bahagia dengan memiliki Lia. Ampunkan Lia Tuah. Lia diberi peluang singkat dalam hidup Lia. Dan peluang ini Lia tahu, abang Kimi lebih layak. Maafkan Lia. Dikesempatan ini, Lia tidak tahu bagaimana nasib Lia. Lia masih derita dengan penyakit ini, ataupun Dia telah menjemput Lia. Maafkan Lia dan halalkan segala-galanya.

Sahabatmu,
Adelia.

Tuah melipat surat tersebut. Diselitkan di dalam sebuah kotak beserta 12 kuntuman bunga milik arwah Adelia.

“Tenanglah kau, sahabatku Adelia. Insyaallah. Cinta dan sayang aku pada kau takkan sesekali padam. Maafkan aku Adelia, takkan sesekali aku melepaskanmu.”

‘Andai tibanya waktu…
Aku harus tinggalkanmu…
Akan aku berlalu bila tiba saat itu…
Tak perlu kau merayu dan tak perlu menahanku…
Segala yang terjadi kehendakNya…’

Tuah memperlahankan radio, senikata lagu tersebut mengayat hati Tuah.
Mengingatkan memori cinta dan persahabatannya dengan arwah Adelia.