Peluk lebih nikmat

Oleh mariatul qatiah zakaria
maria.zakaria@utusan.com.my
PELUKAN adalah sangat diperlukan dalam hubungan suami dan isteri bagi mengekalkan perasaan kasih dan sayang. – Gambar hiasan

 

 

 

PERKAHWINAN dan kasih sayang antara suami isteri boleh dikekalkan apabila pasangan selalu mempraktikkan ungkapan-ungkapan kasih kepada pasangan masing-masing seperti ucapan sayangf sekurang-kurangnya tujuh kali sehari.

Bukan itu sahaja, berkomunikasi dengan baik, bergurau senda dan memanggil pasangan dengan panggilan hebat seperti ‘sayang’, ‘abang’, ‘manja’ dan sebagainya juga dapat mengeratkan lagi perhubungan suami isteri.

Masing-masing perlu memainkan peranan untuk memupuk perasaan sayang agar ia sentiasa mekar dalam jiwa dan membuahkan keserasian dan kemesraan.

Selain itu, tahukah anda bahawa pelukan juga boleh membuatkan pasangan merasa lebih dekat dan intim?

Bagi isteri, pelukan merupakan bentuk komitmen cinta dan kesetiaan pasangan. Kajian mendapati pelukan bukan sesuatu yang bersifat seksual. Ia satu daripada kaedah untuk mendapatkan keselesaan.

Begitupun, biasanya suami menganggap pelukan bermakna isteri dahagakan hubungan seksual. Sebenarnya para isteri lebih menikmati pelukan dari hubungan seksual.

Menurut Doktor Perubatan Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Johor Bahru, Dr. Zubaidi Ahmad, para suami tidak perlu rasa ‘kelam kabut’ sekiranya tidak bersedia bila isteri minta dipeluk.

Ini kerana jelas beliau, bagi suami, pelukan hanyalah pertautan fizikal dan ada kalanya merimaskan selain tidak memahami mengapa isteri sangat suka apabila dipeluk.

mencadangkan ‘rawatan pelukan’

“Sebenarnya suami isteri saling memerlukan antara satu sama lain untuk mengurangkan tekanan perasaan.

“Ramai pakar psikologi yang mencadangkan ‘rawatan pelukan’ di mana suami dan isteri digalakkan berpeluk sebelum tidur selama 10 minit. Pelukan ini harus dinikmati tanpa diteruskan dengan hubungan seks.

“Tujuannya agar segala perasaan negatif yang tersimpan dalam hati sepanjang hari dapat dilepaskan dengan memeluk suami atau isteri. Jadi, pelukan sangat diperlukan dalam hubungan suami isteri. Ia akan merapatkan lagi hubungan suami isteri,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Katanya, pelukan bukan bermakna mukadimah pada hubungan seks antara suami dan isteri.

Ia juga harus dilihat sebagai hubungan perasaan dan perkongsian emosi antara suami dan isteri.

Mengulas lanjut, Dr. Zubaidi berkata, pelukan adalah satu sentuhan fizikal yang erat dilakukan di leher, belakang badan atau pinggang.

Pelukan juga kadang kala melibatkan kucupan, pandangan mata, sentuhan mesra dan beberapa gerakan tubuh lain.

Oleh itu, mereka yang berpelukan menandakan hubungan mereka amat rapat dan mempunyai pertalian kasih sayang yang mesra.

Kata Dr. Zubaidi, ramai ahli psikologi kini bimbang dengan pasangan suami isteri yang jarang berpelukan.

Mereka bimbang perkahwinan pasangan seperti itu hanya diikat oleh ‘lafaz nikah’ dan hubungan fizikal dan seks saja dan bukan hubungan emosi serta perkongsian perasan.

“Islam juga menggalakkan hubungan emosi dan dalam satu hadis Rasulullah SAW memberitahu, barang siapa yang tidak mengasihi, maka ia tidak akan dikasihi. (riwayat Bukhari dan Muslim).

“Oleh yang demikian, perbanyakanlah luahan kasih sayang dengan ucapan dan sentuhan fizikal (pelukan).

“Secara tidak langsung, bagi pasangan yang agak berat untuk meluahkan perkataan ‘Saya sayang awak’, pelukan adalah cara alternatif terbaik untuk melafazkannya,” ujarnya.

Pelukan juga akan menyebabkan kelenjar di otak mengeluarkan hormon serotonin dan dopamine yang memberikan rasa tenang dan tenteram.

Perbuatan itu juga akan menyebabkan gelombang di otak menjadi lebih tenang, lalu mengurangkan stres dan kerisauan.

Oleh itu bagi pesakit yang mengalami masalah kerisauan (anxiety) dan mempunyai emosi yang tertekan, memeluk binatang peliharaan adalah rawatan kejiwaan yang baik.

Namun apa yang lebih baik lagi bagi suami atau isteri selain memeluk pasangan masing-masing ketika mereka mengalami tekanan jiwa dan dalam keadaan kerisauan.

 

sumber: Utusan Malaysia




House warming

Setelah lebih sebulan berpindah ke Sd Court Bandar Sri Damansara, kami masih lagi belum mengenali jiran tetangga, kerana semuanya terlalu sibuk bekerja. Oleh itu kami bercadang untuk mengadakan sedikit jamuan untuk keluarga dan jiran tetangga yang terdekat. Dengan keadaan rumah dan peralatan yang serba kekurangan, sebagaian utama dari barang untuk memasak dan menghidang ‘diimport’ dari Putrajaya.

Kami menyediakan sup daging dan tulang untuk dimakan dengan bihun sup ataupun nasi impit, sebagai soto. Mak ngah Adam  membawa 2 jenis kuih talam manakala Acu Adam pula membawa spegetti dan juga bubur jagung. Uda pula membawa kek untuk ulang tahun ke 10 perkahwinan kami dan Untie dari Denai Alam juga membawa kek coklat yang dibuat sendiri.

Majlis yang cadangkan untuk jiran-jiran bertukar menjadi majlis keluarga. Agak meriah juga terutama dengan keriuhan kanak-kanak bermain. Setelah hari redup acara yang dinanti-nantikan oleh semua sepupu-sepupu Adam adalah mandi kolam.

Terima kasih kepada semua yang sudi hadir dimajlis kami yang itu. Insya-Allah birthday Adam dan lepas raya nanti kami akan buat jamuan lagi.

 




10th Anniversary Dinner

Semperna ulang tahun yang ke 10, kami bercadang untuk makan di tempat yang agak istimewa sedikit. Oleh kerana kami sama-sama suka makan nasi arab, kami bersetuju untuk makan di Al-Rawsha Kampung Pandan.

Saya dah biasa lalu depan bangunan ini, cuma inilah kali pertama kami masuk ke dalam. Dengan bangunan 2 tingkat yang ala-ala istana di zaman silam, memang nampak gah dari luar. Cuma bila masuk, tidak sampai 1/4 dari pada restaurant berkenanaan yang diduduki oleh pelanggan. Bila makanan yang di order sampai sekali lagi kami terkejut dengan makanan yang telah sejuk.

Mungkin kami dah terlalu biasa dengan Restaurent Saba di Cyberjaya. Daripada sebuah kedai kecil, kini telah hampir 4 lot kedai yang di milikinya. Dari segi rasa, service dan harga, mungkin boleh saya katakan bagaikan langit dan bumi bezanya. Cuma mungkin tempat dan hiasan yang cantik, itulah yang gahnya. Pada saya memang sesuai tempat ini dengan peribahasa Indah Kabar dari Rupa.

Apapun, berikut adalah gambar2 yang sempat dirakamkan

 

Eh apa kat bawah nih. Cuba klick tengok



Happy 10th Anniversary

Hidup dengan saya nih susah. Saya anak sulung. Ayah dah tiada. Adik-adik masih belajar. Saya pun bukan dari keluarga orang berada. Kalau boleh saya nak kita hidup bersama. Susah, kita sama-sama susah. Senang, kita sama-sama senang. Namun sedaya upaya, saya akan cuba untuk tidak menyusahkan diri awak.

Saya ingin kita hidup bersama. Mengimami solat awak.  Menjalani hidup bahagia bersama-sama dengan awak. Bukan sahaja di dunia, malah lebih-lebih lagi diakhirat sana. Awak fikirlah baik-baik. Saya tak mahu awak menyesal seumur hidup kalau hidup dengan saya. Namun, saya yang akan menyesal kalau tak mengatakan ini pada awak. SUDIKAH AWAK HIDUP DENGAN SAYA, MENJADI ISTERI SAYA?

Mak datuk, romantiknya mamat nih. Eh aku nih tengok cerita apa nih? Ops.. akulah watak utama dan mamat di depan ini sedang menanti jawapan dariku. Lalu apakah jawapan yang mampu ku beri?

Kira-kira sebulan lepas itu filem “Runaway Bride” di tayangkan di pawagam. Sebagai peminat setia Julia Roberts, aku merayu untuk melihat cerita ini. Kemuncak cerita itu adalah apabila Richard Gere melafaskan ayat yang sama, kepada Julia Roberts. Cuma aku mendengarnya dalam bahasa melayu dan Julia Roberts  mendengarnya dalam Bahasa Inggeris. Maksud dan ayatnya begitu sama sekali. Siapa yang ciplak siapa sebenarnya 🙂

Hari ini 3103 genap 10 tahun aku menjadi seorang isteri. Terima kasih, kerana memilih diri ini dari ribuan gadis di Malaysia ini. Terima kasih kerana memberikan gelaran dan darjat yang paling tinggi untuk seorang isteri. Bukankah sebaik-baik perhiasan di dunia ini adalah Isteri Solehah. Maka layakkah aku menerima gelaran itu.

Terima kasih kerana menjadi seorang suami yang terlalu baik dan memahami. Lebih-lebih lagi dengan derita sakit pinggang yang tak pernah reda ini membataskan pergerakan dalam melakukan kerja-kerja seharian dirumah. Terima kasih kerana mengizinkan sesetengah kerja mengemas dan memasak kadang-kala di “sub-cond” kepada yang pakar. Dan paling seronok, terima kasih kerana rajin menjenguk dapur. Bukan takat melawat, malah kadang-kala menjadi Chef  dengan masakan yang tidak kurang lazatnya. Kalah masakan ku sendiri.

Selamat Ulang Tahun ke 10 perkahwinan kita, dan semoga rumah tangga ini berkekalan buat selama-lamanya. Amin ya Rabbal Al-amin.

Sebagai jawapan kepada posting di serambi rindu

Eh apa kat bawah nih. Cuba klick tengok