Syor letak MARA di bawah PM

Hari nih kami semua dapat Surat Khabar Utusan Malaysia secara percuma di Shangri-la Hotel. Dalam perjalanan balik dari Hotel ke MARA, saya terbaca satu artikel menarik mengenai MARA, dan saya sesungguhnya bersetuju 200% dengan apa yang dikatakan oleh penulis artikel ini.

 

 

 

Syor letak Mara di bawah PM

Oleh PROF. MADYA DR. ZA’FARAN HASSAN

“SEBUAH nama keramat lahir dari percikan amarah suatu bangsa yang mundur sosio-ekonominya, masih menadah tangan menjadi peminta di tanah airnya yang hampir sepuluh tahun merdeka…” Demikianlah bait-bait puisi yang ditulis oleh Sasterawan Negara Datuk Dr. Usman Awang mengenai Majlis Amanah Rakyat atau lebih dikenali secara ringkasnya Mara.

Peranan Mara sejak pertengahan tahun 1960-an tidak boleh dinafikan. Tidak ada orang Melayu khususnya yang berada di luar bandar yang tidak kenal Mara. Sehingga wujud kenyataan Melayu adalah Mara dan Mara adalah Melayu.

Dari satu segi kenyataan ini, ada benarnya. Nama Mara wujud di hati orang Melayu. Dari sekecil-kecilnya seperti rumah Mara, bas Mara, arkib Mara, pinjaman Mara sehinggalah maktab, institut dan universiti. Sekalung tahniah kepada Mara yang telah mengambil inisiatif ini.

Pengalaman Mara dalam mempertingkatkan sosio-ekonomi bangsa Melayu tidak boleh dinafikan. Oleh itu, sebarang agenda berkaitan transformasi Melayu memerlukan penglibatan aktif Mara yang telah banyak membantu mengeluarkan profesional dan golongan menengah Melayu.

Kenapa dan mengapa? Negara kita sekarang sibuk memperkatakan tentang Pelan Transformasi Ekonomi dan Model Ekonomi Baru. Di samping itu, pada Februari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan unit Teraju sebagai peneraju perubahan penyertaan bumiputera dalam ekonomi negara.

Dari segi struktur, kedua-duanya iaitu Teraju dan Pemandu melapor terus kepada Perdana Menteri, manakala Mara pula hanya merupakan agensi penghantar (Delivery Agency) yang terletak di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Persoalan yang timbul ialah bolehkah ‘Mara terus mara’ demi memperjuangkan agenda bangsa Melayu, jika ia tidak diberikan status (yang sama seperti Teraju dan Pemandu) sebagai badan yang wujud secara terus di bawah Perdana Menteri seperti zaman Allahyarham Tun Abdul Razak. Dengan demikian barulah agenda transformasi bangsa Melayu boleh diperjuangkan secara efektif dan efisien.

Birokrasi yang ada di Mara perlu dipermudahkan. Dengan cara ini, Mara lebih mudah membawa suara hati masyarakat Melayu desa ke pengetahuan pemimpin teratas. Dalam masa yang sama, Mara turut membawa dan mempermudahkan wawasan pemimpin kepada masyarakat Melayu.

Di samping itu, Mara perlu juga memperkasakan diri mereka sendiri. Ibarat kata pepatah Melayu, ‘kalau sayangkan padi, buanglah rumput’.

Sumber-sumber yang menghalang kelicinan pentadbiran perlulah diganti dengan sumber-sumber baru. Bangsa Melayu sekarang ini menghadapi begitu banyak cabaran. Kita hanya mempunyai sembilan tahun lagi untuk mencapai Wawasan 2020 dan saya yakin transformasi bangsa Melayu boleh berjaya jika Mara memainkan peranan penting dalam proses ini.

Pergerakan ‘Transformasi Bangsa Melayu’golongan profesional dan menengah Melayu (yang kebanyakannya lahir daripada bakti pendidikan Mara sendiri) sedang hebat mengatur satu pergerakan ‘Agenda Transformasi Melayu Muslim’.

Pergerakan ini terdiri daripada orang-orang Melayu yang hebat-hebat belaka iaitu golongan pensyarah, profesor, profesional, jurutera, peguam, ahli korporat, ustaz dan sebagainya.

Difahamkan pergerakan ini telahpun mengadakan wacana intelek untuk memupuk kesedaran tentang transformasi bangsa Melayu yang boleh membangunkan bangsa sendiri dengan semangat berganding bahu dan kesemuanya secara sukarela.

Pergerakan ini juga akan mengadakan wacana bertajuk Agenda Transformasi Melayu Muslim yang akan berlangsung di Hotel Pullman, Putrajaya pada 12 Mac ini. Wacana ini akan dihadiri oleh golongan profesional dan menengah Melayu Muslim.

Pergerakan ini telah mengambil inisiatif yang sangat baik dengan mengadakan perhimpunan ini. Penglibatan golongan profesional dan menengah Melayu Muslim diharap berupaya membantu merancakkan lagi agenda transformasi bangsa khususnya dalam menggerakkan program-program kesedaran kepada orang Melayu.

Perhimpunan ini akan membincangkan beberapa perkara penting. Antara lain mereka telah bersedia untuk mewujudkan sistem wakaf korporat. Dalam sistem ini, setiap orang Melayu yang cintakan bangsa dan agama mereka berpeluang menyumbang ke arah pembangunan negara. Dana yang terkumpul akan digunakan ke arah mewujudkan satu masyarakat yang aman, makmur dan sentosa. Setiap lapisan bangsa Melayu boleh membuat sumbangan/infak melalui iqra.com.my yang telah ditubuhkan.

Mudah-mudahan perhimpunan ini berupaya membantu kerajaan dalam menggerakkan agenda transformasi bangsa Melayu ke arah mewujudkan bangsa Melayu global yang maju seiring dengan bangsa lain di dunia tanpa mengharapkan bantuan kerajaan tetapi berlandaskan prinsip-prinsip Islam.

Sudah bertahun negara kita yang tercinta ini bebas dan merdeka daripada belenggu penjajah, namun sudahkah bangsa ini bebas daripada terpuruk ekonomi, politik, perundangan dan banyak lagi.

Keterpurukan bangsa Melayu kita ini bukan semata-mata disebabkan faktor ‘luaran’ atau luaran, contohnya pengaruh ekonomi global, politik, perundangan dan lain-lain. Tetapi tak kalah penting pengaruhnya adalah faktor ‘dalaman’. Faktor manusia bangsa Melayu itu sendiri. Apakah yang salah daripada manusia Melayu?

Jika benar, maka sikap tidak kisah ataupun ‘complacency‘ inilah yang amat membimbangkan daripada perspektif survival dan kemajuan pembangunan bangsa Melayu kita!

Apabila sebuah bangsa sudah lupa akan kekuatannya, maka kelemahannya adalah sasaran empuk bagi bangsa-bangsa yang menginginkan kita ini hancur.

Penulis ialah Pengarah Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK), Universiti Teknologi Mara

Eh apa kat bawah nih. Cuba klick tengok



Majlis Pelancaran Tutor iLMS

Hari ini, diadakan satu Majlis Pelancaran Tutor iLMS di Hotel Shangri-La Putrajaya oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Pelajaran Malaysia.  MARA  dan BPT sebagai badan yang terlibat dalam menyediakan bahan-bahan untuk student MRSM di dalam iLMS ini.  Majlis hari ini menyaksikan pertukaran MOU di antara Perfisio Solution (anak syarikat Utusan Malaysia) dengan MIMOS dan juga di antara MARA dan Perfisio Solution

2 orang rakan yang biasa saya menumpang kereta perlu bertugas manjadi penyelaras di Hotel berkenaan sejak semalam lagi.Saya bertolak dari rumah pukul 6.50 pagi kerana dijadualkan bas MARA akan bertolak ke Putrajaya selewat-lewatnya pukul 7.45 pagi. Mujur sempat. Ringkasan apa yang berlaku di Hotel dan ucapan TPM akan di kemaskini (akan di copy paste dari online paper esok). Cuma malam nih, jengok2 lah berita dalam TV manalah tau muka nih keluar ker, sebab tadi semua steseyn TV utama RTM, TV3 dan TV7 ada mengambil gambar penoton 🙂

____________________________________________________________________

46 MRSM guna program Tutor iLMS mulai 2012


Muhyiddin Yassin bersama (dari kiri) Ibrahim Ahmad, Fareed Abd. Ghani, Idris Jusoh, Fadillah Yusof, Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin, Suriah Abdul Rahman dan Abdul Wahab Abdullah pada majlis pelancaran Tutor iLMS di Putrajaya, semalam.

 


 

PUTRAJAYA 4 Mac – Empat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan sebuah Institut Kemahiran Mara (IKM) dijadikan projek perintis bagi pelaksanaan program e-pembelajaran dikenali sebagai Sistem Pengurusan Pembelajaran Pintar Tutor (Tutor iLMS)

MRSM berkenaan adalah di Merbok, Kedah; Felda Trolak, Perak; Kota Putra, Besut, Terengganu dan Pekan, Pahang serta IKM Sungai Petani, Kedah.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Seri Idris Jusoh berkata, projek perintis itu dilaksanakan di lima pusat pembelajaran berkenaan sejak Ogos tahun lalu dan dijadual dilaksanakan di kesemua MRSM dan IKM mulai tahun depan.

“Kita beri tempoh enam bulan kepada pelajar untuk melihat keberkesanan pelaksanaan Tutor iLMS dan saya percaya ia dapat dilaksanakan menjelang tahun depan.

“Berdasarkan maklum balas, setakat ini kami dapati 92 peratus pelajar ingin menggunakan semula aplikasi berkenaan kerana ia mampu memendekkan tempoh pembelajaran,” katanya selepas menghadiri majlis pelancaran Tutor iLMS di sini hari ini.

Majlis disempurnakan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Idris berkata, kebanyakan pelajar memberikan reaksi bahawa pembelajaran Tutor iLMS lebih menyeronokkan, selain tidak terikat dengan pembelajaran dalam waktu sekolah

Menurutnya lagi, selepas projek perintis itu dilaksanakan, aplikasi tersebut akan digunakan di 46 buah MRSM seluruh negara.

Tutor iLMS yang dibangunkan oleh MIMOS Bhd. (MIMOS) adalah aplikasi perisian pembelajaran pintar yang mampu menyediakan kaedah pembelajaran lebih berkesan kepada seseorang pelajar berdasarkan profil dan personaliti sebenar mereka serta kaedah lebih mudah difahami melalui elemen multimedia terkini.

Pada majlis sama, Muhyiddin turut menyaksikan pertukaran dokumen Perjanjian Pelesenan antara MIMOS dan Perfisio Solutions serta pertukaran dokumen memorandum persefahaman antara Mara dan MIMOS.

Melalui perjanjian itu, Mara bertanggungjawab memperkasakan proses pengajaran dan pembelajaran serta menyediakan isi kandungan Tutor iLMS manakala Perfisio Solutions adalah ejen pemasarannya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin berkata, Tutor iLMS berkemampuan melebarkan teknik pembelajaran melalui nota dalam talian dan soalan latih tubi.

Beliau menambah, ia menawarkan satu lagi pengalaman baru dalam bidang pembelajaran yang lebih menyeronokkan selaras dengan kemampuan dan kecenderungan minat seseorang pelajar.

“Projek Tutor iLMS merupakan satu lagi inovasi dalam cabang perniagaan online Kumpulan Utusan melalui bidang e-pembelajaran.

“Kumpulan Utusan telah berkecimpung dalam e-pembelajaran sejak 2001 melalui Portal Pendidikan Utusan manakala Perfisio Solutions berpengalaman menerajui Tutor Online sejak 2007,” katanya.

Beliau menambah, projek Tutor iLMS signifikan buat Kumpulan Utusan kerana buat pertama kali berpeluang bekerjasama dengan MIMOS yang membangunkan teknologi itu dan Mara dalam usaha meningkatkan mutu dan taraf pembelajaran di negara ini.

Katanya, komponen-komponen pembelajaran yang ditawarkan oleh Kumpulan Utusan melalui sisipan Pendidikan Utusan Malaysia, Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP), e-Lab serta Portal Pendidikan Utusan, tutor.com.my telah banyak membantu para pelajar dan guru meningkatkan tahap pencapaian dalam pelajaran dan menjadi bahan rujukan.

Lagi..mengenai iLMS

1. Tutor iLMS kaedah pembelajaran masa depan

2. Program e-Pembelajaran bantu pelajar

3.Guna teknologi tempatan – TPM

Eh apa kat bawah nih. Cuba klick tengok