Hikmah di sebalik kesukaran.

Semenjak beberapa hari kebelakangan ini, saya sering  meletakkan kereta di penghujung petak tempat letak kereta yang dibenarkan.  Ada tulisan ‘Camping Zone’ ruangan berkenaan, namun saya tidak pernah melihat ada kereta yang kena clamp jika di letakkan di sana. Rasanya telah hampir 2 minggu tempat tuh seolah-olah menjadi tempat khas untuk saya, sehinggalah pagi tadi saya terlihat kereta saya telah kena clamp.

“Aduhai, terbang RM30 lagi pagi-pagi buta nih”, kata saya dalam hati sambil bergegas ke pondok jaga. Semasa hendak membayar, dimaklumkan bahawa denda sekarang ini telah naik RM50. Ini adalah peraturan baru, penguatkuasaan baru, malah semua jaga-jaga ini pun muka-muka baru.  Muka budak melayu yang macam baru lepas SPM, berbanding orang-orang Nepal dan Bangla sebelum ini. Ingatkan pengurusan jer yang baru, rupanya semuanya baru. Adik tuh kata “Clamp pun baru sampai semalam kak”.

Saya dan salah seorang jaga berjalan semula ke kereta saya.  Ada 3 lorong yang boleh saya lalui, namun Allah menggerakkan hati saya untuk lalu jalan tengah.  Ketika lalu di depan rumah(mujur rumah kami di tingkat bawah), saya terlihat lampu bilik solat masih terbuka.  Jadi saya menyuruh adik tuh membuka clamp kereta saya terlebih dahulu sementara saya masuk semula ke rumah untuk menutup lampu.  Di bilik berkenaan, saya terlihat suis seterika  juga tidak ditutup.  Entah kenapa saya agak cuai dan semacam tergesa-gesa pagi ini. Mungkin sebab tak nak lewat lagi macam pagi semalam.

Selepas memastikan semua lampu dan pintu ditutup, barulah saya pergi semula ke kereta saya.  Selepas mengucapkan terima kasih kepada adik tu, saya pun bergerak ke pejabat dengan perasaan syukur kepada Allah.  Apalah sangat RM50 denda yang perlu saya bayar, jika dibandingkan perkara-perkara buruk yang mungkin berlaku akibat suis elektrik yang tidak ditutup.

Allah terlalu sayangkan saya. Allah mendidik saya dengan peristiwa yang tak di sangka-sangka. Syukur Alhamdulillah.




10 Surah dapat Menghalang daripada 10 ujian Besar Allah

Dapat dari Facebook. Mungkin ada sesiapa yang ingin menambah/komen.

1- Surah Al-Fatihah dapat memadam kemurkaan Allah SWT.
2- Surah Yasin dapat menghilangkan rasa dahaga atau kehausan pada hari Kiamat.
3- Surah Dukhan dapat membantu kita ketika menghadapi ujian Allah SWT pada hari kiamat.
4- Surah Al-Waqiah dapat melindungi kita daripada ditimpa kesusahan atau fakir.
5- Surah Al-Mulk dapat meringankan azab di dalam kubur.
6- Surah Al-Kauthar dapat merelaikan segala perbalahan.
7- Surah Al-Kafirun dapat menghalang kita daripada menjadi kafir ketika menghadapi kematian.
8- Surah Al-Ikhlas dapat melindungi kita daripada menjadi golongan munafiq.
9- Surah Al-Falq dapat menghapuskan perasaan hasad dengki.
10- Surah An-Nas dapat melindungi kita daripada ditimpa penyakit was-was.

Alhamdulillah..Allahu Akbar

Ada seorang yang cacat penglihatan, bekerja di bangunan sebelah pejabat saya ini. Sering kali juga saya terjumpa sewaktu sama-sama melintas jalan. Sekali, sewaktu memimpinnya melintas jalan, saya dimaklumkan bahawa beliau berulang alik ke tempat kerja dengan menaiki komuter di Bank Negara

Hari Rabu, sewaktu saya naik eskelator untuk membeli makan tengahari di tingkat 1, saya ternampak  kakak nih, yang hendak turun di eskelator. Tidak jauh di belakangnya, saya terlihat ada rakan sekerja perempuan. Melihat akak buta nih nak turun eskelator, saya pun menjerit “Cepat, tolong dia, nanti dia jatuh”, seolah-olah akak buta tuh adalah anak kecil yang suka bermain tangga. Sebaliknya akak tuh terus sahaja berjalan dan naik atas eskalator tuh tanpa sebarang masalah, sama macam orang yang tidak buta.

Kagum seketika dengan pandangan yang mendebarkan dan penuh keinsafan. Bersyukur kerana tiada kejadian yang buruk berlaku kepada kakak berkenaan. Tetiba teringat lagu ini, yang dinyanyikan semasa pertandingan nasyid semasa matrikulasi.

Buta Mata

Buta mata tak nampak jalan di dunia
Kerana tidak nampak cahaya
Tidak tahu ke mana hendak dituju
Ke hilir atau ke hulu

Selamatlah di dunia fana ini
Bilamana mata tidak buta
Melalui pengalaman diri
Kerana jalan itu sudah biasa

Ada pedoman yang menunjuk kita
Tongkat di tangan membantu jua
Boleh jadi orang simpati yang membawa
Tapi jika buta hati menderita

Tidak nampak jalan menuju ke akhirat
Negeri yang kekal abadi
Tidak diukur, tidak diukur dengan mata
Kerana tiada kawan yang membantu
Tiada pengalaman yang memastikannya
Tiada pedoman menunjuk kita
Tidak ada yang simpati menolong kita
Dalam kegelapan terjun ke neraka

Menderita di negeri yang abadi
Tidak kembali ke dunia lagi
Tiada gunanya penyesalan diri
Oleh itu banyakkan ‘amal dan bakti.

Timbul rasa keinsafan di dalam diri. Bersyukur kerana tidak buta mata, diizinkan Allah untuk melihat keindahan ciptaanNya.  Dan semoga Allah tidak butakan hatiku ini. Amin.

Agong dan Yang Maha Agong.

Semalam saya ke Putrajaya. Ada seminar Knowledge Management di Shangri-La Hotel. Dalam perjalanan pulang melalui NKVE, tetiba 2 motor polis berkuasa besar member isyarat untuk mengosongkan lorang di kanan sekali. Di cermin sisi kelihatan rombongan kenderaan yang saya agak pembesar Negara. Kereta  ke 2 tiada plate no, cuma ada plate berwarna kuning yang mengandungi JATA Negara. Kerete seterusnya, saya terlihat bertulisan ‘ISTANA NEGARA’. Saya andaikan di dalam salah satu kenderaan berkenaan adalah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Terdetik di hati ini, begitu sekali kita membesarkan dan memberi penghormatan kepada Pembesar Negara. Lalu bagaimana pula kita membesarkan Pencipta Alam ini, yang Maha Pengasih dan Maha Penyanyang ke pada sekelian hambaNya. Allahu Akbar.

 

Eh apa kat bawah nih. Cuba klick tengok


MRSM Ulul-Albab : Kecemerlangan di dunia dan akhirat

Hari ini saya ke MRSM Gemencheh yang terletak di Negeri Sembilan. Mrsm ini adalah salah satu daripada 3 Mrsm Ulul Albab yang ada di MARA . Ada tugas rasmi yang berkaitan dgn iLMS yang perlu dilaksanakan.

Dari Timbalan Pengetua Hal Ehwal Akademik, saya dimaklumkan mengenai program yang dijalankan. Dari segi akademik dan ko-kurikolumnya sama seperti MRSM yang lain. Bezanya adalah program hafazan. Untuk pelajar tingkatan 4 dan 5, mereka perlu menghafaz Surah As-Sajadah dan Surah Al-Mulk.

Tumpuan utama adalah untuk pelajar tingkatan 1. Untuk tingkatan 1, hafazan dilakukan sebelum dan sesudah solat subuh. 3 waktu pertama setiap hari adalah untuk guru-guru menguji hafazan para pelajar. Oleh kerana 3 kelas waktu pagi telah digunakan, maka ada sebahagian dari kelas yang di bawa hingga pukul 3 petang. Temubual dgn 2 orang pelajar Tingkatan 1 memaklumkan bahawa mereka sedang menghafaz surah An-Nisa. Surah-surah yang sebelumnya telah di hafaz.

Saya tertarik dengan kata-kata Timbalan Pengetua. Katanya “Jika seseorang menguasai ilmu dari Al-Quran, maka ilmu-ilmu dunia yang lain semuanya mudah bagi mereka”. Diceritakan juga kisah benar di sebuah pusat tahfiz berhampiran. Oleh kerana inginkan kecemerlangan dalam SPM, maka hafazannya dikurangkan. Akibatnya tidak seperti yang diharapkan, kecemerlangan dalam SPM, sebaliknya kedua-duanya iaitu hafazan dan SPM pelajarnya menurun. Tahun seterusnya, pihak sekolah memperhebatkan hafazan pelajarnya, dan Alhamdulillah keputusannya membanggakan baik dari segi hafazan dan juga SPM mereka.

Selain daripada itu, menariknya di MRSM ini banyak terdapat gegantung yang tertulis kata-kata hikmah dan motivasi. Contohnya adalah seperti di bawah ini.




Selain daripada itu, saya juga tertarik dengan lukisan yang dipaparkan. Lukisannya dilukis di atas kaca.


Eh apa kat bawah nih. Cuba klick tengok




Kaedah bedah cara batin haram

Oleh Muhammad Asyraf
Sumber Berita Harian : 2011/09/13

Perbuatan dengan bantuan jin boleh pesong akidah

ISLAM mementingkan kebaikan dan kesihatan. Di samping itu Islam menyuruh umatnya berikhtiar mengubat apabila dijangkiti sebarang penyakit. Ada banyak ayat al-Quran dan hadis berkaitan penjagaan kesihatan dan mengubati penyakit.

 Malah ada enam kali sebutan syifa’ atau kesembuhan dalam al-Quran antaranya firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran, ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat kepadanya; dan al-Quran tidak menambah kepada orang yang zalim melainkan kerugian juga.” (Surah Al-Isra’, ayat 82).

Amalan perubatan menggunakan doa atau bacaan ayat al-Quran adalah satu daripada cabang rawatan diakui syarak sebagai amalan mulia. Ia dipanggil ruqyah ataupun jampi bersesuaian syarak. Malah ia diamalkan pada zaman Rasulullah dan salafussoleh.

Daripada Auf bin Malik katanya: “Kami pandai menjampi pada zaman jahiliah, maka kami bertanya Nabi SAW, Ya Rasulullah SAW apakah pandangan anda mengenai jampi? Lalu Baginda SAW meminta mereka memperdengarkan jampi digunakan sejak zaman jahiliah itu. Baginda SAW menyatakan harus dilakukan, selagi tidak menyebabkan syirik.” (Hadis riwayat Muslim)

Kalangan masyarakat menamakan rawatan secara ruqyah saja dianggap perubatan Islam. Manakala rawatan secara saintifik di hospital adalah perubatan moden semata-mata. Hakikatnya perubatan moden sebahagian daripada perubatan Islam.

Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah sendiri dalam kitabnya Tibb al-Nabawi dan Zaad al-Ma’ad menceritakan bagaimana Nabi SAW merawat menggunakan kaedah berbekam, penggunaan biji habbatussauda, madu dan bermacam lagi makanan kesihatan.
Namun, sejak akhir-akhir ini ada kaedah rawatan mula menjadi tumpuan masyarakat iaitu pembedahan batin. Selepas meneliti unsur terdapat dalam pembedahan batin diamalkan sesetengah perawat maka beberapa nas hukum perlu diperjelaskan agar tidak memberi kecelaruan kepada masyarakat dalam menilai benar atau salah.

Rawatan itu ada yang membedah tubuh badan dengan tangan kosong atau tanpa peralatan moden, membetulkan tulang tanpa sentuhan fizikal, menggunakan peralatan ghaib, perubatan jarak jauh dan seumpamanya.

Penggunaan ayat al-Quran atau doa diharuskan tetapi jika disertai dengan sihir, iaitu membabitkan jin, perbuatan itu salah kerana amalan berkenaan termasuk dalam kategori dosa besar yang membinasakan iaitu sihir.

Walaupun pengamal perubatan batin menyatakan ia berpegang kepada ayat al-Quran dan kaedah syarak, namun difikir secara logik, ternyata bukan mudah seseorang itu, terutama orang awam memastikan status amalan itu.

Apabila sesuatu yang di luar adat kebiasaan itu dilazimi secara berterusan seperti upacara pembedahan batin, sekali gus jelas bagi kita ia sudah terkeluar dari kaedah asas perubatan yang diizinkan.

Ia jauh daripada perubatan secara saintifik moden, ruqyah serta tibb al-Nabawi yang menepati syarak. Jelaslah kaedah perubatan secara pembedahan batin ini meminta bantuan jin kerana sesuatu yang magis dan di luar adat tidak boleh berlaku secara berterusan.

Memang ada ulama membenarkan perubatan dengan meminta pertolongan jin antaranya Imam Ibnu Taimiyah dalam Majmu’ Fatawa dan ulama Saudi, Syeikh Ibn ‘Uthaimin dalam Fatawa al-Aqidah. Mereka mengharuskan khidmat jin dengan syarat penggunaan pada perkara diharuskan di samping wasilah juga diharuskan syarak.

Ini bermakna rawatan menggunakan khidmat jin diharuskan dengan syarat wasilah adalah harus. Hujah mereka ialah kisah Nabi Sulaiman yang mendapatkan khidmat jin untuk memindahkan istana Puteri Balqis dari Yaman dan ini adalah kurniaan Allah SWT.

Namun, ada pendapat menolak pandangan ini kerana peristiwa Nabi Sulaiman bukan syariat yang ditinggalkan kepada kita.

Pendapat ini dihuraikan Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz, Dr Ahmad bin Nasir bin Mohd al-Hamd dan ramai lagi. Bahkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-39 pada 21 September 1995 juga memutuskan bersahabat dengan jin dengan tujuan mendapatkan pertolongan dalam perubatan, mencari kekuatan dan kehebatan ditegah syarak dan haram.

Masyarakat Islam dinasihatkan meninggalkan rawatan syubhah seperti pembedahan batin. Umat harus memahami, setiap penyakit ada penawarnya tetapi setiap penawar tidak dijamin boleh menyembuhkan. Semoga Allah membebaskan kita dari segala penyakit dengan reda-Nya, bukan diberi kesihatan dengan kemurkaanNya.

Penulis ialah juara Imam Muda musim pertama terbitan Astro Oasis




Bentuk-Bentuk Kesilapan Didikan Anak

Rabu, 24 Ogo 2011 09:53 | Ustaz Fathi Yusuf & Ustazah Ros Izanuri | Editor: nurilla88

Sebenarnya terdapat banyak bentuk kesilapan dalam mendidik anak-anak. alt Kesilapan terbesar ialah  kegagalan ibu dan bapa menjadikan agama sebagai teras dalam pendidikan anak-anak. Agama membawa kepada  keseimbangan antara fizikal dan spiritual. Antara pembangunan akhlak dan kecemerlangan akademik. Antara dunia dan Akhirat. Tanpa agama, anak-anak ibarat ditinggalkan di lorong yang gelap tanpa pedoman untuk diikuti.

Sering kali berlaku, ibu bapa yang bersungguh-sungguh memarahi anak yang mendapat nombor yang corot dalam peperiksaan, tetapi hanya buat selamba apabila mengetahui anaknya meninggalkan solat dengan sengaja.  Tidak kurang juga ibu bapa yang sangat mengambil berat soal makan-minum anak-anak tetapi,  mengabaikan terus ‘makanan’ rohani anak-anak yang sentiasa ‘lapar’ dan ‘dahagakan’ petunjuk agama.

Ada juga ibu bapa yang membiarkan anak-anak bergaul bebas lelaki perempuan dengan alasan ia adalah  ‘kebiasaan budak-budak zaman sekarang’, tanpa peka dengan batasan syariat yang menuntut kawalan pergaulan antara jantina berbeza.  Ringkasnya,  pengabaian agama merupakan kesilapan terbesar dalam pendidikan anak-anak.

Selain itu, kesilapan juga berlaku apabila ibu bapa mendidik anak tanpa perasaan belas ihsan.  Dr Abdullah Nasih Ulwan menyebut bahawa terdapat anak-anak yang diperlaku dengan perlakuan yang keras sehingga menyebabkan anak-anak tertekan, kecewa, punah harapan dan ada yang membunuh diri.

Tidak dinafikan terdapat ibu bapa yang ‘mendidik’ anak berbekalkan luapan emosi marah tidak terkawal sehingga ada yang memaki hamun, menghina, memukul dan membelasah anak sendiri.  Bahkan kes-kes penderaan anak masih kerap didengari sehingga hari ini.

Kekerasan melampau ke atas anak-anak ini membuahkan kekacauan jiwa anak-anak. Hal ini juga ada kaitannya dengan faktor anak-anak enggan berada di rumah. Bagi mereka ‘Rumahku Nerakaku’.  Mereka lebih bahagia dan damai bila berada dengan rakan-rakan, yang kadang-kadang membawa mereka ke kancah kemusnahan kekal.

Bagi si ibu dan bapa, perlu diingat bahawa mereka mempunyai tanggungjawab untuk berbuat baik kepada anak-anak kerana anak adalah amanah dari Allah. Allah berfirman:

“Sesungguhnya Allah menyuruh menjalankan keadilan, berbuat baik, dan memberi kepada kaum kerabat.” (Surah an-Nahl:90)

SAbda RAsulullah S.A.W:

“Sekiranya Allah inginkan kebaikan bagi sesebuah keluarga, maka diberikan sifat belas kasihan kepada mereka. Dan andainya sifat belas kasihan itu suatu ciptaan (yang boleh dilihat), nescaya semua manusia akan memandangnya sebagai sebaik-baik ciptaan dari Allah. Dan sekiranya kekerasan itu adalah satu ciptaan (yang boleh dilihat), nescaya semua manusia akan memandangnya sebagai seburuk-buruk ciptaan dari Allah.” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi)

Selain itu, kesilapan juga berlaku apabila ibu bapa terlalu memanjakan anak-anak. Ada ibu bapa yang berat untuk menghukum dan menegur anak-anak semata-mata takutkan anak itu merajuk. Kuasa merajuk anak itu diberikan sedemikian rupa sehingga anak itu berjaya memanupulasikannya sebagai senjata untuk mengugut ibu bapa.

Tidak salah untuk memanjakan anak. Memang anak-anak perlukan kemanjaan dan kasih sayang. Namun, tindakan yang salah ialah terlalu memanjakan anak dengan tidak menetapkan disiplin dan sempadan ke atas anak-anak. Akhirnya anak itu menjadi terlalu bebas, dan gagal dididik dengan teratur dan berprinsip.

Ringkasnya, antara faktor yang merosakkan pendidikan anak ialah berpunca dari ibu bapa sendiri yang gagal mendidik dengan cara yang betul. Realiti hidup masa kini yang semakin kompleks dan mencabar menuntut ibu bapa agar lebih tekun mendalami ilmu dan kemahiran keibubapaan dan mengadaptasinya dalam kehidupan berkeluarga. Landasan agama merupakan asas yang paling baik untuk menjadi bekalan dan rujukan dalam mendidik anak-anak menuju ketinggian sahsiah.

Artikel iluvislam.com

Biodata Kolumnis

Ustaz Fathi Yusuf merupakan graduan ijazah Undang-Undang Syariah UIAM dan master Undang-Undang UKM manakala isterinya, Ustazah Ros Izanuri Jamaluddin merupakan graduan Bahasa Arab UIAM. Ustaz Fathi sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang PhD di UIAM manakala Ustazah Ros Izanuri mengajar di SMK. Taman Melawati, Kuala Lumpur.

 

 

Ramadhan yang bakal pergi..

Assalamualaikum wrt wbt,

Begitu lama blog ini tidak dikemaskini. Ini menunjukkan betapa diri ini terlalu sibuk. Sibuk dengan tugas harian sebagai seorang pekerja di sektor awam yang berkhidmat untuk bangsa, agama dan negara. Di samping itu sebagai seorang isteri dan ibu. Yang utamanya sebagai seorang hamba Allah.

Masa-Allah.. kenapa mesti mengeluh. Semua insan dikurniakan masa yang sama iaitu 24 jam sehari semalam. Sewajarnya kita mampu merancang dan membahagikan masa seadil-adilnya, namun itulah kelemahan diri ini sebagai hamba Allah yang terlalu lemah.

Telah terlambat untuk mengucapkan Selamat Berpuasa. Oleh itu cukup sekadar diucapkan Selamat Menjalani ibadah di penghujung Ramadhan, semoga kita semua amal ibadah kita di terima Allah dan diampunkan segala dosa kita.

Alhamdulillah, setelah 4 tahun saya bercuti dari bersolat terawikh atas alasan baby yang masih kecil, tahun ini kami dikurniakan pelbagai kemudahan oleh Allah :
1. Adam telah pun berumur 4 tahun, cukup besar berakal untuk diajar adap2 di Masjid.
2. Selepas pelbagai ujian di rumah lama kami tahun lepas, penghijrahan kami ke rumah baru yang bersebelahan dengan Masjid benar-benar memberi seribu rahmat.
3. AJK Masjid telah menyediakan juadah bukan sahaja untuk berbuka puasa, malahan juga moreh serta sahur (selepas 15 hb Ramadhan).

Mengambil kira semua kemudahan yang tersedia, maka kami bersetuju untuk berbuka puasa di Masjid dan terus menunggu hingga selesai solat terawikh. Pada mulanya kami mengalami kesukaran juga untuk mengawal Adam, namun lama-kelamaan Adam selesa dengan suasana di Masjid. Adam tidak bersolat terawikh, tetapi Alhamdulillah tindakannya tidak sampai mengganggu jemaah lain. Satu-satunya cara untuk menghadkan pergerakan Adam adalah dengan membawa kertas bercetak untuk aktiviti mewarna. Setelah hampir sebulan, Adam telah bertemu dengan beberapa orang kawan baik yang mampu bermain dan mewarna bersama-sama semasa ibu dan ayah masing-masing sedang bersolat.

Selama ini saya sering terfikir, “Saya belum mengenali walau seorang pun jemaah wanita di Qariah ini, andai ditakdirkan saya meninggal dunia di sini, pasti jemaah wanita yang memandikan mayat tidak mengenai siapakah jenazah yang sedang mereka mandikan ini”. Alhamdulillah kini saya telah mengenai dan berkawan rapat dengan beberapa orang jemaah wanita samaada yang seusia dengan ibu saya, yang sebaya atau lebih muda. Kebanyakknya adalah isteri-isteri imam dan juga pekerja di Masjid berkenaan. Selain daripada itu, saya juga berkenalan dan berkawan baik dengan seorang ibu yang anaknnya sama-sama bersekolah di Tadika dengan Adam. Seorang lagi kawan baik saya adalah seorang Ustazah yang rupa-rupanya tinggal satu block dengan saya.

Jadi sekarang saya lega. Telah ada kawan yang merupakan ibu kepada kawan Adam. Seorang jiran tetangga yang begitu hampir dengan rumah, seorang ustazah dan isteri imam. Dan seandainya Allah menjemput saya kembali di sini, sekurang-kurangnya orang yang memandikan jenazah saya, sempat mengenali saya semasa saya masih lagi bernyawa.

Semoga Ramadhan ini merupakan Ramadhan terbaik yang pernah saya lalui.

Eh apa kat bawah nih. Cuba klick tengok



KITA BERTANYA…. ALLAH MENJAWAB…

Kita selalu mengeluh dan bertanya pada diri sendiri. Ini adalah diantara soalan yang biasa ditanya kepada diri kita sendiri. Dan setiap soalan ini telah Allah jawab melalui Al-Quran. Semoga kita dapat muhasabah diri kita ini…. Insyaallah

Kita bertanya: Kenapa aku diuji?
Quran menjawab, “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan.”Kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar, dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta.” (Surah al-Ankabut: 2-3)

Kita bertanya: Kenapa aku tidak dapat apa yang aku idam-idamkan?
Quran menjawab, “Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah: 216)

Kita bertanya: Kenapa ujian seberat ini?
Quran menjawab, “Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Surah al-Baqarah: 286)

Kita bertanya: Kenapa kita rasa kecewa?
Quran menjawab, “Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman.” (Surah Ali Imran: 139)

Kita bertanya: Bagaimana harus aku menghadapinya?
Quran menjawab, “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang, dan sesungguhnya sembahyang itu amat berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.” (Surah al-Baqarah: 45)

Kita bertanya: Kepada siapakah harus aku berharap?
Quran menjawab, “Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain daripadaNya. Hanya kepadaNya aku bertawakal.” (Surah at-Taubah: 129)

Kita bertanya: Apa yang aku dapat daripada semua ujian ini?
Quran menjawab, “Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka.” (Surah at-Taubah: 111)

Kita berkata: Aku sedih!
Quran menjawab, “Dan demikianlah keadaan hari-hari (kejayaan dan kesedihan) Kami pergilirkan di antara manusia (supaya menjadi pengajaran).” (Surah Ali Imran: 140)

Kita berkata: Aku tak tahan!
Quran menjawab, “…dan janganlah kamu berputus asa dengan rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.” (Surah Yusuf: 87)

Kita berkata: Sampai bilakah aku akan merana begini?
Quran menjawab, “Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.” (Surah al-Insyirah: 5-6)

Orang yang paling kuat sebenarnya adalah orang yang sabar. Tanpa kesabaran yang ditunjangi akal waras dan iman kental, kita pasti tidak dapat bangkit apabila menerima pukulan takdir. Walhal sesuatu bala itu juga nikmat buat kita, hambaNya. Tegal di sebalik musibah yang menimpa, jarang sekali kita mengintai hikmahnya. Oleh itu teman, selalulah berdamping dengan Al-Quran dan bedahlah Al-Quran untuk kita mengetahui dan menguasai ilmu Al-Quran.





 

 

Sakit Pinggang: Kaedah Rawatan Melalui Prinsip Pemulihan Serta Postur & Pergerakan Solat

Ada kalanya saya semacam hampir-hampir berputus asa dengan kesakitan pinggang ini.  Sekali fikir mahu jer saya menjalani pembedahan untuk mengubati kesakitan yang tidak mampu ditanggung lagi.  Mujur ada iman senipis kulit bawang.  Saya sedar sakit itu ujian dari Allah.  Maka kepadanya saya akan kembali.

Setiap kali rukuk semasa solat memang terlalu sakit, terutama untuk solat subuh. Selalu juga saya ‘kalah’ hingga terpaksa bersolat duduk.  Namun hati saya berat mengatakan bahawa pembedahan dan ubat bukanlah satu-satunya kaedah rawatan untuk penyembuhan.

Carian saya di google menemukan saya dengan laman web ini

http://www.kedai-buku.com/kedai-buku/details/1816/25/solat/islam/um-sakit-pinggang–kaedah-rawatan-melalui-prinsip-pemulihan-sert.html. Di kedai buku yang hampir dengan pejabat dimaklumkan bahawa buku berkenaan tiada dalam simpanan. Memikirkan masa yang terhad untuk mencari dikedai lain, kami menggunakan sepenuhnya kemudahan pembelian online dari laman web ini.

Saya cuma sempat membelek sepintas lalu buku berkenaan.  Diharapkan buku ini mampu membantu dalam proses penyembuhan sakit pinggang yang telah hampir setahun dideritai ini. Amin ya Rabbal Alamin




Jom jadi ibubapa yang dimuliakan Allah S.W.T.

sumber: Forward e-mail dari seorang sahabat.

Salam, anak-anak adalah amanah dari ALLAH s.w.t. dan ianya sebahagian dari ujian ALLAH s.w.t kepada kita hamba-hambaNya.

Sebagai ujian, ianya akan dipertanggungjawabkan. Orang yang malang ialah orang yang mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya tidak membawa kebaikan kepadanya di akhirat.

1. Kesilapan Pertama :

a. Kurang berdoa semasa mengandung.

Antara doa-doa yang digalakkan atau diamalkan semasa mengandung ialah
* Saidul (penghulu) Istighfar
* Doa memohon rahmat (Al-Quran Surah Ali ‘Imran, 3:8-9)
* Doa memohon zuriat yang baik (Al-Quran Surah Ali ‘Imran, 3:38)
* Doa agar anak mengerjakan solat (Al-Quran Surah Ibrahim, 14:40-41)

b.Kurang berdoa semasa membesarkan anak.

Doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa anak membesar ialah :
* Doa agar anak patuh kepada Allah s.w.t. (Al-Quran Surah Al-Baqarah, 2:128)
* Doa diberi zuriat yang menyejukkan hati (Al-Quran Surah Al-Furqan, 25:74)
* Doa supaya nama anak membawa kebaikan kepadanya.

2. Kesilapan Kedua :Banyak memberi belaian Tarhib (menakutkan) kepada Targhib (didikan atau motivasi)

* menakutkan anak-anak dengan sekolah
* menakutkan dengan tempat gelap
* menakutkan dengan hutan rimba atau bukit bukau
* menggunakan kekerasan dan paksaan semasa menyuruh anak tidur.

3. Kesilapan Ketiga :Tidak tegas dalam mendidik anak-anak

* tidak menjadualkan kegiatan harian anak-anak.
* terlalu memfokuskan anak-anak kepada sesuatu aktiviti sahaja tanpa mengambil kira perasaan mereka.

4. Kesilapan Keempat :Menegur anak secara negatif

* Mengeluarkan kata-kata kesat dan maki hamun kepada anak-anak (terutama ketika marah)
* Membandingkan anak-anak dengan anak-anak lain atau anak orang lain.

5. Kesilapan Kelima :Memberi didikan yang tidak seimbang antara jasmani (physical), rohani (spiritual) dan minda (intelektual)

* ramai yang lebih mementingkan pendidikan minda dari pendidikan rohani.

6. Kesilapan Keenam :Kurang memberi sentuhan kepada semua anak-anak sedangkan Rasulullah kerap dilihat mendukung cucu-cucunya dan mencium mereka.

7. Kesilapan Ketujuh : Penampilan diri yang kurang anggun dan kurang kemas.

* Ibu bapa tidak menunjukkan cara pemakaian yang kemas dan yang menepati kehendak syarak bila berada di rumah, iaitu berpakaian selekeh atau berpakaian seksi di hadapan anak-anak.

8. Kesilapan Kelapan : Susunan rumah tangga yang tidak kemas. Ini mengakibatkan anak-anak terikut-ikut dengan cara itu dan membesar menjadi pemalas dan selekeh.

9. Kesilapan Kesembilan :Kurang menghidupkan sunnah di rumah seperti memberi salam, makan berjemaah, beribadah bersama-sama dan sebagainya.

Dalam menjawab salam, lazimkanlah menjawab salam dengan yang lebih baik dari salam yang diberi.

10. Kesilapan Kesepuluh :Tidak menggantungkan rotan di tempat yang mudah dilihat oleh anak-anak.

Dalam Islam, merotan anak dengan tujuan mendidik adalah satu sunnah.

11. Kesilapan Kesebelas :Bertengkar di depan anak-anak.

Ini akan menyebabkan anak-anak rasa tertekan dan membenci salah seorang dari ibu bapanya.

12. Kesilapan Kedua belas :Kurang mengawasi rancangan-rancangan yang ditonton sama ada dari TV ataupun video.

Pengawasan dalam hal ini adalah penting kerana kebanyakan rancangan dari media ini menonjolkan akhlak yang kurang baik seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, pakaian yang tidak menepati syarak dan perbualan yang boleh merosakkan agama anak-anak.

13. Kesilapan Ketiga belas :Terlalu bergantung kepada pembantu rumah untuk mendidik anak-anak.

Sebagai ibu bapa kitalah yang akan disoal di akhirat kelak akan anak-anak ini. Oleh itu adalah menjadi satu kepentingan kita untuk berusaha memastikan anak-anak terdidik dengan didikan Islam.

Renung-renungkan dan selamat beramal…

Ya Allah permudahkan lah urusan dunia ku.. dan permudahkan lah urusan akhirat ku… semoga aku menajdi hamba mu yang bersyukur dan menjadi bapa yang beriman serta berupaya membawa keluarga ku ke jalan Mu…. aminn




Amalan Ramadan sepanjang hayat

SEPANJANG Ramadan, anda bukan sahaja menyempurnakan ibadah puasa, malah telah pun melakukan segala amalan yang baik. Jadi, mengapa harus berhenti di sini sahaja? Teruskan amalan yang sihat dan baik tersebut untuk sepanjang hayat anda.

Segala amal ibadah dan amalan sihat yang anda lakukan di sepanjang Ramadan telah menjadikan Ramadan anda berjaya – pemakanan sihat, amalan kebaikan serta pembersihan rohani dan jasmani. Sesungguhnya, Ramadan yang berjaya dan diberkati adalah apabila tubuh, minda dan juga jiwa anda dapat merasai kehebatannya.

Mengapa tidak teruskan sahaja amalan sihat yang telah anda lakukan di bulan Ramadan berterusan untuk sepanjang hayat anda? Anda telah berjaya memupuk tabiat yang baik, jadi mengapa tidak ia kekalkan sahaja? Selain itu, anda juga dapat memberikan contoh yang baik kepada ahli keluarga dan mereka yang rapat dengan anda. Bertekadlah kepada diri anda untuk meneruskan amalan baik tersebut.

Tabiat sihat

Satu daripada perkara baik yang telah anda dapat daripada semangat Ramadan adalah pemakanan sihat dan mengekalkan diet yang sihat. Semasa berpuasa, anda telah mempelajari kepentingan untuk mengambil makanan yang menyihatkan mengikut keperluan tanpa perlu makan secara berlebihan. Teruskan amalan baik ini dan pasti tubuh anda akan mendapat kebaikan daripada tabiat sihat itu.

Pilih ramuan dan bahan segar serta cara penyediaan yang sihat apabila ingin menyediakan hidangan untuk keluarga anda. Gunakan seberapa banyak bahan dan ramuan semulajadi untuk masakan anda, sekiranya boleh.

Jika boleh, cuba berpuasa sekali sekala untuk “membersihkan” tubuh anda. Tidak perlu berpuasa untuk sebulan, memadai untuk satu atau dua hari bagi mengeluarkan toksin yang terkumpul di dalam tubuh anda.

Sekiranya anda berjaya merehatkan beberapa tabiat tidak sihat seperti kemalasan dan juga merokok di bulan Ramadan, mengapa tidak menghentikan sahaja tabiat tersebut? Bukan sahaja tubuh anda menghargainya, malah fokus minda anda juga akan mendapat kebaikan daripadanya.

Satu elemen penting dalam memastikan perlaksanaan ibadah puasa dapat disempurnakan adalah memastikan pemakanan yang betul dan sihat. Diet yang betul dan seimbang bukan sahaja dapat mengekalkan kesihatan dan kecergasan sepanjang bulan Ramadan, malah dapat membantu mencegah berbagai masalah dan gangguan kesihatan demi menjamin kesihatan yang baik bukan sahaja sepanjang Ramadan, malah sepanjang hayat anda.

Tidak dapat dinafikan pemakanan yang tidak sihat dan tidak seimbang hanya mengundang pelbagai masalah kesihatan seperti kegemukan, paras kolesterol tinggi, diabetes dan penyakit jantung. Satu perkara yang harus diberikan perhatian serius, penyakit jantung merupakan pembunuh nombor 1 di Malaysia dan juga di seluruh dunia, malah ancaman pembunuh senyap ini tidak pernah berkurangan.

Satu cara terbukti merendahkan kolesterol dan menurunkan risiko penyakit jantung adalah dengan mengambil serat, terutamanya serat larut (beta-glukan) yang boleh didapati di dalam oat. Menurut kenyataan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS, ‘Diet yang tinggi dengan bijirin oat atau bran oat serta diet rendah lemak dan kolesterol dapat membantu mengurangkan risiko penyakit jantung’.

Oleh itu jika anda mempunyai paras kolesterol normal, pengambilan oat dapat memastikan kesihatan jantung anda. Jika anda mempunyai paras kolesterol yang tinggi 5.0 ke 5.2mmol/L dan ke atas, pengambilan bijirin oat yang disarankan adalah sebanyak dua mangkuk bersamaan dengan 70 gram bijirin oat setiap hari, dapat membekalkan anda dengan 3 gram beta-glukan yang berkesan dalam membantu menurunkan paras kolesterol dalam darah anda.

Apabila anda mengambil bijirin oat, serat larut (beta-glukan) akan mengikat bendalir hempedu yang sarat dengan kolesterol di dalam usus. Kemudian, ia akan disingkirkan menerusi sistem usus besar. Apabila bendalir hempedu telah disingkirkan daripada sistem, tubuh anda akan mencuba untuk menggantikannya. Hasilnya hati anda akan menarik lebih banyak kolesterol dari darah untuk menghasilkan bendalir hempedu. Tindakan ini akan membantu menurunkan paras kolesterol yang berlebihan di dalam darah anda.

Bijirin Quaker oat untuk jantung sihat akan lebih berkesan sekiranya digabungkan dengan gaya hidup yang sihat. Elakkan diri daripada merokok dan pastikan anda menjalani aktiviti fizikal. Sekiranya anda mempunyai berat badan berlebihan, ambil langkah untuk mengurangkan berat badan anda. Kesemua ini dapat membantu menurunkan paras kolesterol anda dan seterusnya mengurangkan risiko penyakit jantung.

Anda patut berbangga dengan segala pencapaian anda di sepanjang Ramadan dan biarkan ia menjadi ingatan kepada kejayaan Ramadhan yang pernah anda kecapi. Teruskan mengamal segala amalan sihat dan baik ini dalam usaha untuk menjadikan anda individu yang berjaya dan lebih baik dalam segala aspek.

Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Artikel ini adalah sumbangan Quaker Smart Heart Programme.

sumber: Utusan Malaysia-Kesihatan




Hati-hati dengan produk SAUDI

LIHAT PADA EJAAN

” JARAHTAN KEMAHJAN DAN JUGA DEPARKMANT ” SAH …SAH ..PENIPU.

PERINGATAN: WALAUPUN ADA TANDA HALAL BACA DAN PASTI KAN LOGO TU YG SAH




Ujian Adalah Tarbiah dari Allah

Pejam celik, pejam celik dah hampir habis bulan 6 rupanya. Dah setengah tahun 2010 dilalui. Rasanya tahun yang paling berat dengan dugaan. Kalau kurang-kurang iman boleh jadi gila dibuatnya. Pernah juga aku berhasrat agar aku terus pejam mata dan tidak celik, celik lagi.  Astagfirullah hal Azim. Syukur Alhamdulillah,  Allah masih panjangkan umurku dan terus-terusan menguji, tanda Allah masih sayangkan ku.

Continue reading “Ujian Adalah Tarbiah dari Allah”

Kalimah Allah yang Tersembunyi Di Permukaan Kasut Jenama Crocodile dalam Bentuk Buaya

Assalamualaikum wbkt. Semua,
 
Bersama-sama ini disertakan maklumat berikut untuk makluman,  perhatian dan tindakan sewajarnya bagi mengelakkan daripada dengan tidak sengaja/tanpa mengetahui akan muslihat pengeluar kasut jenis Crocodile yang ramai di kalangan orang Islam di negara ini dan mungkin di negara-negara Islam lainnya telapun membeli dan memakainya.
Continue reading “Kalimah Allah yang Tersembunyi Di Permukaan Kasut Jenama Crocodile dalam Bentuk Buaya”

Berita Buruk

Notebook kesayangan saya, yang di beli pada bulan November 2009 menggunakan wang KWSP telah lesap. Kehilangan disedari pagi Jumaat lepas, semasa mencari Ipod Adam. Notebook berkenaan diletakkan di dalam beg Public Mutual, beserta lain-lain nota berkaitan. Peliknya, semua nota dan pemplet tidak diambil, cuma beg kecil yang berisi segala keperluan untuk menggunakan notebook berkenaan sahaja yang diambil.

Continue reading “Berita Buruk”

Suami tunjang rumah tangga bahagia

Suami tunjang rumah tangga bahagia
Oleh Khairul Anwar Rahmat
2010/04/09

Lelaki kena teladani cara Rasulullah hormati isteri jalani kehidupan sebagai ketua keluarga

PASTI ramai terkejut dengan laporan akhbar baru-baru ini bertajuk ‘12,349 lelaki yang tidak bertanggungjawab’. Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Datuk Ibrahim Lembut, mendedahkan sebanyak 12,349 kes tuntutan nafkah direkodkan sepanjang 2000 hingga 2009. Begitulah ramainya orang lelaki yang culas mematuhi perintah mahkamah untuk membayar nafkah.

Continue reading “Suami tunjang rumah tangga bahagia”

Sejarah “April Fool” & kesannya terhadap umat Islam….

Ikutilah cerita sedih di sebalik April Fool’s Day sebagai renungan bersama.  Setiap kali menjelang 1 April,  gah orang kita begitu taksub dengan budaya ‘pandang ke barat’.

Berbalik kepada perayaan April Fool’s Day ini, adalah ia mula dirayakan sewaktu kejatuhan kerajaan Islam di Sepanyol. Setelah bertapak berkurun-kurun lamanya di Granada, Sepanyol,  kerajaan Islam akhirnya runtuh diserang tentera-tentera Kristian.

Continue reading “Sejarah “April Fool” & kesannya terhadap umat Islam….”

Kisah kehidupan.. keberkatan dlm rezeki

* Ambil Pengajaran dan Iktibar.

Kisah-1

Ketika belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia , Salleh (bukan nama sebenar) telah bertemu jodoh dengan isterinya Siti Rahmah (bukan nama sebenar).. Salleh mengambil jurusan kejuruteraan manakala Siti Rahmah Mengambil bidang perakaunan. Sekarang mereka telah 15 tahun berkahwin Dan Dikurniakan Allah dengan 7 orang anak.

Beberapa bulan yang lepas saya Berkunjung ke rumah Salleh di Kajang. Kebetulan pada pagi Ahad itu selepas Solat Subuh di Masjid Kajang saya bertemu dengan Salleh. Dia terus mengajak saya ke rumahnya. Dia menyewa rumah teres setingkat tidak jauh dengan Masjid. Saya mengenalinya sejak hampir 10 tahun yang lalu. Pagi itu tidak sedar Kami telah berbual-bual hampir lima jam. Saya ingin berkongsi tentang Keluarga Salleh ini yang pada saya satu contoh keluarga yang mendapat Keberkatan Allah.

  1. Salleh bekerja makan gaji dan pendapatan bersihnya sebulan kurang dari RM3000.
  2. Isterinya adalah anak sulung, walaupun berkelulusan ijazah namun menjadi suri rumah sepenuh masa atas kehendak Salleh. Sebagai penghargaan kerana Isterinya sanggup tidak bekerja, Salleh memberikan RM300 sebulan kepada Ibu-bapa mertuanya setiap bulan.
  3. Di samping itu Salleh juga memberi kepada ibunya di kampung RM200 sebulan. Bapa Salleh telah meninggal dunia.
  4. Dia memiliki Toyota Unser dengan ansuran RM500 sebulan.
  5. Dia membayar rumah sewa RM400 sebulan.
  6. Di rumahnya serba lengkap dengan perabot (TV, Peti Sejuk, Mesin Basuh, Set Sofa) serta teratur Dan kemas.
  7. Pelik tetapi benar, bil elektrik di rumahnya kurang dari RM20 sebulan sedangkan jirannya tidak pernah kurang dari RM60. TNB dah buat pemeriksaan bahawa meter di rumahnya tidak rosak. Begitu juga dengan bil air kurang Dari RM10 sebulan..
  8. Empat orang anaknya dihantar ke sekolah agama integrasi.
  9. Bayangkan dia boleh hidup dengan selesa walaupun gajinya kecil jika di nisbahkan dengan keluarganya yang agak besar.

Sejak berkawan dengannya ada beberapa perkara yang saya lihat jadi amalan ia yang patut di contohi;

  1. Solat Duha menjadi amalan hariannya walaupun ketika pergi outstation
  2. Solat Istikharah menjadi suatu amalan walaupun nak membeli benda yang kecil seperti nak membeli mesin basuh.
  3. Sering membaca Surah Al-Waqiah
  4. Tidak terlibat langsung dengan sistem Riba. Dia menggunakan Kredit Kad Bank Islam. Pinjaman kereta pun menggunakan sistem pinjaman Islam.
  5. Buat baik kepada Ibu bapa Dan Ibu Bapa mertuanya.
  6. Suka menolong orang dan memberi derma
  7. Semua anak-anaknya mempunyai akhlak yang baik dan jarang kena sebarang Penyakit.
  8. Dia dah empat tahun menggunakan Toyota Unser, sekali pun tidak pernah Rosak atau menyusahkan nya.
  9. Segala masalah yang dihadapi dapat diselesaikan dengan mudah Dan cepat.

Kisah-2

Ketika saya bujang dahulu saya sering menziarahi kawan saya, Norizam (bukan Nama sebenar) yang tinggal di Masai Johor. Pada Hari Ahad itu saya sampai Di rumah Norizam selepas waktu Asar. Norizam memperkenalkan Abang dia, Rashid (bukan nama sebenar) yang baru sampai dari Kuala Lumpur . Rashid Berkunjung ke rumah Norizam kerana untuk menghadiri temuduga pada pagi Isnin di Johor Baru.. Kawan saya Norizam ini, dalam beberapa hal dia tidak berpuas hati dengan Abangnya. Kadang kala saya tidak suka mendengar dia merungut tentang Abangnya. Petang itu Norizam merungut lagi iaitu abangnya datang untuk Temuduga kerja sebagai Pengurus Besar (General Manager). Gaji Rashid Sekarang ialah RM10,000 sebulan. Katanya tidak mencukupi. Dia akan minta Gaji sebanyak RM14,000 sebulan untuk tempat baru ini. Saya pun berasa hairan gaji RM10,000 sebulan tidak mencukupi sedangkan hanya mempunyai dua orang anak sahaja. Beberapa tahun kemudian baru saya tahu kenapa gaji abangnya RM10,000 tidak mencukupi. Ini ada kaitan dengan tiada keberkatan hidup. Perkara-perkara yang pada pandangan saya menyebabkan Rashid jadi susah ialah seperti berikut;

  1. Banyak sangat terlibat dengan sistem Riba. Pinjaman Kereta, Kad Kredit, Pinjaman Rumah, Akaun Simpanan semuanya Sistem Konvensional (Riba).
  2. Menggunakan banyak kad kredit konvensional kemudian bayar pokok sahaja. Bermakna memakan riba yang berterusan.
  3. Sering bertukar kereta sebab kereta selalu bermasalah walaupun kereta baru (Masalah kena curi dan kemalangan jalan raya)
  4. Sering bertengkar dengan isteri.
  5. Isteri sering masuk hospital kerana penyakit misteri.
  6. Anak perempuan sulungnya yang di tingkatan tiga kena tangkap basah.
  7. Suka menengking jika ada orang mintak derma.
  8. Soal sembahyang lima waktu dipandang sebelah mata sahaja..

Kedua-dua kisah ini adalah sesuatu yang lumrah berlaku di sekeliling Kita. Kadang kala kita tidak sedar langsung atau tidak menghiraukan langsung untuk mencari keberkatan hidup.

Kisah 3

Saya hanya nak sampaikan sebuah cerita yang saya dapat, yang membuatkan hati saya amat tersentuh. Cerita ini saya dapati selepas menghadiri sebuah usrah umum di tempat saya baru-baru ini. Ustazah yang menceritakan ini sekarang mengajar di KISAS.

Ceritanya begini… Suatu hari, seorang ustazah travel, dia singgah di rumah seorang sahabatnya yang mana pasangan suami isteri tersebut adalah guru biasa. Sisuami seorang guru penolong kanan. Beliau tiba di rumah sahabatnya ini sekitar tengahari tapi belum zohor. Kedua-dua suami isteri ini masih di sekolah. Walau bagaimanapun beberapa orang dari 8 orang anak mereka yang ke semuanya lelaki yang mana yang paling tua dalam tingkatan satu & yang paling muda masih bayi sudah pun pulang dari sekolah. Waktu zohor masuk, abang yang tua mengajak semua adik-adiknya yang baru pulang untuk solat berjemaah dengan dia sendiri sebagai imam. Sewaktu dalam rakaat kedua, salah seorang adiknya yang berumur lingkungan 8 tahun pulang. Tanpa bertangguh tatkala melihat jemaah yang sedang solat, dia mengambil wudhu’ dan solat bersama jemaah, ia ikut ruku’ apabila imam ruku’.. Dia ikut sujud apabila imam sujud. Dan selesai imam memberi salam, dia bangun menyelesaikan satu rakaat solatnya yang tertinggal.

Subhanallah. .. adik yang berumur 8 tahun ini sudah pandai masbuk… ustazah yang melihat terkejut dan kami yang mendengar mengucap memuji ALLAH. Bayangkan betapa taatnya anak-anak yang masih kecil ini menunaikan perintah ALLAH tanpa pengawasan kedua orang tua mereka atau mana-mana orang dewasa dan tanpa disuruh-suruh.

Cerita tak berakhir di situ.. Ustazah bermalam di rumah sahabatnya itu. Apabila subuh, ustazah menyangka dialah yang paling awal bangun kerana dia bangun selesai sahaja azan subuh berkumandang kalau saya tak lupa. Takjubnya dia apabila ke bilik air dilihatnya anak-anak kecil sedang sibuk ambil wudhu’. Bayangkan 7 orang budak lelaki dengan yang paling tua berumur 13 tahun dan yang ke tujuh ntah berapa tahun sibuk mengambil wudhu’ di bilik air di waktu subuh paling awal. Si ayah menunggu anak-anaknya di tikar sembahyang dengan sabar sambil berzikir. Mereka solat jemaah sekeluarga (termasuk ustazah). Sewaktu hendak mula solat, si ibu meletakkan anak bongsunya yang masih bayi (yang sedang jaga) di sisinya. Ajaibnya anak ini tidak menangis mengganggu jemaah sepanjang mereka solat.

Dan sekali lagi cerita tak berakhir di situ. Ustazah tersebut ingatkan hendak sambung tidur kerana penat travel semalamnya tak surut lagi. Alangkah terkejutnya dia apabila hendak melipat sejadah, si ayah berpusing menghadap jemaah sambil berkata, “Anak-anak.. . hari ni ayah nak beri kuliah mengenai solat dan puasa… “. Dan 8 orang anak termasuk si ibu dengan tekun mendengar kuliah subuh yang disampaikan.

Subhanallah. … bila ditanya kepada si ibu mengapa didikan sedemikian diberi kepada anak-anaknya? Dia menjawab bahawa itu persediaan dia dan suaminya sebelum mati. Mereka berharap agar anak-anak lelakinya yang 8 orang itu dapat membacakan sekurang-kurangnya fatihah untuk mereka jika ditakdirkan mereka pergi dulu.. Lagipun anak-anak mereka semuanya lelaki… Pasangan suami isteri ini tak sanggup melihat anak-anak mereka terabai tanpa pedoman…

Cuba kita tanya diri kita sendiri…

  • Berapa ramai keluarga Islam hari ini yang dapat mengamalkan solat jemaah dalam keluarga ???
  • Berapa ramai anak-anak Islam berumur 8 tahun yang pandai solat masbuk???
  • Berapa ramai anak-anak berumur 13 tahun yang pandai mengimami solat memimpin adik-adik mereka ???
  • Berapa ramai ibubapa yang berjaya mendidik anak-anak mereka sedemikian rupa yang taat melaksanakan perintah ALLAH tanpa suruhan dan pengawasan mereka yang lebih dewasa ??? Subhanallah. ..

Alhamdulillah. .. moga apa yang saya sampaikan ini menjadi pedoman dan iktibar buat kita semua…