Mulakan hari anda dengan sarapan

BENTUK badan yang kurus dan langsing menjadi idaman setiap wanita terutama mereka yang mengambil berat soal penampilan diri.

Justeru ramai wanita hari ini sibuk mengira kandungan kalori setiap kali memeriksa label makanan sedangkan apa yang mereka perlu titik-beratkan ialah mengambil makanan yang memenuhi khasiat pemakanan yang diperlukan.

Amalan pemakanan yang bijak ialah makan supaya sentiasa sihat bukan makan untuk merampingkan badan.

Ini kerana badan memerlukan jumlah protein, karbohidrat, serta vitamin, mineral dan air yang mencukupi di samping sedikit lemak untuk terus sihat.

Oleh itu jangan mengurangkan makan demi merampingkan badan kerana diet yang tidak mencukupi selalunya akan menyebabkan keletihan, kurang tenaga dan daya konsentrasi di mana akhirnya membuatkan seseorang lesu dan pucat lesi.

Mulakan hari dengan mengambil sarapan yang berkhasiat seperti bijirin sarapan yang mudah disediakan dan dalam masa yang sama ia dapat membantu menjadi ramping dan sihat.

Ramai yang tersalah anggap bahawa dengan tidak mengambil sarapan, mereka dapat mengurangkan kalori makanan mereka.

Sebenarnya, tabiat tidak bersarapan pagi lazimnya akan menjadikan seseorang itu mengambil makanan berlebihan ketika makan tengah hari dan pada waktu-waktu lain.

Amalan itu tidak sihat kerana ia menyebabkan mereka menambah jumlah kandungan kalori dan mungkin lemak yang dimakan dalam sehari.

Meninggalkan sarapan pagi juga dilihat tidak baik untuk kesihatan kerana selepas semalaman tanpa makanan, ia menyebabkan kandungan glukosa dalam darah menjadi rendah di sebelah pagi.

Kandungan glukosa dalam darah yang rendah boleh membawa kepada pelbagai masalah fisiologi dan fizikal seperti pening, pitam, lesu, lenguh, sakit-sakit badan, mudah marah dan sering dihantui perasaan bimbang.

Sebaliknya memilih sarapan berkhasiat setiap pagi penting bagi menghasilkan diet seimbang.

Bijirin sarapan pagi dengan susu adalah pilihan paling ringkas dan lengkap bagi orang dewasa yang menjalani kehidupan agresif dan aktif.

Mereka yang makan bijirin untuk sarapan pagi mendapat lebih banyak bekalan vitamin, mineral dan serat.

Sebenarnya, sarapan pagi menyediakan 25 peratus daripada jumlah kalori atau tenaga harian dan kunci kesihatan yang baik serta badan ramping ialah penjagaan diet yang sempurna, kerap melakukan senaman sederhana serta rehat dan tidur yang mencukupi.

Ketiga-tiga elemen ini penting bagi kesejahteraan menyeluruh, badan, minda dan jiwa di samping bersemangat dengan penampilan diri.

Diet yang seimbang juga memberi tenaga untuk bekerja secara optimum sambil menjadikan seseorang itu sentiasa ceria.

sumber : Utusan Malaysia- Keluarga

Amalan Ramadan sepanjang hayat

SEPANJANG Ramadan, anda bukan sahaja menyempurnakan ibadah puasa, malah telah pun melakukan segala amalan yang baik. Jadi, mengapa harus berhenti di sini sahaja? Teruskan amalan yang sihat dan baik tersebut untuk sepanjang hayat anda.

Segala amal ibadah dan amalan sihat yang anda lakukan di sepanjang Ramadan telah menjadikan Ramadan anda berjaya – pemakanan sihat, amalan kebaikan serta pembersihan rohani dan jasmani. Sesungguhnya, Ramadan yang berjaya dan diberkati adalah apabila tubuh, minda dan juga jiwa anda dapat merasai kehebatannya.

Mengapa tidak teruskan sahaja amalan sihat yang telah anda lakukan di bulan Ramadan berterusan untuk sepanjang hayat anda? Anda telah berjaya memupuk tabiat yang baik, jadi mengapa tidak ia kekalkan sahaja? Selain itu, anda juga dapat memberikan contoh yang baik kepada ahli keluarga dan mereka yang rapat dengan anda. Bertekadlah kepada diri anda untuk meneruskan amalan baik tersebut.

Tabiat sihat

Satu daripada perkara baik yang telah anda dapat daripada semangat Ramadan adalah pemakanan sihat dan mengekalkan diet yang sihat. Semasa berpuasa, anda telah mempelajari kepentingan untuk mengambil makanan yang menyihatkan mengikut keperluan tanpa perlu makan secara berlebihan. Teruskan amalan baik ini dan pasti tubuh anda akan mendapat kebaikan daripada tabiat sihat itu.

Pilih ramuan dan bahan segar serta cara penyediaan yang sihat apabila ingin menyediakan hidangan untuk keluarga anda. Gunakan seberapa banyak bahan dan ramuan semulajadi untuk masakan anda, sekiranya boleh.

Jika boleh, cuba berpuasa sekali sekala untuk “membersihkan” tubuh anda. Tidak perlu berpuasa untuk sebulan, memadai untuk satu atau dua hari bagi mengeluarkan toksin yang terkumpul di dalam tubuh anda.

Sekiranya anda berjaya merehatkan beberapa tabiat tidak sihat seperti kemalasan dan juga merokok di bulan Ramadan, mengapa tidak menghentikan sahaja tabiat tersebut? Bukan sahaja tubuh anda menghargainya, malah fokus minda anda juga akan mendapat kebaikan daripadanya.

Satu elemen penting dalam memastikan perlaksanaan ibadah puasa dapat disempurnakan adalah memastikan pemakanan yang betul dan sihat. Diet yang betul dan seimbang bukan sahaja dapat mengekalkan kesihatan dan kecergasan sepanjang bulan Ramadan, malah dapat membantu mencegah berbagai masalah dan gangguan kesihatan demi menjamin kesihatan yang baik bukan sahaja sepanjang Ramadan, malah sepanjang hayat anda.

Tidak dapat dinafikan pemakanan yang tidak sihat dan tidak seimbang hanya mengundang pelbagai masalah kesihatan seperti kegemukan, paras kolesterol tinggi, diabetes dan penyakit jantung. Satu perkara yang harus diberikan perhatian serius, penyakit jantung merupakan pembunuh nombor 1 di Malaysia dan juga di seluruh dunia, malah ancaman pembunuh senyap ini tidak pernah berkurangan.

Satu cara terbukti merendahkan kolesterol dan menurunkan risiko penyakit jantung adalah dengan mengambil serat, terutamanya serat larut (beta-glukan) yang boleh didapati di dalam oat. Menurut kenyataan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS, ‘Diet yang tinggi dengan bijirin oat atau bran oat serta diet rendah lemak dan kolesterol dapat membantu mengurangkan risiko penyakit jantung’.

Oleh itu jika anda mempunyai paras kolesterol normal, pengambilan oat dapat memastikan kesihatan jantung anda. Jika anda mempunyai paras kolesterol yang tinggi 5.0 ke 5.2mmol/L dan ke atas, pengambilan bijirin oat yang disarankan adalah sebanyak dua mangkuk bersamaan dengan 70 gram bijirin oat setiap hari, dapat membekalkan anda dengan 3 gram beta-glukan yang berkesan dalam membantu menurunkan paras kolesterol dalam darah anda.

Apabila anda mengambil bijirin oat, serat larut (beta-glukan) akan mengikat bendalir hempedu yang sarat dengan kolesterol di dalam usus. Kemudian, ia akan disingkirkan menerusi sistem usus besar. Apabila bendalir hempedu telah disingkirkan daripada sistem, tubuh anda akan mencuba untuk menggantikannya. Hasilnya hati anda akan menarik lebih banyak kolesterol dari darah untuk menghasilkan bendalir hempedu. Tindakan ini akan membantu menurunkan paras kolesterol yang berlebihan di dalam darah anda.

Bijirin Quaker oat untuk jantung sihat akan lebih berkesan sekiranya digabungkan dengan gaya hidup yang sihat. Elakkan diri daripada merokok dan pastikan anda menjalani aktiviti fizikal. Sekiranya anda mempunyai berat badan berlebihan, ambil langkah untuk mengurangkan berat badan anda. Kesemua ini dapat membantu menurunkan paras kolesterol anda dan seterusnya mengurangkan risiko penyakit jantung.

Anda patut berbangga dengan segala pencapaian anda di sepanjang Ramadan dan biarkan ia menjadi ingatan kepada kejayaan Ramadhan yang pernah anda kecapi. Teruskan mengamal segala amalan sihat dan baik ini dalam usaha untuk menjadikan anda individu yang berjaya dan lebih baik dalam segala aspek.

Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Artikel ini adalah sumbangan Quaker Smart Heart Programme.

sumber: Utusan Malaysia-Kesihatan




Senaman: Buat sendiri di rumah

*Senaman untuk kesihatan bukan berita baru. Malah senaman adalah elemen paling penting untuk menentukan kejayaan penurunan badan jangka panjang dan juga mengekalkan berat badan sedia ada. Kita biasa dengar senaman minimum 30 minit per sesi baik untuk kesihatan.

Penyelidikan terbaru menunjukkan senaman 10 minit sebanyak tiga kali sehari sama kesannya dengan bersenam selama 30 minit.

* Luangkan masa untuk membuat catatan apa dan berapa banyak yang telah anda makan. Catat juga paras rasa lapar sebelum anda mengambil makanan atau sebarang emosi yang ada pada masa itu. Diari pemakanan boleh menimbulkan kesedaran dan juga membantu mengenal pasti emosi serta tingkah laku yang mendorong pengambilan makanan secara berlebihan.

* Ramai yang berjaya mengurangkan berat badan untuk jangka panjang apabila mereka mengubah motivasi daripada mahu menjadi kurus kepada menjadi sihat. Fikirkan tentang makanan tertentu yang membantu menyihatkan badan daripada memikirkan makanan yang memberi kesan kepada berat badan anda. Piramid makanan menunjukkan jenis makanan dan jumlah pengambilan yang sepatutnya untuk memberi badan anda nutrisi yang diperlukan untuk kesihatan optimum.

* Selalunya terlebih makan dikaitkan dengan stres, rasa bosan, kesunyian, marah dan tertekan. Belajar menguruskan emosi tanpa makanan adalah skil penting untuk mengawal berat badan.

* Cuba kenal pasti apa yang mendorong anda untuk makan dan atasi masalah tersebut. Kajian menunjukkan bersenam tanpa disertai dengan pengurusan emosi (yang mengakibatkan terlebih makan) tidak menghasilkan kesan yang diharapkan untuk penurunan berat badan.

* Menjadi trend di kebanyakan restoran menyediakan hidangan super-size. Berhati-hati dengan jumlah makanan yang diambil. Jika perlu, bahagikan makanan tersebut dan minta bekas atau beg untuk membungkus makanan tersebut. Belajar untuk memberi perhatian kepada paras lapar dan berhenti makan apabila rasa kenyang dan bukannya sehingga perut rasa senak dek makanan.

* Perlu ingat penurunan berat badan secara drastik boleh mengakibatkan berat badan kembali kepada angka asal. Ini kerana penurunan berat badan yang cepat disebabkan oleh kehilangan air. Kehilangan lemak boleh dicapai dengan menurunkan berat badan secara perlahan.

* Makan perlahan-lahan merupakan salah satu cara untuk menurunkan berat badan. Ini kerana otak mengambil masa 20 minit untuk mula memberi isyarat kenyang. Mereka yang makan pantas sering menghabiskan makanan sebelum isyarat tersebut mengambil tempat.

sumber : Utusan Malaysia – kesihatan

Atkins Diets

Atkins Diet ialah sejenis corak pemakanan yang diperkenalkan oleh Dr. Robert C. Atkins bagi membantu seseorang individu untuk mengurangkan berat badan melalui konsep pembakaran karbohidrat (carbohydrate) dan lemak di dalam badan.
Dengan mengurangkan dan menghadkan makanan berkarbohidrat seperti nasi, mi, kentang dan gula, badan akan mula membakar lemak sebagai bahanapi. Ini bereti berat badan anda akan mula menyusut.

Continue reading “Atkins Diets”