PENYAKIT ENDOMETRIOSIS

Artikal asal di ambil dari sini

Penyakit Endometriosis

Penyakit endometriosis merupakan satu jenis penyakit yang agak luar biasa. Mungkin ramai yang tidak mengetahui tentang penyakit ini sedangkan sekarang makin ramai wanita yang menghidapinya. Diantara masalah yang ditumbulkan oleh penyakit ini ialah senggugut dan kesakitan ,kemandulan dan keguguran yang mungkin berulangkali. Ia juga boleh menyebabkan berbagai jenis masalah seperti perdarahan, gangguan kencing, kesakitan dan lain lain.

Apakah sebenarnya penyakit Endometriosis?

Penyakit endometriosis ini adalah satu keadaan luarbiasa dimana tisu dari selaput dalam rahim yang digelar “endometrium” telah tumbuh di luar rahim. Selaput ini biasanya luruh bersama sama darah haid. Oleh itu campuran darah dari rahim dengan tisu yang telah berkecai daripada lapisan endometrium serta kuman kuman bacteria, menjadikan apa yang digelar ‘darah kotor’ atau darah haid.

Bagaimana selaput endometrium ini boleh tumbuh di luar rahim?

Biasanya tempat2 diluar rahim dimana tisu endometrium ini tumbuh ialah pada kilang telur (ovari), belakang rahim (utero sacral ligament), saluran fallopian, pundi kencing, kadang kala di tempat tempat yang aneh seperti parut bekas pembedahan untuk melahirkan anak ataupun pembedahan untuk tujuan lain. Endometrium ini juga boleh tumbuh pada dinding/otot rahim menyebabkan penyakit yang digelar “Adenomyosis”.

Bagaimana tisu endometrium ini boleh tumbuh pada tempat tempat yang luar biasa, tidaklah diketahui dengan tepat. Terdapat beberapa teori yang cuba menjelaskan berlakunya keadaan seperti ini. Diantaranya ialah ada kemungkinan darah kotor melimpah atau tumpah ke belakang rahim melalui saluran fallopian. Mungkin ini disebabkan oleh rahim yang kedudukannya luar biasa iaitu jatuh ke belakang ke arah tulang tongking (retroverted uterus). Keadaan rahim begini sering dikaitkan dengan penyakit endometriosis sedangkan rahim yang menghadap ke hadapan (anteverted) jarang penyakit endometriosis.

Ada juga yang menyatakan bahawa tisu endometrium ini dibawa ke tempat lain melalui saluran darah atau saluran kelenjar. Tetapi hakikat sebenarnya kita tidak tahu bagaimana ianya berlaku. Ada juga yang mengaitkan bahawa endometriosis ini sering berlaku dikalangan wanita wanita yang sering tertekan jiwa mereka (stress), yang mudah menggelabah dan dikalangan mereka yang sangat mementingkan kerjaya dan mereka yang tinggi IQnya.

Ada juga yang mengatakan bahawa system ketahanan pada wanita tersebut telah lemah dan lentur, oleh itu tisu tisu yang patut keluar dari tubuhnya kini menyerang balik tubuh badannya sendiri. Apa yang terjadi ialah apabila tisu endometrium ini melekat pada tempat tempat tertentu, ia mulai tumbuh. Lapisan endometrium menjadi tebal akibat daripada rangsangan hormon wanita dalam pusingan haid dan apabila haid berlaku lapisan endometrium tersebut juga akan mengeluarkan darah.

Jika keadaan begini berlaku dalam telur (ovari) lama kelamaan darah akan berkumpul serta menyebabkan apa yang digelar ‘ovarian cysts’ atau “chocolate cysts” kerana mengandongi darah kotor yang berbentuk seperti pasta coklat. .

Apakah tanda tanda atau gangguan?

Tanda yang paling utama sekali dikalangan wanita ialah senggugut ataupun kesakitan pada bawah perut dan pinggang. Senggugut ini mungkin dialami dari sejak remaja lagi dan ia berterusan dan mungkin tidak reda walaupun selepas kahwin. Ada setengahnya lega sekejap lepas berkahwin dan melahirkan anak tetapi senggugut ini akan timbul balik akibat daripada penyakit endometriosis. Kesakitan yang dialami biasanya berlaku sebelum datangnya haid yang biasanya berbentuk kesakitan yang amat kuat pada bahagian ari ari dan sering juga ke bahagian pinggang.

Biasanya sakit akan hanya reda selepas dua atau tiga hari sahajai, tetapi jika keadaan dimana endometriosis ini telah merebak, kesakitan ini mungkin akan berterusan waktu haid dan walaupun haid sudah berhenti kadangkala kesakitan masih ada lagi. Ini menunjukkan bahawa penyakit ini berada diperingkat teruk dan mungkin telah melibatkan dinding/otot rahim.

Kesakitan juga dialami ketika melakukan persetubuhan khususnya jika suaminya menekan agak kuat sedikit dan kesakitan juga mungkin dialami waktu membuang air besar khususnya pada waktu haid. Ini disebabkan oleh perdarahan yang berlaku dibelakang rahim yang mungkin melibatkan usus besar.

Gangguan lain ialah ketidaksuburan dan kemandulan. Ini adalah masalah besar dikalangan pengidap pengidap penyakit endometriosis. Mereka tidak sedar yang penyakit ini mungkin telah timbul, yang mereka tahu ialah mereka sukar untuk mengandong, samada buat kali pertama ataupun selepas melahirkan seorang anak ia tidak dapat hamil lagi beberapa tahun kemudian.

Bagaimana pengidap endometriosis ini boleh jadi mandul?

Sebenarnya ada beberapa penjelasan. Diantaranya penyakit ini boleh merosakkan kilang telor menyebabkan ia tidak boleh keluar benih. Kedua mungkin kerosakan saluran fallopian menyebabkan benih lelaki tidak boleh masuk untuk bertemu dengan telor. Ketiga mungkin endometriosis ini juga mengeluarkan beberapa jenis racun yang mungkin mematikan benih dan telor atau embryo. Seterusnya endometriosis mungkin menimbulkan gangguan gangguan hormon yang biasany mengawal kesuburan wanita. Tetapi dikalangan pengidap endometriosis ada juga yang boleh hamil walaupun tanpa diberi rawatan.

Keguguran

Endometriosis juga boleh menyebabkan kehamilan gugur diperingkat awal. Bagaimana ia menyebabkannya kita tidak tahu, tetapi ada kemungkinan endometriosis menyebabkan gangguan dalam hormon wanita ataupun ia menimbulkan keadaan keracunan yang boleh membunuh atau menganggu pertumbuhan janin. Kadangkala wanita yang mengidap penyakit endometriosis boleh gugur berulang-ulangkali.

Lain lain tanda atau gangguan akibat dari penyakit endometriosis termasuklah berbagai jenis kesakitan di bahagian perut, dibawah perut atau di bahagian pinggang serta juga berbagai masalah perdarahan samada waktu haid atau di luar waktu haid seperti haid yang banyak atau yang berpanjangan. Kadang kadang berlaku perdarahan di luar waktu haid.

Pengesahan penyakit endometrisis.

Daripada tanda tanda tersebut kita sering mengesyaki mengidap penyakit endometriosis dan ini dapat disahkan melalui beberapa pemeriksaan serta ujian. Apa yang biasa dilakukan yang mempunyai tanda tanda ialah pemeriksaan kemaluan dan dari situ doctor dapat mengesan kedudukan rahim mungkin jatuh ke belakang (retroverted) dan bila disentuh bahagian belakang rahim ia akan merasa kesakitan. Ujian ultrasound melalui faraj (vaginal sonography) adalah sangat penting kerana ia boleh mengesan tumbuhan cyst pada bahagian kilang telor.

Rawatan penyakit endometriosis

Oleh kerana kebanyakan daripada mereka yang bertemu doktor mengalami ketidaksuburan ataupun berulangkali gugur yang mungkin disertai oleh senggugut, mereka memerlukan rawatan yang sewajarnya. Yang penting sekali tujuan rawatan ialah untuk wanita tersebut hamil, kerana keadaan hamil boleh mengawal pertumbuhan atau menghapuskan sama sekali penyakit endometriosis ini.

Pembedahan untuk membuang endometriosis.

Jika terdapat ‘chocolate cyst’ ataupun keadaan rahim yang terbalik (retroverted) pembedahan akan dilakukan. Biasanya saya sendiri mencadangkan pembedahan secara laparoscopy disertai dengan pembedahan kecil pada bahagian bawah perut dengan irisan lebihkurang dua atau tiga inci untuk membuang tumbuhan cyst serta untuk membersihkan dan membuat cautery atau laser pada bahagian bahagian yang terkena tumbuhan endometriosis.

Pembedahan ini juga membolehkan doktor membetulkan rahim dengan menjahit rahim ke otot perut di bahagian hadapan (ventro-suspension of the uterus). Setelah ini dilakukan, bahagian peranakan serta bahagian sekitarannya akan dibasuh dengan cecair untuk menghilangkan segala kotoran dan keracunan yang dikeluarkan oleh endometriosis. Jika terdapat kesumbatan pada saluran fallopian ketika pembedahan, keadaan ini juga boleh diperbetulkan sekali.

Selain daripada secara pembedahan, rawatan dengan ubat ubat sering juga dilakukan. Dipasaran terdapat banyak ubat ubat hormon yang digunakan diantaranya hormon hormon Progesterone yang mana diantara jenamanya ialah Primulut, Norculut atau lainnya yang digunakan selama enam hingga sembilan bulan dengan tujuan untuk menghentikan haid. Juga terdapat ubat ubat seperti Danazol yang mana tujuannya adalah sama iaitu untuk menghentikan haid dan mengurangkan tumbuhan endometriosis ini.

Dalam beberapa tahun yang lepas ubat ubat terbaru yang diberikan secara suntikan sebulan sekali dan terdapat berbagai jenama seperti Zoladex dan lain lain untuk digunakan selama enam hingga sembilan. Suntikan-suntikan tersebut agak mahal sedikit dan ia memberi kesan sampingan seperti yang dialami oleh wanita yang sedang putus haid manakala kesan sampingan yang lain seperti apabila memakan pil Danazol ialah perubahan perubahan yang menimbulkan sifat kelelakian seperti tumbuh rambut dan suara menjadi kasar. Peningkatan timbang berat juga merupakan satu kesan sampingan. Saya sekarang ini kurang menggunakan ubat ubat untuk merawat pesakit-pesakit endometriosis khususnya mereka yang mempunyai masalah kemandulan atau keguguran yang berulangkali. Saya lebih suka melakukan pembedahan untuk membetulkan kedudukan rahim dan juga melakukan lain lain pembetulan dan pembersihan di dalam dan persekitaran rahim kerana hasil dari segi mendapatkan kehamilan berlaku dengan lebih kerap dan cepat lagi. Apabila wanita itu hamil, Insya Allah penyakit endometriosis ini terkawal dan jarang berulang lagi.

Bolehkah penyakit berulang?

Penyakit endometriosis adalah sejenis penyakit yang tidak diketahui apa puncanya dan ia sering berterusan tumbuh serta merosakkan peranakan dan usus. Kerosakan ini boleh menyebabkan seorang wanita terus mandul, atau mengalami kesakitan yang amat terok. Pada kebiasaanya jika wanita itu hamil dalam masa setahun lepas pembedahan, kemunkinan ia berulang agak kecil. Tetapi jika tidak hamil lepas dua tahun, kemunkinan berulang adalah besar.

Selain dari kehamilan, kita tidak mengetahui dengan tepat kaedah mencegah penyakit endometriosis dari berulang. Tetapi amalan mengawal makanan, iaitu dengan menjauhkan makanan yang menyebabkan alahan saperti beberapa jenis makanan laut, daging lembu atau kambing. Banyakkan sayuran dan protin dari ikan dan kacang soya. Latih diri untuk tenang fikiran dan gangguan emosi. Gunakan berbagai kaedah untuk menangkis stress.

Pembedahan buang rahim (hysterectomy)

Pembedahan untuk membuang rahim dan ovari juga satu rawatan yang akhir bagi mereka mengalami penyakit endometriosis yang teruk sekali dan semua organ seperti rahim dan kilang telor telah rosak. Ia mungkin tidak berfungsi lagi dari segi kesuburan dan daya upaya untuk hamil. Disamping itu ia menyebabkan masalah kesakitan yang amat sangat setiap bulan ataupun secara berterusan dan mengganggu kerja harian. Ia mungkin juga menimbulkan gangguan haid yang tidak terkawal yang mengganggu kehidupan seharian, hubungan suami isteri dan juga mengganggu wanita wanita kita untuk membuat amal ibadah.

Jika keadaan demikian berlaku, tidak ada pilihan lain melainkan melakukan pembedahan besar iaitu untuk membuang rahim serta kilang telor. Pilihan ini biasanya kita tangguhkan sehingga wanita itu sampai ke umor 40 lebih tetapi dalam keadaan yang luar biasa dimana penyakit itu sangat teruk, kita juga melakukan pembedahan ini diperingkat tiga puluhan tahun.

Rumusan

Penyakit endometriosis ini ialah satu penyakit yang aneh dimana banyak perkara yang tidak ketahui tetapi ia menimbulkan berbagai-bagai masalah pada wanita. Kita tidak tahu mengapa darah kotor berkumpul dibelakang rahim dan di kilang telor. Ada setengah pakar pakar perubatan Islam yang beranggapan bahawa darah ini adalah makanan jin dan mungkinkah ada kaitan orang halus ini mengganggu peranakan seseorang wanita dan mengganggu agar ia tidak boleh mempunyai zuriat. Oleh itu kaedah kaedah rawatan alternatif juga perlu dilakukan serentak dengan cara cara moden, kaedah perubatan Islam, kaedah ubat ubat tradisional selagi cara cara tradisional ini tidak menyebabkan syirik ia boleh diamalkan. Mungkin terdapat ubat ubat herbal yang belum dikenalpasti lagi yang mungkin masih ada di hutan kita yang berpotensi untuk merawat penyakit endometrosis dan memulihkan keadaan subur seperti biasa.

Anak anda cukup tidur?

sumber : Berita harian :Ratu 2011/09/06

Mengantuk boleh sebabkan bayi cepat meradang, kerap menangis

TIDAK kira bayi, kanak-kanak, remaja, orang dewasa dan warga tua memerlukan tidur yang cukup mengikut usia masing-masing bagi memastikan perjalanan hidup mereka lebih teratur dan selesa sepanjang hari.

Ada orang yang memang sukar untuk tidur atas pelbagai sebab. Namun, tanpa tidur yang cukup bukan saja prestasi di tempat kerja atau sekolah akan terjejas, malah kita juga akan merasa letih, berasa tertekan dan cepat marah. Tidak mustahil, mengapa sering kali kita lihat juga, bayi atau kanak-kanak yang kurang tidur menyebabkan mereka cepat meradang dan kerap menangis.

Justeru, berapa banyak tidur perlu dan dianggap mencukupi? Apakah risiko bakal dihadapi kepada bayi dan kanak-kanak yang kurang tidur. Kajian saintis Belanda, kanak-kanak kurang tidur lebih berisiko menjadi gemuk. Menerusi kajian ke atas 250 kanak-kanak, mereka yang tidak cukup tidur berisiko untuk menambah indeks jisim badan (BMI).

Kurang tidur akan meningkatkan selera makan, mengubah tindak balas badan terhadap insulin dan hormon yang dikaitkan dengan kebolehan badan untuk menyimpan lemak.

Apa yang nyata isu tidur ini berbeza kepada setiap orang dan ia mengikut usia. National Sleep Foundation, mengesyorkan jadual bilangan jam yang patut diamalkan oleh seseorang mengikut usia.

Bayi:

  •  (0-2 bulan) – 10 hingga 18 jam
  •  (2-12 bulan) – 14 hingga 15 jam

Kanak-kanak:

  •  (12-18 bulan) – 13 hingga 15 jam
  •  (18 bulan- 3 tahun) – 12 hingga 14 jam
  •  (3-5 tahun) – 11 hingga 13 jam
  •  (5-12 tahun) – 9 hingga 11 jam

Cadangan menggalakkan kanak-kanak tidur:

  • Jadikan tidur sebagai rutin.Seperti juga orang dewasa, rutin tidur perlu untuk kanak-kanak. Pastikan kanak-kanak tidak mengambil bahagian dalam aktiviti fizikal sebelum masuk tidur atau makan makanan bergula. Aktiviti menenangkan termasuk membaca, mandi, minum susu dan memberikan pelukan dan ciuman.
  • Pastikan jadual tidur yang konsisten.Untuk tidur yang baik, tetapkan waktu yang tepat dan konsisten supaya mudah bangun awal. Sebagai ibu bapa, rancang rutin mengikut jadual setiap hari, khususnya waktu malam.
  • Pastikan semua seisi keluarga patuhi rutin tidurIbu bapa juga sebagai model terbaik untuk anak. Mereka juga perlu hadkan aktiviti seperti menonton televisyen sehingga larut malam bagi mengelak turut ikut jejaknya.
  • Jangan gunakan tidur sebagai hukuman.Ibu bapa tidak sepatutnya menghukum anak jika gagal mengikut perintah, terus keluarkan arahan mahu anak masuk tidur.
  • Elakkan tidur dengan anakSesetengah ibu bapa mempunyai kecenderungan untuk berbaring di atas katil dengan anak untuk membantu mereka tidur. Amalan itu tidak bagus, anda mungkin tidak akan sentiasa ada di rumah atas hal tertentu atau tugas luar.
  • Ajarkan tidur sendiri.Adalah penting untuk kanak-kanak belajar tidur sendiri. Sebagai contoh, ibu bapa perlu meletakkan kanak-kanak untuk tidur apabila mereka dalam keadaan tenang dan bukan menunggu sehingga mereka tertidur. Anda boleh menyanyi atau membacakan buku di tempat tidur, kemudian beransur-ansur meninggalkan bilik sebelum mereka tertidur.
  • Berikan barang atau objek tertentu.Anak akan lebih rasa tenang dan selesa jika ada objek atau barang seperti patung permainan, bantal dan selimut sebagai teman dari segi psikologi. Dengan cara ini, ibu bapa tidak perlu berada sentiasa di sisi anak sebelum mereka masuk tidur.

 



Punca sakit belakang

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

norlaila@hmetro.com.my

AKTIF...berenang antara aktiviti yang menggunakan banyak pergerakan.

AKTIF…berenang antara aktiviti yang menggunakan banyak pergerakan.

pix_topright

BANYAKKAN berehat, supaya sakit pinggang segera berkurangan. Ini antara cara yang dinasihatkan doktor untuk mengatasi masalah sakit pinggang tetapi makin lama baring berehat, makin sakit pula jadinya. Ketika berbaring kesakitan terasa hilang perlahan-lahan tetapi kembali mengejut apabila cuba bangun atau menggerakkan badan.

Benarkah berehat dengan berbaring cara terbaik untuk menghilangkan kesakitan pinggang? Rupa-rupanya kaedah ini disarankan untuk satu atau dua hari saja kerana berbaring terlalu lama juga boleh menyebabkan sakit belakang bertambah teruk.

Jika kesakitan masih tidak berkurang, segeralah mencuba kaedah lain atau lebih baik berjumpa doktor supaya ia tidak berlanjutan dan menjejaskan kehidupan.

Boleh dikatakan semua orang pernah sakit belakang terutama di bahagian pinggang, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Dianggarkan 80 peratus orang pernah mengalami sakit belakang yang menyebabkan kerja dan aktiviti harian terganggu. Sakit belakang juga antara punca utama ketidakupayaan bekerja dan penyumbang besar kepada pengambilan cuti sakit.

Sakit belakang menduduki tangga kedua dalam masalah neurologikal (sistem saraf), kata Pakar Bedah Tulang Belakang, Dr Siow Yew Siong. Sakit belakang menandakan ada yang tidak kena dengan saraf kita. Saraf sihat sepatutnya bergerak bebas di dalam badan bagi memastikan bekalan darah, pertukaran cecair badan dan khasiat makanan berlaku dengan sempurna.

Antara faktor penyumbang kepada masalah sakit belakang ialah postur (kedudukan) badan yang tidak betul, melakukan aktiviti di luar kebiasaan dan mengamalkan gaya hidup tidak aktif. Malah, terlalu banyak rehat juga boleh menyebabkan kita mengalami sakit belakang kerana badan manusia dicipta untuk kita bergerak aktif; bukan berehat santai sepanjang masa.

Bahkan duduk terlalu lama juga boleh menyebabkan kita sakit belakang kerana ketika duduk, kita memberi tekanan paling tinggi kepada bahagian bawah tulang belakang. Tulang belakang adalah struktur yang boleh dilentur sehingga tahap tertentu. Inilah sebabnya kita boleh membongkok atau membengkokkan badan ke kiri dan kanan.

Ia terdiri daripada 33 tulang vertebra yang dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu vertebra servikal (tujuh tulang pertama bermula di bahagian bawah tengkorak), 12 tulang vertebra torasik, lima tulang vertebra lumbar (pada bahagian bawah belakang badan) serta lima tulang sakrum dan empat tulang koksiks yang bercantum.

Di antara setiap tulang ini ada satu cakera (diska) yang bertindak sebagai penyerap hentakan, menambah keanjalan tulang belakang untuk ‘dilentur’ ke kiri, kanan, depan dan belakang. Cakera ini juga berfungsi mengagihkan berat badan secara seimbang.

Antara punca sakit belakang yang biasa ialah masalah diska tergelincir pada tulang belakang akibat posisi badan tidak betul (apabila cakera terkeluar sedikit, ia akan menekan saraf yang menyebabkan rasa sakit); otot terlalu lemah atau tegang sehingga tidak dapat menyokong bentuk asal tulang belakang atau mengangkat benda berat dengan cara salah.

Sakit belakang dibahagikan kepada dua jenis iaitu sakit yang akut (selama beberapa hari hingga minggu) dan kronik jika kesakitan berlarutan melebihi tiga bulan. Kebanyakan sakit pinggang akut disebabkan masalah mekanikal semula jadi – terjadi akibat trauma pada bahagian pinggang atau penyakit seperti artritis.

Trauma ini pula katanya, boleh disebabkan kecederaan sukan, bekerja dalam rumah, berkebun atau sentakan mengejut seperti kemalangan.

Gejala dialami setiap pesakit berbeza; ada yang sekadar sakit otot atau sakit seperti ditikam yang menjalar dari satu bahagian ke bahagian lain; menyebabkan pergerakan terhad atau tidak boleh berdiri tegak.

Bagaimana sakit belakang terutama di bahagian pinggang boleh terjadi? Menurut Dr Siow, kekuatan tulang dan keanjalan otot merosot dengan peningkatan umur. Bahkan cakera yang terletak di antara setiap tulang pada tulang belakang juga mula kehilangan cecair dan keanjalannya; menyebabkan ia hilang kebolehan untuk menyerap hentakan.

“Kesakitan boleh berlaku dalam banyak keadaan contohnya mengangkat benda yang terlalu berat atau regangan berlebihan terjadi menyebabkan salah satu otot atau ligamen tergeliat atau kejang.

“Jika tulang belakang mengalami regangan atau mampatan keterlaluan, satu cakera boleh pecah atau tertolak keluar. Cakera ini akan memberi tekanan kepada lebih 50 saraf yang bercabang daripada saraf tunjang.

“Apabila akar saraf ini terhimpit atau mengalami keradangan, kita akan mengalami rasa sakit. Lokasi kesakitan itu bergantung kepada saraf mana yang terhimpit atau radang.

Selain itu, bagi masalah sakit pinggang, ia juga boleh disebabkan masalah cakera, artritis, osteoporosis atau lain-lain penyakit tulang,” katanya.

Antara faktor penyumbang sakit belakang ialah:

  • Obesiti
  • Merokok
  • Tekanan
  • Keadaan fizikal tidak elok
  • Postur badan yang salah
  • Posisi tidur tidak elok
  • Tiada sokongan daripada tilam ketika tidur
  • Sakit belakang, khususnya pada bahagian pinggang boleh menjadi petanda kepada masalah kesihatan yang lebih serius terutama bagi kesakitan yang disertai demam atau hilang kawalan untuk buang air kecil atau besar; sakit ketika batuk dan kaki terasa semakin lemah.

    Siapa yang boleh mendapat sakit belakang atau sakit pinggang? Semua orang tanpa mengira peringkat umur dan risiko mendapatnya meningkat dengan pertambahan umur.

    Bagaimanapun, masalah ini lebih kerap berlaku pada lingkungan umur 30 hingga 50 tahun; disebabkan proses penuaan dan gaya hidup yang tidak aktif.

    Antara masalah yang sering dikaitkan dengan sakit pinggang ialah kerosakan cakera, degenerasi (kemerosotan) tulang belakang (ia menyebabkan kesakitan belakang ketika bangun tidur atau selepas berjalan lama) dan stenosis spina (juga ada kaitan dengan kesakitan akibat masalah cakera).

    Diagnosis dan rawatan

    Masalah sakit belakang boleh dikesan melalui sejarah perubatan dan pemeriksaan fizikal, ujian darah dan ujian imbasan. Ujian imbasan ini seperti sinar-X, diskografi (ejen pembandingan akan disuntik ke dalam cakera) dan tomografi komputer (CT) adalah kaedah cepat untuk mengetahui jika pesakit mengalami masalah cakera, stenosis spina atau kerosakan pada mana-mana tulang belakang.

    Manakala ujian pengimejan resonans magnetik (MRI) digunakan bagi mengesan masalah kemerosotan, kecederaan atau penyakit pada tisu, saraf, otot, ligamen dan salur darah. Imbasan tulang pula adalah untuk mengesan dan memantau jika berlaku jangkitan, keretakan atau penyakit pada tulang belakang.

    “Kebanyakan masalah sakit belakang khususnya sakit pinggang boleh dirawat tanpa pembedahan. Antara kaedah rawatan ialah untuk mengawal kesakitan, mengurangkan keradangan, mengembalikan fungsi dan kekuatan bahagian belakang serta mencegah kecederaan daripada berulang.

    “Menekap bahagian yang sakit dengan ais atau pek panas boleh mengurangkan kesakitan dan keradangan; membantu sesetengah pesakit untuk bergerak. Sejurus selepas mengalami trauma, pesakit seharusnya menekap pek ais yang dibalut dengan tuala pada bahagian sakit selama 20 minit beberapa kali sehari.

    “Selepas dua atau tiga hari melakukan kaedah ini, tuam bahagian berkenaan dengan tuala atau pek panas untuk seketika bagi merehatkan otot dan merangsang aliran darah.

    Mandi air suam juga boleh membantu merehatkan otot.

    “Selain itu anda juga boleh berehat di katil (baring) tetapi hanya untuk satu atau dua hari saja. Berehat (baring) boleh membuatkan sakit belakang bertambah teruk dan menyebabkan seseorang pesakit mengalami tekanan, kemurungan, melemahkan otot dan kemungkinan berlakunya darah beku pada kaki. Pesakit seharusnya kembali melakukan aktiviti harian secepat mungkin,” katanya.

    Menurutnya, bersenam adalah cara yang paling berkesan untuk mempercepatkan penyembuhan kepada masalah sakit belakang (khususnya sakit pinggang) dan menguatkan otot belakang dan abdomen. Antara senaman yang mudah dilakukan ialah senaman regangan, berenang, berjalan atau menjalani terapi pergerakan bagi memperbaiki koordinasi dan keseimbangan untuk postur dan otot.

    Doktor juga akan memberikan ubat untuk merawat sakit belakang akut dan kronik. Selain itu terapi intervensi (termasuklah suntikan ubat bius steroid pada tisu, sendi atau akar saraf) dan suntikan epidural.

    Pembedahan adalah pilihan terakhir, selepas semua kaedah lain tidak berjaya mengurangkan kesakitan. Dapatkan pandangan kedua jika anda disyorkan menjalani pembedahan kerana kini ada banyak kaedah baru yang lebih mudah dan berkesan.

    Pencegahan

    Bolehkah sakit belakang dielakkan? Ya. Sakit belakang yang disebabkan postur badan kurang baik atau lain-lain sebab bukan trauma (kemalangan) biasanya boleh dielakkan dengan kaedah di bawah:

  • Kerap bersenam untuk meningkatkan keupayaan dan keanjalan otot. Antara senaman yang baik ialah senaman regangan, yoga, tai chi, berenang atau pilates. Lakukan senaman aerobik seperti berjalan, berjoging, berbasikal, bermain badminton atau menari sekurang-kurangnya tiga kali seminggu selama 20 minit setiap sesi.Tingkatkan kekuatan anda dengan senaman yang membabitkan seluruh badan, terutama otot perut, belakang, paha dan pinggul. Senaman menguatkan otot kaki dan bahu membantu mengurangkan risiko kecederaan ketika mengangkat benda berat.Buat pergerakan memanaskan badan sebelum bersenam atau bersukan. Ia penting untuk meningkatkan suhu dan pergerakan otot bagi mengelak risiko kecederaan.
  • Pelajari posisi atau postur badan yang betul ketika melakukan kerja, terutama ketika mengangkat barang. Berhati-hati ketika anda berasakan ketegangan otot supaya ia tidak tercedera.Elakkan duduk terlalu lama dan buat senaman regangan atau berjalan seketika setiap 30 minit. Apabila duduk, pastikan paha dan lutut pada posisi selesa, selain menggunakan kerusi yang memberi sokongan pada belakang badan.
  • Amalkan prinsip ergonomik – sama ada di rumah atau tempat kerja boleh mengurangkan risiko kecederaan. Ini termasuklah menggunakan kerusi yang mempunyai penyandar mengikut bentuk semula jadi tulang belakang.“Tulang belakang kita mempunyai lengkuk seperti bentuk S terbalik dan sebarang aktiviti yang mengubah lengkuk semula jadi ini, jika dilakukan untuk jangka masa lama, boleh menyebabkan ketidakselesaan. Sekiranya berterusan, ia boleh menyebabkan sakit belakang,” kata Dr Siow.
  • Amalkan pemakanan seimbang untuk mengelakkan masalah berlebihan berat badan, terutama di bahagian pinggang. Ini kerana kegemukan di pinggang akan memberi lebih kesan kepada otot di bahagian berkenaan.
  • Berhenti merokok. Asap rokok akan mengurangkan aliran darah ke bahagian bawah tulang belakang dan menyebabkan cakera lebih mudah mengalami kemerosotan.
  • Tidur di atas tilam yang boleh memberi sokongan kepada badan, tidak terlalu keras atau lembik sehingga anda ‘tenggelam’ apabila baring di atasnya. Tidur dalam posisi yang membolehkan anda mengekalkan lengkungan tulang belakang yang normal.Tilam yang tidak memberi sokongan kepada badan akan mendorong kita untuk tidur dalam posisi kurang baik, membuatkan otot meregang dan tidak membantu penjajaran tulang belakang – semuanya menyumbang kepada masalah sakit belakang.“Tilam yang baik sepatutnya memberikan sokongan kepada lengkuk semula jadi tulang belakang. Kajian menunjukkan tilam yang separa empuk boleh membantu mengurangkan kesakitan belakang. Jika tilam terlalu keras akan memberi lebih tekanan pada belakang dan ini boleh memburukkan keadaan,” katanya.
  • Eh apa kat bawah nih. Cuba klick tengok



    Khasiat rebusan asam gelugur

    ADA wanita mengamalkan minum air asam gelugur semasa berpantang dipercayai untuk mempercepatkan proses mengecutkan rahim. Selain itu amalan tersebut juga dikatakan mampu menurunkan berat badan.

    Ternyata asam gelugur atau nama botaninya garcinia cambogia menawarkan banyak khasiat baik dari sudut perubatan mahu pun sebagai penyedap makanan.

    Berwarna kekuningan dan berbentuk seakan buah labu, tumbuhan yang berasal dari India itu turut dikenali dengan nama asam keping setelah buahnya dikeringkan.

    Selain itu asam gelugur dipanggil juga malabar tamarind dan brindle berry kini digunakan secara meluas untuk produk mengurangkan berat badan di Eropah.

    Asid utama asid hydroxycitric atau HCA. di dalam asam gelugur pernah menjadi kajian saintis pemakanan. Terbukti ia sangat berkesan membantu mengekang nafsu makan dan menggalakkan penguraian lemak dalam tubuh manusia dan haiwan. Rangsangan kehilangan berat badan menerusi dua cara asas.

    l HCA bertindak menghalang penukaran makanan bergula dan berkanji kepada lemak. Ini bermakna HCA dikatakan dipercayai mampu membantu menyekat penghasilan lemak.

    l Penemuan terbaru mendapati melalui cara peningkatan tahap kimia tertentu dalam otak seperti serotonin, pengatur kepada pengawalan selera, HCA juga dikatakan mungkin mampu menyekat selera makan.

    Penggunaan asam gelugur juga mendapat tempat dalam perubatan India kuno (Ayurveda) bagi mengatasi masalah penghadaman, rawatan cacing, parasit, tumor dan cirit-birit berdarah.

    Buah asam gelugur yang sudah masak berwarna kuning selalunya dihiris, dikering dan digunakan dalam masakan. Ia juga direbus dalam gula dan dimakan sebagai jeruk.

    Air rebusan kulit buah asam gelugur juga dikatakan mampu digunakan untuk merawat reumatisme dan masalah dalam perut. Selain itu buah tersebut dikatakan berupaya mengurangkan tekanan darah tinggi. Perubatan Melayu zaman dahulu menggunakan rebusan air daun dan akar asam gelugur untuk menyembuhkan sakit telinga melalui titisan ke dalam telinga.

    Buah asam gelugur juga dikatakan mampu melegakan kesakitan gusi. Caranya adalah dengan mengambil sekeping asam gelugur dan kemudian basuh hingga bersih sehingga menjadi sedikit lembut. Tampal atau selitkan di celah-celah antara gusi dan bahagian pipi selama 10 hingga 15 minit. Kemudian kumur dengan air suam.

    sumber: Utusan Malaysia – Kesihatan




    Hidup lebih tenang

    Mulakan hari dengan berfikiran positif yang boleh memberikan ketenangan dan keseronokan pada diri sendiri. – Gambar hiasan

    DALAM menghadapi kehidupan seharian, kadangkala kita pasti berasa bosan dengan rutin harian yang sememangnya penat dan sibuk, tambahan pula selepas beberapa hari bercuti panjang atau cuti hari minggu.

    Ini semua kerana pada hari minggu kita mungkin dapat bersantai di rumah sambil membaca buku di beranda rumah dalam keadaan tenang dan mendamaikan.

    Bagaimanapun di bawah terdapat beberapa tip yang boleh membantu anda dalam menguruskan kehidupan seharian dalam keadaan tenang dan mendamaikan.

    • Mulakan kehidupan anda dengan ceria selepas bangun dari tidur, dapatkan rehat dan tidur yang secukupnya.
    • Baring sebentar sebelum anda bangun dari katil dan peruntukkan sedikit masa untuk melakukan senaman ringan serta menarik nafas panjang.
    • Bangun bersarapan bersama keluarga dan makan sarapan di meja. Duduklah dengan suami dan anak-anak sebelum anda berdua berangkat ke pejabat untuk memulakan tugas masing-masing.
    • Mulakan hari anda dengan berfikiran positif, cuba fikirkan sesuatu yang boleh memberikan ketenangan dan keseronokan pada diri sendiri. Ini semua membantu memotivasikan kehidupan anda supaya lebih sihat dan bertenaga.
    • Sebelum memulakan tugasan di pejabat, pastikan segala masalah diri diselesaikan.
    • Dalam menyiapkan sesuatu kerja fokuskan sepenuh hati, jangan amalkan membuatkan dua kerja dalam sesuatu masa. Keadaan itu membantu anda menjadikan seseorang yang berdisiplin dalam kerja.
    • Berhenti seketika sebelum makan, tidak perlu makan dengan tergopoh-gopoh sebaliknya makan dengan tenang dan penuh tertib .
    • Tarik nafas ketika di meja makan, hidu makanan sebelum menjamahnya, makanlah dengan cermat.
    • Untuk makan tengahari, keluar pejabat tepat masanya, ambil masa 15 minit untuk senaman (berjalan) ketika menuju ke kedai makan.
    • Dapatkan berita-berita terkini untuk mengetahui perkembangan semasa, cari maklumat terkini yang boleh memberikan maklumat mengenai sesuatu perkara.
    • Jadilah pendengar setia kepada rakan ataupun pasangan, fokus semasa si dia bercerita atau meluahkan sesuatu kepada kita.
    • Cari ayat-ayat motivasi yang boleh memberikan semangat kepada diri sendiri.
    • Apabila teringatkan seseorang, hantar poskad sebagai tanda ingatan anda kepada rakan, beritahu mereka anda rindu kepadanya, keadaan ini mampu mengeratkan lagi hubungan.
    • Sekiranya sibuk di pejabat cuba luangkan masa sedikit untuk diri sendiri, ambil nafas dan cuba relaks sebelum teruskan kerja.
    • Apabila berjumpa rakan-rakan bersalam dengan mereka, tunjukkan kepada mereka anda menghargai dengan pertalian sahabat yang terbina.
    • nJika anda berfikir sesuatu yang baik tentang sahabat itu, cuba luahkan padanya, kadangkala tidak pernah berkata kepada seseorang betapa kita mengagumi rambut mereka atau bahawa kita mengasihi tulisan tangan mereka. Dan mengapa tidak berbuat sedemikian ?
    • Apa salahnya jika sekali sekala malan malam dengan suasana yang romantik. Keadaan ini semestinya memberikan penghargaan pada diri sendiri dan juga pasangan.
    • Cuba mencapai impian, mulakan sesuatu dengan penuh semangat dan anda pasti merasai ketenangan yang abadi.

    sumber : Utusan Malaysia – Keluarga

    Diet tapi masih gemuk

    SERINGKALI mereka yang mengidap obesiti terpaksa berpura pura gembira dengan keadaan diri mereka. Adakalanya golongan itu cuba menunjukkan obesiti adalah jalan hidup pilihan mereka. Cepat-cepat mereka memberi alasan mengapa jadi begitu sambil di hati berazam untuk menjaga diet dan cuba kembali kurus. Namun azam dan diet sahaja tidak mencukupi sekiranya tidak diikuti dengan usaha gigih dan kaedah yang betul untuk merealisasikan impian.

    Continue reading “Diet tapi masih gemuk”

    Penting tabiat makan sihat

    Oleh Profesor Madya Dr. Zaitun Yassin & Mahenderan Appukutty
    Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM)

    Sebagai ibu bapa sudah tentu anda menaruh harapan yang tinggi dan mendoakan anak-anak a cemerlang dalam pelajaran dan menyertai aktiviti kokurikulum agar menjadi pelajar yang cergas dan serba boleh. Anak anda sedang memasuki alam pembelajaran yang serba baru dan membina kemahiran hidup lain yang diperlukan. Anda tahu sekiranya dia cemerlang dalam pelajaran, dia akan berjaya dalam kehidupan.

    Continue reading “Penting tabiat makan sihat”

    Kurang iodin jejaskan kesihatan anak

    SEMUA ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka, namun pada masa yang sama, ramai yang tidak mengetahui jenis nutrisi yang memberikan kesihatan optimum.

    Banyak kajian telah menunjukkan bahawa kekurangan nutrien asas sebelum dan semasa hamil boleh menjejaskan perkembangan otak pada zaman bayi dan kanak-kanak. Pemakanan yang betul sebelum dan semasa hamil adalah langkah pertama dalam membantu perkembangan otak anak itu.

    Continue reading “Kurang iodin jejaskan kesihatan anak”

    Atkins Diets

    Atkins Diet ialah sejenis corak pemakanan yang diperkenalkan oleh Dr. Robert C. Atkins bagi membantu seseorang individu untuk mengurangkan berat badan melalui konsep pembakaran karbohidrat (carbohydrate) dan lemak di dalam badan.
    Dengan mengurangkan dan menghadkan makanan berkarbohidrat seperti nasi, mi, kentang dan gula, badan akan mula membakar lemak sebagai bahanapi. Ini bereti berat badan anda akan mula menyusut.

    Continue reading “Atkins Diets”

    Usah jadikan gemuk, badan berbau alasan bercerai

    Oleh ROSMAH DAIN

    Wajarkah masalah kegemukan dan badan berbau menjadi pencetus kepada perceraian? – Gambar hiasan


    BENARKAH tubuh badan yang gemuk, berbau busuk serta tidak pandai menjaga keterampilan diri khususnya ketika hendak melakukan hubungan seks dikatakan antara faktor penyebab berlakunya perceraian di negara ini?

    Biarpun isu ini bukan satu perkara yang mengejutkan, pendedahan yang dilakukan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah, baru-baru ini, berdasarkan satu kajian secara rambang yang dilakukan oleh Biro Pengaduan Awam (BPA) perlu diberi perhatian.

    Murugiah berkata, faktor tersebut merupakan perkara utama mengapa pasangan suami isteri bercerai selain daripada masalah kewangan dan sikap pasangan masing-masing.

    Katanya, masalah itu bukan sahaja tertumpu kepada wanita, tetapi juga kepada lelaki yang dilihat tidak menjaga diri seperti berperut buncit, tidak memberus gigi, mulut berbau busuk serta pelbagai lagi kekurangan fizikal yang menyebabkan isteri tidak tahan atau tidak dapat menerimanya.

    Continue reading “Usah jadikan gemuk, badan berbau alasan bercerai”

    Duduk Lama Di hadapan Komputer Boleh Bawa Maut

    Sejak akhir-akhir terdengar beberapa webmaster diserang dengan pelbagai jenis penyakit sehingga ada diantaranya begitu kritikal sehingga terpaksa dimasukkan ke wad hospital untuk pemantauan kesihatannya. Malah ada diantaranya telah sampai ke tahap kritikal sehingga diserang penyakit angina ahmar.

    Ramai yang masih tidak sedar bahawa duduk terlalu lama di depan komputer atau bekerja selama berjam-jam secara pasif di atas kerusi akan membuat otot-otot tubuh kita terasa kaku, keras dan mata menjadi pedih. Malah selain keluhan ringan tersebut tersembunyi juga ancaman lain yang berisiko bagi kesihatan.

    New Zealand Medical Journal dalam edisi terbaru, melaporkan kajian dari Institut Penyelidikan Perubatan New Zealand menunjukkan bahawa pekerja pejabat yang menghabiskan masa terlalu lama duduk di meja masing-masing berisiko tinggi menghadapi masalah darah beku. Penyelidik mendapati, satu pertiga daripada pesakit yang dimasukkan ke hospital kerana mengidap -trombosis pembuluh darah vena (DVT) atau darah beku, adalah mereka yang menghabiskan masa berjam-jam mengadap komputer.

    Penyakit Deep Vein Thrombosis (DVT) ini adalah disebabkan darah beku yang menyebabkan salur pembuluh darah terutamanya di bahagian peha dan betis tersumbat. Keadaan ini berlaku kerana aliran darah yang tidak baik hasil dari aktiviti yang pasif dan rehat yang berlebihan.

    Hal ini akan diperburukkan apabila bilik yang diduduki berhawa dingin dimana udara yang sejuk itu mempercepatkan kadar pembekuan darah terutama di bahagian kaki.

    Ketua penyelidik, Profesor Richard Beasley berkata sebahagian pekerja pejabat yang mengidap masalah itu duduk di depan skrin komputer selama lebih 10 jam sehari. Masalah ini biasanya dihadapi oleh pekerja dalam industri teknologi maklumat dan pusat panggilan.

    Sekitar 34 peratus dari 62 sampel yang mengalami gumpalan darah adalah mereka yang dalam jangka waktu lama bekerja dengan duduk di kerusi, sementara 21 peratus penderita lainnya adalah terdiri dari mereka yang melakukan perjalanan jarak jauh menaiki kapal terbang, seperti disiarkan oleh AFP.

    DVT itu sendiri merupakan menurut pakar kesihatan adalah pembentukan gumpalan darah nadi bahagian dalam, paling sering dijumpai di kaki. Gumpalan tersebut boleh pindah ke jantung, paru-paru atau otak dan bisa menyebabkan rasa sakit di dada, sesak nafas atau bahkan kematian akibat serangan jantung atau angin ahmar.

    Pakar Perunding Paru-Paru, Institut Perubatan Respiratori, Dr Ashari Yunus berkata darah beku ini datang dari kaki, tetapi juga boleh berpunca daripada pembuluh darah di lengan, bahagian kanan jantung malah hujung kateter yang ditempatkan dalam pembuluh darah. Dalam kes yang sangat jarang berlaku, lemak atau tisu dari tumor atau kelompok bakteria mungkin boleh berkumpul di arteri paru-paru.
    Mengapa pulmonari embolisme terjadi?

    Manusia memiliki sepasang paru-paru. Darah secara konsisten dipam dari kanan jantung ke paru-paru dan kembali ke sebelah kiri jantung. Dalam paru-paru, darah mengambil oksigen dan mengeluarkan karbon dioksida, sisa metabolisme.

    Arteri membawa darah yang kaya oksigen ke seluruh tubuh. Pembuluh darah pula membawa darah kurang oksigen kembali ke jantung. Darah beku yang terjadi dalam pembuluh darah boleh mengalir ke salur darah di kanan jantung sebelum masuk ke arteri paru-paru, di situ sekatan mungkin boleh berlaku.

    Sekatan itu boleh terjadi pada arteri yang kecil tetapi paru-paru sangat ‘rapuh’ kerana semua darah dalam tubuh melalui paru-paru setiap kali diedarkan. Kerap kali, darah beku berisiko untuk terbentuk dan tersebar ke seluruh bahagian paru-paru.

    Simptom:
    1.         Cepat penat.
    2.         Mengah.
    3.         Sakit dada.
    4.         Denyutan nadi laju.
    5.         Lemah di bahagian kaki.
    6.         Kurang selera makan.
    7.         Batuk.
    8.         Nafas pendek sama ada dalam keadaan rehat atau aktif.


    Cegahan:

    1.         Stokin untuk mengelakkan berlakunya darah beku dalam saluran darah (deep vein thrombosis). Ia berfungsi untuk mencengkam kulit dan mengempiskan vena supaya darah tidak bertakung.
    2.         Perbanyakkan gerakan terutama di bahagian kaki.
    3.         Elakkan meminum airbatu.
    4.         Elakkan membuka hawa dingin terlalu sejuk.
    5.         Sentiasa meminum air panas.
    6.         Amalkan bersenam.


    Rawatan:

    Biasanya pesakit dirawat dengan ubat yang menghentikan dan memperlahankan darah beku seperti heparin dan warfarin. Kedua-duanya membantu mencegah darah beku sedia ada daripada menjadi besar dan menghentikan pembentukan darah beku yang baru.

    Jika pulmonari embolisme yang dialami mengancam nyawa, biasanya doktor akan menyarankan terapi thrombolitik (mengeluarkan darah beku dari sistem tubuh dengan enzim yang bertindak memecahkannya).

    Rawatan sakit belakang tanpa pembedahan

    Rawatan sakit belakang tanpa pembedahan

    Oleh Hazlinda Hamzah
    – BERNAMA

    SAKIT belakang tidak semestinya memerlukan pembedahan sebagai kaedah penyelesaiannya. – gambar hiasan.


    Saya tidak mahu dibedah untuk pulihkan masalah sakit belakang saya. Saya takut jika pembedahan itu tidak berjaya dan saya lumpuh. Saya tidak yakin sanggup menanggung akibatnya,” kata Siti Ismail, seorang wanita bertubuh kecil yang aktif bersukan mewakili tempat kerjanya, seperti badminton dan ping pong.

    Sakit belakang yang dialaminya sejak beliau mengangkat sebuah pasu bunga berat, kini merupakan kebimbangan utamanya.

    Selepas bertemu dengan beberapa pakar ortopedik, pakar neurologi serta pengamal perubatan alternatif, Siti yakin bahawa sakit belakang beliau boleh dirawat tanpa pembedahan. Dan beliau yakin keputusan beliau betul!

    Dr. Siow Yew Siong, seorang Pakar Bedah Ortopedik berpengalaman, mengesahkan bahawa pembedahan bukan satu-satunya kaedah pemulihan sakit belakang dan ia bukan dalam senarai keutamaan rawatan bagi mereka dengan masalah spina degeneratif.

    SAKIT BELAKANG

    “Kebanyakan mereka yang mengalami sakit belakang menyeksakan khususnya di bahagian bawah badan ialah yang berusia lebih 45 tahun. Ini disebabkan oleh tulang spina yang menebal dan juga ligamen. Sebenarnya, kaki yang berasa kebas merupakan sebahagian daripada simptom sakit belakang, khasnya di bahagian bawah,” jelas Dr. Siow.

    Apabila ditanya berapa lama tempoh yang diambil oleh mereka yang mengalami sakit belakang untuk mengatasi kesengsaraan ini, tidak kira semasa berdiri atau duduk, Dr. Siow berkata: “Pertama, kami perlu bertanyakan kepada pesakit sejarah terperinci sakit belakang yang mereka alami. Kemudian, menguji kekuatan otot untuk memastikan refleks mereka. Satu ujian darah dilakukan untuk mengenal pasti punca sakit yang teruk ini.

    “Langkah berikut ialah ujian MRI ataupun Magnetic Resonance Imaging, yang akan mengenal pasti sama ada sakit itu disebabkan oleh masalah tulang degeneratif atau kecederaan,” katanya ketika ditemui pada forum kesihatan umum bagi Sakit Belakang dan Kaki Kebas, baru-baru ini.

    Satu ujian saraf kemudian dijalankan untuk mengenal pasti saraf yang terbabit dalam sakit yang menyeksakan ini. Imbasan tulang hanya dilakukan untuk mendiagnosis bahagian tulang yang terbabit dan juga untuk memantau apa-apa jangkitan selepas kecederaan berlaku.

    “Saya cadangkan pencegahan sebagai cara terbaik dalam mengelak sakit belakang yang menyeksakan ini. Lakukan senamanan Neural Flossing. Ia hanya mengambil masa 30 minit; 10 minit apabila anda bangun pagi, sebelum turun dari katil untuk ke tandas dan 20 minit sebelum anda masuk tidur.

    “Pesakit saya sentiasa memberi alasan yang mereka kesuntukan masa. Pastikan tilam anda mampat, supaya ia dapat menampung badan anda dengan baik,” tegas Dr. Siow apabila ditanya akan kaedah rawatan terbaik bagi sakit belakang.

    RAWATAN BAGI SAKIT BELAKANG

    Menurut beliau, setiap orang harus meneliti dengan serius postur berdiri dan duduk masing-masing.

    Nasihat beliau, pastinya wajar diberikan pertimbangan khusus bagi mereka yang menaip berjam-jam di hadapan komputer di ruang kerja mereka.

    “Duduk lama di satu tempat tidak baik untuk tulang belakang anda. Saya menggalakkan pesakit saya untuk mengingatkan rakan-rakan mereka supaya berdiri untuk beberapa minit selepas duduk selama sejam.”

    “Berjalan pastinya disyorkan, walaupun mungkin ada majikan yang tidak senang dengan kakitangan ‘hiperaktif’ yang berjalan semasa waktu kerja,” tambah Dr. Siow berseloroh.

    Harus diingati yang tiada siapa yang terkecuali daripada sakit ini, tidak kira muda atau tua.

    Sebenarnya, sakit belakang yang dialami oleh pesakit muda tidak kurang serius berbanding golongan berusia yang mengalaminya. “Bagi kanak-kanak, ia sebahagian daripada proses pembesaran mereka,” jelas Dr. Siow kepada seorang ibu yang meminta penjelasan semasa forum itu.

    Seorang lagi yang hanya mahu dikenali sebagai Nordin, bertanya mengenai teknik serta keberkesanan rawatan frekuensi radio oleh kerana ramai yang takut untuk menjalani pembedahan.

    Pakar ini menjelaskan bahawa di bawah prosedur gelombang radio, saraf di tempat berkenaan dibakar dan rawatan ini boleh menghentikan rasa sakit bagi tempoh 9 hingga 12 bulan.

    Bagaimanapun, untuk memastikan tempoh bebas sakit yang lebih lama latihan Neural Flossing mesti dijalankan secara berterusan.

    POSTUR BAIK

    Aneh sekali, selepas itu pesakit biasanya lupa masalah mereka itu dan mereka akan leka semula apabila tiada sakit ini selama 12 bulan. Mereka juga mengabaikan senaman dan akhirnya sakit belakang ini menghantui mereka semula.

    Saraf menghantar perutusan sakit ke otak. Oleh itu apabila saraf dirawat mengikut prosedur ini, ia menghentikan perutusan sakit. Bagaimanapun, saraf ini boleh hidup semula dan tumbuh.

    Terdapat kes di mana saraf-saraf ini walaupun kembali berkomunikasi dengan otak, tiada lagi rasa sakit. Ini kerana pesakit terus menjalani fisioterapi dan latihan secara berjadual.

    Hari ini, terdapat pelbagai penawar untuk merawat sakit belakang, yang boleh menjejaskan kehidupan.

    Epidural Lysis dan Radiofrequency Ablation kini terdapat di Malaysia, satu terapi intervensi untuk meredakan sakit akut dan kronik.

    “Saya hanya akan mengesyorkan pembedahan jika ia benar-benar perlu khususnya apabila ia menjejaskan gaya hidup pesakit. Walaupun demikian, kita perlu menilai sakit ini terlebih dahulu kerana pembedahan tidak bermakna rasa sakit ini akan hilang. Saya menasihatkan kepada sesiapa sahaja supaya menjaga dengan baik postur mereka, gunakan pendakap secara berterusan untuk mengelakkan bongkok. Rawat sebarang kesakitan dengan merujuk kepada doktor yang pakar dalam bidang ini,” Dr Siow mengingatkan semua.

    Menjaga postur anda semasa menggosok pakaian juga penting kerana pergerakan mendadak tulang belakang boleh menimbulkan masalah.