Kurang iodin jejaskan kesihatan anak

SEMUA ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka, namun pada masa yang sama, ramai yang tidak mengetahui jenis nutrisi yang memberikan kesihatan optimum.

Banyak kajian telah menunjukkan bahawa kekurangan nutrien asas sebelum dan semasa hamil boleh menjejaskan perkembangan otak pada zaman bayi dan kanak-kanak. Pemakanan yang betul sebelum dan semasa hamil adalah langkah pertama dalam membantu perkembangan otak anak itu.

DOKTOR AKAN MENERANGKAN RISIKO YANG DIHADAPI ANAK SEKIRANYA KEKURANGAN IODIN. – GAMBAR HIASAN

Iodin adalah penting terutamanya untuk perkembangan normal otak dan sistem saraf bayi, terutamanya semasa hamil dan dalam 2 hingga 3 tahun pertama kehidupan bayi.

Kekurangan iodin semasa hamil dan semasa pertumbuhan kanak-kanak boleh menyebabkan kelambatan perkembangan yang mengakibatkan penurunan dalam prestasi mental. Kerosakan ini jika berlaku sebelum 2 hingga 3 tahun adalah tak berbalik.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kekurangan iodin merupakan insiden yang paling tersebar luas di dunia bagi kerosakan otak tetapi mudah dicegah.

Mengapa kita memerlukan iodin

Iodin adalah penting bagi hormon-hormon tiroid kita. Hormon ini menyokong pertumbuhan dan perkembangan normal kanak-kanak dan membantu mengekalkan kadar metabolisme badan. Paras rendah tiroksin (yang boleh berlaku akibat kekurangan iodin) pada kanak-kanak boleh merencatkan pertumbuhan mental dan fizikal mereka.

Banyak kajian telah menunjukkan bahawa kekurangan iodin merupakan salah satu sebab utama kekurangan kemahiran motor, kelemahan otot, kekurangan koordinasi dan kemahiran manual yang terganggu.

Oleh kerana iodin diperlukan untuk perkembangan otak, adalah penting untuk memastikan bahawa fetus (bayi yang belum lahir), bayi dan kanak-kanak mendapat cukup iodin.

Banyak manakah iodin yang disyorkan?

Jumlah iodin yang diperlukan oleh seseorang sepanjang hayatnya adalah kurang daripada satu sudu teh. Oleh kerana iodin tidak disimpan dalam badan, ia perlu diambil setiap hari.

Keperluan iodin adalah lebih tinggi bagi wanita hamil dan yang menyusukan bayi, dan kurang sedikit bagi kanak-kanak, bayi dan kanak-kanak bertatih. Wanita hamil dan yang menyusukan bayi memerlukan lebih banyak iodin berbanding penduduk umum.

Bagaimanapun, penyelidikan menyarankan yang sebahagian besar wanita tidak mendapat iodin dalam jumlah yang mencukupi dalam diet mereka semasa mengandung dan ketika menyusukan bayi.

Saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengenai pengambilan iodin adalah:

  • l 220-250 mcg/d bagi wanita hamil
  • l 250-290 mcg/d bagi ibu menyusui
  • l 50-90 mcg/d bagi kanak-kanak kurang daripada 1 tahun
  • l 90-120 mcg/d bagi kanak-kanak 1-11 tahun
  • l 150 mcg/d bagi dewasa dan remaja

Kesan kekurangan iodin

Kekurangan iodin berpanjangan boleh menyebabkan muka sembap atau bengkak, goiter (bengkak kelenjar tiroid yang menonjol di bahagian depan leher), hipotiroidisme (di mana pengeluaran hormon tiroid turun ke paras bawah daripada normal) dan fungsi mental terjejas.

Bagaimanapun, akibat yang paling merosakkan adalah terhadap fetus dan perkembangan bayi. Kekurangan iodin maternal (ibu) menyebabkan keguguran, komplikasi kehamilan lain, dan kemandulan.

Sumber semula jadi

Badan kita memerlukan iodin dalam kuantiti yang kecil untuk pertumbuhan dan hidup (kemandirian). Iodin wujud secara semula jadi dalam kebanyakan makanan, dan selalunya dalam kuantiti yang kecil. Oleh kerana iodin tidak boleh dihasilkan dalam badan, kita perlu mendapatkannya daripada makanan kita atau dengan mengambil suplemen iodin.

Seperti juga dengan kebanyakan mineral, dua sumber utama iodin kita adalah makanan dan suplemen iodin. Sumber lain yang baik termasuk ikan, telur, daging, rumpai laut, susu dan ayam itik.

Penting untuk diperhatikan bahawa bertentangan dengan kepercayaan umum, garam laut tidak mengandungi iodin. Oleh itu, jangan gunakan garam laut sebagai alternatif kerana ia hanya mengandungi dua mikrogram iodin setiap gram.



Leave a Reply

Archives
Affiliates
Networkedblog