Hari isnin, dunia baruku bermula. Setelah sekian lama, barulah terasa dihantar ke pejabat oleh suami.
Minggu ini juga bermula tugas ku di Bahagian Pembangunan Sumber. Satu bahagian yang mengandungi segala sumber ilmu, samada buku, bahan bercetak, audio dan video. Pengguna utama adalah guru-guru IPMA sebagai bahan bantu mengajar untuk pelajar.
Tugas utama aku adalah membangunkan aplikasi menggunakan Flash. Sesuatu yang baru, uniq dan mencabar. Tugas yang memerlukan aku banyak belajar perkara baru.
Aku rasa seronok di sini. Mungkin kerana umur dan tahap pendidikan yang hampir sama, menyebabkan kami ‘sekufu’. Baru dua hari, aku terasa aku telah diterima dengan baik dibahagian ini.
Setelah penat bekerja, tiba masanya untuk pulang.Telah 2 hari aku pulang menaiki bas, dari depan pejabat, terus tiba ke Aman Puri. Dah dekat untuk berjalan ke rumah. Ini jauh lebih baik berbanding kalau naik komuter. Perjalanan dari pejabat ke stesyen komuter yang terhampir, iaitu Stesen Bank Negara memerlukanku menyeberangi jejantas yang melintasi Sungai Gombak dan Jalan Kuching. Di sinilah suatu masa dahulu, waktu baru mula bekerja dengan MARA, aku pernah jatuh, terduduk di dua anak tangga. Punca utama kesakitan pinggangku, hingga kini.