Bukit Tinggi & Port Kelang

Pukul 8 pagi, kami bertolak untuk memulakan perjalanan yang agak jauh ke tempat yang belum pernah kami pergi; Bukit Tinggi Resort, Pahang Darul Makmur. Selepas terowong di Karak Highway, kami berhenti sebentar di R&R Genting Sempah, untuk menikmati sarapan pagi di MacD.

Kami sampai di gate di Bukit Tinggi Resort lebih kurang pukul 10 pagi. Selepas membayar sebanyak RM32 (RM16 seorang untuk lawatan sehari) kami pun masuk ke kawasan tersebut.

Mula2 kami ke Colmar Tropika. Satu kawasan yang terdiri dari hotel, restaurant dan kedai-kedai yang dibina ala2 di Perancis. Setelah puas ‘berada di Perancis’, kami bercadang untuk ke ‘Jepun’ pulak. Kami mengambil keputusan untuk menaiki kenderaan yang disediakan. Kemudian, kami di maklumkan bahawa kenderaan itu akan membawa kami melawat ke Taman Arnab dan Rusa. Seronok juga melihat arnab yang begitu jinak, boleh makan di tangan. Ada juga yang begitu cergas berlari dan melompat setiap kali di kejar dan cuba ditangkap oleh kanak-kanak. Dengan menggunakan kenderaan yang disediakan, kami kembali semula ke tempat kami meninggalkan kereta.

Kami memutuskan untuk menggunakan kereta sendiri untuk ke ‘Jepun’ sebab tidak mahu lama menunggu, memandangkan cuaca telah mula menampakkan tanda-tanda hujan akan turun. Kami ke Botanical Garden terlebih dahulu. Selepas itu barulah kami masuk ke Japanese Tea Garden, satu taman yang dibina ala2 jepun. Bangunan dan hiasan tamannya serupa macam yang biasa di lihat di negeri Jepun. Ditambah dengan beberapa orang pengunjung yang menyewa kimono untuk bergambar, terlupa sejenak yang kami masih berpijak di bumi Malaysia. Apabila hujan mula menitis dan kaki pun telah lenguh, kami mengatur langkah untuk pulang. Percutian setengah hari yang menyeronoknya. Tak perlu naik kapal terbang, kami mampu untuk merasai suasana di Perancis dan Jepun. Insya-Allah ini bukan kami pertama dan terakhir kami ke sana.

Kami tiba dirumah lebih kurang pukul 2 petang. Aku sangkakan semuanya telah berakhir dengan sampainya di rumah petang itu. Lepas solat asar, lebih kurang pukul 6 petang, suamiku menyuruh aku bersiap semula, untuk ke satu tempat yang istimewa katanya. Rupanya kami nak dinner di Restaurant Muara Ikan bakar, Tanjung Harapan, Pelabuhan Kelang.

Lama betul kami tidak kesana. Tak sedar sampai tersilap jalan. Sekarang nih dah ada Highway untuk ke sana, tapi kami terambil jalan kampung yang agak jem sikit. Teringat kenangan dulu-dulu, masa belum kawin. Pernah kami balik dari sana, waktu malam, dalam hujan lebat, tetiba air-cond kereta Tiara itu pula rosak. Jenuh aku mengelap kaca di depan, bagi membolehkan pemandu kereta nampak jalan. Itu dulu, dan kereta Tiara itu pun rasanya dah ‘bahagia’ menyusuri jalan-jalan di Johor Baharu. Tak tahulah masih kerap bermasalah lagi atau tidak, sebab dia dijaga oleh seorang mekanik kereta. Ayahnya yang bekerja sepejabat dengan aku tak pernah cerita apa-apa, oklah kut. Sedekah, selagi kereta itu masih berjasa kepada pemandunya kini, harapnya adalah ‘saham’ yang kami perolehi.

Kami sampai di sana lebih kurang pukul 7.30 p.m. Seperti biasa, lauk-lauk yang dipilih, sotong goreng tepung, udang masak masam manis, Ikan Siakap tiga rasa dan ketam muara. Ramai juga pengunjung pada malam itu, mungkin sebab hujung minggu dan cuti sekolah. Sedap makan, sambal didodaikan oleh bunyi ombak laut Selat Melaka. Sambil menikmati hidangan, kami didendangkan dengan rangkaian lagu-lagu sentimentel yang dipopularkan oleh Broery Marantika, seperti Widuri, Angin Malam dan sebagainya.

Sedang kami menikmati makanan tersebut, teringat kepada 2 orang sahabat kami yang mula-mula memperkenalkan tempat ini kepada kami. Pertama kali kami ke Muara ini adalah bersama-sama dengan dua orang sahabatku Asmah dan Arwah Dazrul yang lebih dikenali sebagai Zack. Aku yang telah sekian lama mengenali arwah, bercadang untuk memperkenalkannya kepada orang yang kuharapkan akan menjadi teman hidupku. Melihatkan banyaknya persamaan di antara dua orang lelaki ini, aku yakin mereka boleh menjadi sahabat karib. Memang benar sangkaanku, bila mana arwah menjadi pengapit suamiku di majlis perkahwinan kami. Masih teringat lagi senda-guraunya semasa kami makan di meja pengantin. Ajal, maut, jodoh pertemuan semuanya di tangan Allah. Betapa pun kami sayangkan dia sebagai seorang sahabat, tetapi Allah lebih sayangkan dia. Allah telah menjemputnya kembali ke pangkuan-Nya genap 10 hari selepas parkahwinan kami. Al-Fatihah. Semoga rohnya di tempatkan bersama golongan orang soleh.

Kami tiba dirumah pukul 10 malam. Berakhirnya perjalanan kami ke 3 negeri dalam satu hari yang indah, iaitu Pahang, Selangor dan Kepong, Kuala Lumpur.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.