Cantik, bijak dengan pisang?

PISANG merupakan kurniaan alam semulajadi yang lengkap dengan vitamin penting, galian, gula yang menyihatkan dan karbohidrat untuk tenaga selain rasa yang enak.

Selain itu, pisang juga mengandungi vitamin C – bukan sahaja membantu sistem imunisasi malah menggalakkan kulit yang sihat dan menawan.

Buah dan kulit pisang sering digunakan untuk rawatan kecantikan terutamanya bagi menegang serta melembapkan kulit muka menjadikan wajah lebih berseri.

Sebagai sumber buah-buahan yang mudah diperolehi di serata dunia serta harganya yang murah, pisang sewajarnya dimanfaatkan sepenuhnya bermula daripada kulit hinggalah kepada isinya.

Pisang mampu buat anda gembira.

Protein dalam pisang yang dikenali sebagai triptofan ditukar kepada serotonin oleh badan manusia. Serotonin adalah sejenis bahan yang mampu menghasilkan perasaan tenang, membangkitkan mood dan secara keseluruhannya membuatkan kita gembira. Oleh itu jika anda berasa kecewa, cuba nikmati keenakan pisang, sambil merasakan perubahan perasaan daripada negatif kepada positif.

Meredakan ketidakselesaan perut.

Kita sering mengalami masalah perut tidak selesa apabila bangun pagi akibat makan banyak sebelum tidur. Beberapa hirisan pisang atau pun minum pisang yang dikisar mampu meredakan ‘menenangkan’ perut sekali gus memulihkan rasa tidak selesa.

Hindari stres.

Apabila stres atau menghadapi tekanan kadar metabolik kita akan meningkat, pada masa yang sama menurunkan paras potasium dalam badan. Pisang mengandungi potasium yang tinggi membantu mengembalikan kadar potasium dalam badan pada paras normal. Degupan jantung dan aliran oksigen dalam badan juga boleh kembali normal.

Merangsang otak.

Pisang membantu merangsan fungsi otak disebabkan potasium yang terkandung di dalamnya. Hasil penyelidikan mendapati potasium membantu seseorang menjadi lebih peka dan berhati- hati. Cuba makan sebiji pisang sebelum menduduki peperiksaan atau menghadiri temuduga. Ia mungkin membantu.

Penampilan menawan.

Sejak zaman nenek moyang kita, pisang telah digunakan sebagai bahan untuk topeng kecantikan wajah. Ini kerana kandungan anti penuaan yang dipercayai terdapat di dalam pisang. Cuba resipi ini untuk mendapatkan kulit menawan. Kisar pisang dengan madu dan beberapa titik oren. Sapukan pada muka, biarkan beberapa minit sebelum dibilas bersih. Amalkan selalu untuk hasil yang memuaskan.

sumber: Utusan Malaysia – kesihatan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.