Posts Tagged ‘Tidur’

Anak anda cukup tidur?

sumber : Berita harian :Ratu 2011/09/06

Mengantuk boleh sebabkan bayi cepat meradang, kerap menangis

TIDAK kira bayi, kanak-kanak, remaja, orang dewasa dan warga tua memerlukan tidur yang cukup mengikut usia masing-masing bagi memastikan perjalanan hidup mereka lebih teratur dan selesa sepanjang hari.

Ada orang yang memang sukar untuk tidur atas pelbagai sebab. Namun, tanpa tidur yang cukup bukan saja prestasi di tempat kerja atau sekolah akan terjejas, malah kita juga akan merasa letih, berasa tertekan dan cepat marah. Tidak mustahil, mengapa sering kali kita lihat juga, bayi atau kanak-kanak yang kurang tidur menyebabkan mereka cepat meradang dan kerap menangis.

Justeru, berapa banyak tidur perlu dan dianggap mencukupi? Apakah risiko bakal dihadapi kepada bayi dan kanak-kanak yang kurang tidur. Kajian saintis Belanda, kanak-kanak kurang tidur lebih berisiko menjadi gemuk. Menerusi kajian ke atas 250 kanak-kanak, mereka yang tidak cukup tidur berisiko untuk menambah indeks jisim badan (BMI).

Kurang tidur akan meningkatkan selera makan, mengubah tindak balas badan terhadap insulin dan hormon yang dikaitkan dengan kebolehan badan untuk menyimpan lemak.

Apa yang nyata isu tidur ini berbeza kepada setiap orang dan ia mengikut usia. National Sleep Foundation, mengesyorkan jadual bilangan jam yang patut diamalkan oleh seseorang mengikut usia.

Bayi:

  •  (0-2 bulan) – 10 hingga 18 jam
  •  (2-12 bulan) – 14 hingga 15 jam

Kanak-kanak:

  •  (12-18 bulan) – 13 hingga 15 jam
  •  (18 bulan- 3 tahun) – 12 hingga 14 jam
  •  (3-5 tahun) – 11 hingga 13 jam
  •  (5-12 tahun) – 9 hingga 11 jam

Cadangan menggalakkan kanak-kanak tidur:

  • Jadikan tidur sebagai rutin.Seperti juga orang dewasa, rutin tidur perlu untuk kanak-kanak. Pastikan kanak-kanak tidak mengambil bahagian dalam aktiviti fizikal sebelum masuk tidur atau makan makanan bergula. Aktiviti menenangkan termasuk membaca, mandi, minum susu dan memberikan pelukan dan ciuman.
  • Pastikan jadual tidur yang konsisten.Untuk tidur yang baik, tetapkan waktu yang tepat dan konsisten supaya mudah bangun awal. Sebagai ibu bapa, rancang rutin mengikut jadual setiap hari, khususnya waktu malam.
  • Pastikan semua seisi keluarga patuhi rutin tidurIbu bapa juga sebagai model terbaik untuk anak. Mereka juga perlu hadkan aktiviti seperti menonton televisyen sehingga larut malam bagi mengelak turut ikut jejaknya.
  • Jangan gunakan tidur sebagai hukuman.Ibu bapa tidak sepatutnya menghukum anak jika gagal mengikut perintah, terus keluarkan arahan mahu anak masuk tidur.
  • Elakkan tidur dengan anakSesetengah ibu bapa mempunyai kecenderungan untuk berbaring di atas katil dengan anak untuk membantu mereka tidur. Amalan itu tidak bagus, anda mungkin tidak akan sentiasa ada di rumah atas hal tertentu atau tugas luar.
  • Ajarkan tidur sendiri.Adalah penting untuk kanak-kanak belajar tidur sendiri. Sebagai contoh, ibu bapa perlu meletakkan kanak-kanak untuk tidur apabila mereka dalam keadaan tenang dan bukan menunggu sehingga mereka tertidur. Anda boleh menyanyi atau membacakan buku di tempat tidur, kemudian beransur-ansur meninggalkan bilik sebelum mereka tertidur.
  • Berikan barang atau objek tertentu.Anak akan lebih rasa tenang dan selesa jika ada objek atau barang seperti patung permainan, bantal dan selimut sebagai teman dari segi psikologi. Dengan cara ini, ibu bapa tidak perlu berada sentiasa di sisi anak sebelum mereka masuk tidur.

 



Tip tidur lena

KEBIASAANNYA apabila tidak boleh tidur, pelbagai petua diberi. Disuruh mengira angka atau membilang biri-biri sehingga terlena. Tetapi apa pula caranya jika masalah sukar tidur disebabkan cuaca panas.

Dr. Ian Smith daripada Papworth Hospital di Cambridge menurunkan panduan untuk mendapatkan tidur yang nyenyak dalam keadaan cuaca panas

Pertama, fahami punca kita tidak dapat tidur ketika cuaca panas. Mekanisme semulajadi untuk mendapatkan tidur yang puas melibatkan penurunan suhu badan. Cuaca malam yang panas menyebabkan proses penurunan suhu badan menjadi perlahan.

Beliau mencadangkan supaya langsir bilik dibiarkan menutupi pintu dan tingkap pada waktu siang dan malam. Cara itu akan mengurangkan kepanasan di dalam bilik. Pasang kipas dan biarkan tingkap terdedah untuk melancarkan peredaran udara di dalam bilik. Jika tidak, kepanasan motor kipas akan menambah suhu panas pada bilik sehingga mengganggu tidur.

Selain itu, pastikan anda keluar menikmati cahaya matahari di awal pagi. Ini membantu menyelaraskan sistem badan seterusnya membolehkan anda tidur nyenyak pada waktu malam. Jam biologi akan terganggu jika aktiviti harian tidak dijalankan mengikut waktu yang sepatutnya sehingga boleh mengganggu tidur anda.

Jauhi daripada cahaya terang terutamanya pada waktu malam. Ini kerana cahaya terang boleh mengganggu pengeluaran hormon melatonin. Pastikan bilik tidur dimasuki cahaya yang amat minimum terutamanya di bilik anak-anak anda. Kebanyakan kanak-kanak tidur di bawah cahaya lampu dan keadaan itu menyebabkan mereka sukar tidur kerana lampu menambah suhu bilik menjadi semakin panas.

Oleh itu pastikan bilik sejuk dan elak dimasuki terlalu banyak cahaya.

Seperkara lagi yang perlu diingat, elak berpeluh sebelum tidur. Jika cuaca panas, jangan bersenam selepas pukul 6 petang kerana ia boleh menaikkan suhu badan. Pergi ke pusat kecergasan awal pagi.

Paling mudah untuk menurunkan suhu badan ketika cuaca panas adalah dengan mandi air sejuk sebelum tidur.

Dr. Smith turut menasihatkan supaya mengelak daripada melayari facebook sebelum tidur, Cahaya biru daripada skrin komputer atau telefon bimbit boleh menurunkan paras melatonin menyebabkan anda semakin sukar untuk tidur.

Nasihat beliau lagi, kurangkan pengambilan kafein malah elak sama sekali selepas waktu tengahari.

Ingat kafein bukan saja terdapat di dalam kopi atau teh, malah coklat serta minuman ringan turut mengandungi bahan tersebut.

sumber: utusan malaysia, Kesihatan

Archives
Affiliates
Networkedblog