Posts Tagged ‘clamp’

Hikmah di sebalik kesukaran.

Semenjak beberapa hari kebelakangan ini, saya sering  meletakkan kereta di penghujung petak tempat letak kereta yang dibenarkan.  Ada tulisan ‘Camping Zone’ ruangan berkenaan, namun saya tidak pernah melihat ada kereta yang kena clamp jika di letakkan di sana. Rasanya telah hampir 2 minggu tempat tuh seolah-olah menjadi tempat khas untuk saya, sehinggalah pagi tadi saya terlihat kereta saya telah kena clamp.

“Aduhai, terbang RM30 lagi pagi-pagi buta nih”, kata saya dalam hati sambil bergegas ke pondok jaga. Semasa hendak membayar, dimaklumkan bahawa denda sekarang ini telah naik RM50. Ini adalah peraturan baru, penguatkuasaan baru, malah semua jaga-jaga ini pun muka-muka baru.  Muka budak melayu yang macam baru lepas SPM, berbanding orang-orang Nepal dan Bangla sebelum ini. Ingatkan pengurusan jer yang baru, rupanya semuanya baru. Adik tuh kata “Clamp pun baru sampai semalam kak”.

Saya dan salah seorang jaga berjalan semula ke kereta saya.  Ada 3 lorong yang boleh saya lalui, namun Allah menggerakkan hati saya untuk lalu jalan tengah.  Ketika lalu di depan rumah(mujur rumah kami di tingkat bawah), saya terlihat lampu bilik solat masih terbuka.  Jadi saya menyuruh adik tuh membuka clamp kereta saya terlebih dahulu sementara saya masuk semula ke rumah untuk menutup lampu.  Di bilik berkenaan, saya terlihat suis seterika  juga tidak ditutup.  Entah kenapa saya agak cuai dan semacam tergesa-gesa pagi ini. Mungkin sebab tak nak lewat lagi macam pagi semalam.

Selepas memastikan semua lampu dan pintu ditutup, barulah saya pergi semula ke kereta saya.  Selepas mengucapkan terima kasih kepada adik tu, saya pun bergerak ke pejabat dengan perasaan syukur kepada Allah.  Apalah sangat RM50 denda yang perlu saya bayar, jika dibandingkan perkara-perkara buruk yang mungkin berlaku akibat suis elektrik yang tidak ditutup.

Allah terlalu sayangkan saya. Allah mendidik saya dengan peristiwa yang tak di sangka-sangka. Syukur Alhamdulillah.




Archives
Affiliates
Networkedblog