Happy 10th anniversary

14/6/2009 – genap 10 tahun dari tarikh pertama kali aku blind date dgn seorang lelaki. Aku baru mengenalinya seminggu di alam maya, chatting specifically. Haritu aku tension sangat sebab masalah dipejabat. Dia pun tension sebab kunci kereta Tiara nya hilang. Dah separuh hari di bengkel kereta. Hingga tercetus satu idea, ‘since kita sama2 tensen, apa kata kita dinner berdua malam nih’. Macam tak percaya tapi OK jer.

Continue reading “Happy 10th anniversary”

Madu dan Susu 2

Semalam, saya di tanya oleh seorang kawan FB yang baru dikenali, tapi telah lama mengenali my hubby. Antara ayatnya..

“I know ur hubby since year 2006 I think. He was my Yahoo Msgr friend and also financial consultant online. we have met once at my previous company in KL sentral masa dia incharge kat MIDA utk passkan file financial template. I know about ur health problem initially… n u guys seem to be a such happy family when Adam came… tapi kenapa sampai nak cari insan baru yg bergelar isteri/madu to be in ur family? Zaman skrg nie susah nak dapat unless akak gi cari kat kampung2 especially d pattani yg mana kuat pegangan agamanya. di KL nie, agak susah nak cari perempuan yg solehah untuk hidup bermadu kerana Allah & Rasul. Even sy ada ramai kawan yg belum berkahwin tp xkan nak hidup bermadu.. “

Continue reading “Madu dan Susu 2”

Anak orang vs anak sendiri

Harini kedua-dua orang anak rakan sekerja dibawa ke opis. Mulanya memang dihantar ke Taska, tetapi apabila kedua-duanya cirit birit, pihak taska menyuruh bawa balik. Malangnya ayahnya ada mesyuarat, mau tak mahu terpaksalah kedua-dua budak tu menemani ibunya dipejabat. Yang sulung berumur 2 tahun 8 bulan, manalah adiknya pula 11 bulan. Kedua-duanya lelaki.

Si abang terlalu asyik dengan Ultramen dan lagu wonder pet nya. Manakala si adik, dari pukul 12 hingga pukul 5 duduk berbaring dalam stroller. Semua orang memuji baiknya siadik. Cuma bila diceritakan kepada suamiku, pandangannya berbeza pula.

Berbanding dengan anakku yang tidak mampu untuk duduk diam dalam stroller untuk 15 minit pun. Suamiku berpendapat, anak kami aktif, tak reti duduk diam, dan ini cukup bagus untuk perkembangan mindanya. Seingatku, umur 11 bulan anakku masih lagi merangkak macam askar. Tapi memang dia tak suka duduk diam, pastinya dia mengamuk nak keluar, meniarap then merangkak. Budak yang cuma berbaring selama 6 jam, bolehlah dikategorikan pasif.

2 family day di satu weekend

Penat. Satu perkataan untuk menggambarkan apa yang ayah, ibu dan Adam rasa. Mana tidaknya 2 Family Day satu weekend. Hari sabtu Adalah Majlis Penutup Karnival Sukan Heitech 2008 di Taman Tasik Titiwangsa. Hari ahad pula adalah family day Bahagian Sumber Manusia tempat ibu Adam bekerja di Wet world, Shah Alam. Walau apapun namanya, aktivitinya lebih kurang sama, pendaftaran, sarapan, senaman pagi, sukaneka untuk kanak-kanak dan dewasa, cabutan bertuah, hadiah makan tengahari dan akhirnya aktiviti bebas.

Continue reading “2 family day di satu weekend”

Cerita-cerita Sedih

Hari ini hari isnin, hari pertama di minggu baru. Aku bertekat untuk bekerja dengan bersungguh-sungguh, dan melupakan segala kemarahan dan kebencianku minggu lepas. Pukul 10 pagi aku ada meeting dengan orang-orang dari JPA, Putrajaya. Salah seorang dari orang yang sepatutnya hadir tidak menghadiri mesyuarat tersebut. Bila ditanya, kawannya mengatakan di MC untuk waktu yang lama, Lalu ringan jer mulut bertanya, kenapa? Ada apa masalah ker? Hampir menitis air mataku bila diberitahu bahawa kakak berkenaan keguguran, buat kali ke 2 katanya. Yang kesiannya kakak tersebut telahpun berumur 38 tahun, dan hingga ke saat ini belum lagi memiliki sebarang zuriat sendiri, dan kini keguguran pula. Dapat kubayangkan betapa pilu dan hancurnya hatinya. Semoga dia cukup tabah menghadapi dugaan ini.

Continue reading “Cerita-cerita Sedih”

Oktober dan November:- bulan penuh aktiviti

Bulan ini, adalah bulan yang paling sibuk dan meletihkan bagi diriku, terutamanya bila hujung minggu dan juga cuti umum. Bermula dengan 30/9/2008 iaitu sehari sebelum raya, dimana aku bersama-sama 2 orang adik ipar dan dipantau oleh ibu mertua menyediakan juadah untuk berbuka puasa dan juga jamuan raya. Nasi minyak, rendang ayam, ayam masak merah, sayur goreng jawa dan juga laksa.

Continue reading “Oktober dan November:- bulan penuh aktiviti”

Kenangan ramadhan

Tahun 2008, tahun ke2 aku berpuasa sebagai seorang ibu, tahun ke 4 sebagai pekerja sektor awam dan tahun ke 8 sebagai seorang isteri. Banyak perbezaan dan kenangan antara tahun ke tahun.

Masa masih berstatus pelajar, aku cuma meninggalkan terawikh bila ‘Allah Bagi Cuti-ABC’. Jika tidak, pastinya ada akan sentiasa berjemaah, bermula dari MRSM Perlis, KM Kulim, USM.

Namun bila dah bekerja, lain pula ceritanya. Terutamanya bila dah berstatus isteri. Di awal perkawinan, aku bekerja di Shah Alam dan suami bekerja di Putrajaya. Kebetulan sewaktu bulan puasa, kereta suami tersadai di bengkel akibat dilanggar dari belakang. So setiap hari aku menunggu suami menjemputku di Shah Alam dari Putrajaya, untuk meneruskan perjalanan kami ke rumah di Kepong dengan kereta kancilku. Kerapkali juga kami cuma mengalas perut dengan kurma dan air dalam kereta, sebelum tiba untuk berbuka di rumah ibu mertuaku. Kami tinggal tidak jauh dari rumah ibu mertua sebab suamiku anak sulung, masih bertanggungjawap menjaga ibunya yang memerlukan suntikan insulin 2 kali sehari.

Tahun 2004, aku mula kerja dengan kerajaan bila kontrak di MRCB Multimedia tamat. Pergi dan balik naik komuter. Kuranglah terasa jemnya.

Tahun 2005, Ramadhan ku di sambut di Negeri Che Siti Wan Kembang, lantaran tugas yang memaksa. Dan pertengahan Ramdahan dugaanku semakin hebat. Pada 18/10/2005 aku menjalani pembedahan kerana apendix. Lama juga aku tidak berpuasa lantaran perlu menjaga makan untuk memastikan lukaku cepat sembuh.

Tahun 2006, tahun ini adik iparku pula terlibat dalam kemalangan hingga tulang pehanya patah. Akibatnya, bukan sahaja kami berbuka, malah bersahur juga di rumah ibu mertuaku. Pukul 4 pagi, suami perlu menyuntik ibunya sementara aku menyediakan keperluan untuk semua bersahur. Setelah semuanya bersih barulah kami pulang untuk pergi ke pejabat.

Tahun 2007, tahun pertama aku berpuasa sebagai Ibu Adam Harith. Semuanya sempurna hinggalah 1/10/2007 bilamana Adam di masukkan ke ward. Kisah Adam di ward Adam keluar dari ward 2 hari lagi nak raya. Tanpa sebarang persediaan, kami menyambut raya di Putrajaya.

Tahun ini, perancangannya semuanya cukup sempurna. Aku dah ubah jadual, masuk pukul 7.30 pagi, so pukul 5.30 dah boleh sampai rumah. Baju raya semua dah sedia. Harapnya raya tahun ini yang paling meriah dengan kehadiran dan keletah Adam. Cukuplah rasanya berulang alik ke Damansara Specialist Hospital, setiap tahun.

Kasih disemai, sayang dituai, Semakin hari semakin sayang

Tanggal 21 Jun 2008, sekali lagi ayah adam dan ibu adam meninggalkan dunia keibubapaan dan memasuki dunia suami isteri. Awal pagi lagi, adam telah dihantar ke taska dan kami bergerak dari kepong ke Shah Alam untuk menyertai Kursus Mahligai Kasih yang akan dikendalikan oleh “Pak Utih” anjuran JIM Selangor di Dewan Sri Impian, Hotel UiTM Shah Alam.

Menyelusuri kenangan silam, kira kira 3 tahun yang lalu, pada 19 Jun 2005, kami menanda tangani satu memorandum persefahaman untuk menghidupkan nilai nilai yang kami kongsi bersama demi mencapai wawasan keluarga yang abadi untuk membelai kasih sayang di antara kami suami isteri. Manifestasi hasil dari Kursus Mahligai Kasih 2005 dan sepanjang tempoh itu, ayah adam dan ibu adam cuba menjadi pasangan yang mengamalkan nilai nilai yang kami fikirkan terbaik. Bagaikan lirik nyanyian P Ramlee, “Sedangkan lidah lagi tergigit, ini kan pula suami isteri” , Gelora badai ribut taufan memang melanda namun semuanya telah diduga dan dijangka. Kursus Mahligai Kasih 2005 telah memberikan sedikit tips dan panduan untuk menghadapinya. Dalam kursus tersebut, kami sedar bahawa kami memang berbeza. Ayah adam seorang lelaki dan ibu adam seorang wanita yang mempunyai hardware dan software yang tersendiri. Hanya melalui komunikasi yang effektif sahaja, kita boleh mengenali antara satu sama lagi. “Tak kenal maka tak cinta”, rasanya kami telah buktikan bahawa memang betul. Sepanjang tempoh 2 tahun kami bercinta sebagai sepasang suami isteri yang lebih ceria, lebih menyayangi dan lebih memahami antara satu sama lain.

Setelah 2 tahun, kami diamanahkan dengan seorang bayi comel, maka bermula perubahan dalam keluarga dengan gelaran tambahan ibu dan ayah adam. Dari “sayang” ke “cik Kiah@ibu adam” dan dari “abang” ke “ayah adam”. Pejam celik dah hampir setahun kami bergelar ayah dan ibu. Sewak tu ayah adam menerima emel mempelawa ayah adam menyertai Kursus Mahligai Kasih 2008, hati ayah tergerak untuk kembali semula ke tahun 2005. Kembali semula ke kelas yang mengajar kami erti kehidupan suami isteri. Dan ketika ayah adam mencadangkan kepada ibu adam, tak sangka ibu adam bersetuju dengan cadangan ayah adam agar kami meng”refresh” kembali apa yang kami pelajari 2 tahun yang lalu.

Sekali lagi semalam kami bertemu dengan penceramah yang sama, “Pak Utih” namun dengan peserta yang berbeza. Mungkin kerana kami sibuk dengan peranan sebagai ayah dan ibu adam maka kursus kali ini menyemarakkan semula hubungan kami sebagai suami dan isteri. Mengingatkan kami tentang nilai nilai yang penting dalam cinta kami iaitu menyayangi, menghargai dan menghormati antara satu sama lain.

Dalam salah satu sesi kursus berkenaan, kami dikehendaki menulis@menceritakan pengorbanan yang belum pernah kami ceritakan. Dalam sesi tersebut, ayah adam tak mampu nak tulis apa apa pun. Ketika kami diarahkan untuk berkongsi antara satu sama lagi, ayah adam secara spontan memulakan bicara,

“Pada hari ini, ku ceritakan satu peristiwa pengorbananmu yang belum pernah ku ceritakan padamu. Ianya amat bernilai pada diriku. Kejadian berlaku pada awal tahun 2007 ketika kami berusaha untuk memperolehi zuriat dengan kaedah IVF dan ….”

Ayah adam tidak mampu nak meneruskannya dan begitu juga dengan ibu adam. Air mata kami bercucuran tanpa dapat dibendung. Ayah adam sedar dan ayah adam tahu , begitu juga dengan ibu adam sedar dan tahu betapa pengorbanan masing masing dalam menempuhi detik dan ketika itu. Bermula dengan proses IVF, detik detik cemas keguguran bayi yang dikandung oleh ibu adam dan kemuncak kepada pengorbanan tersebut dengan kehadiran bayi yang bernama Adam Harith dalam kehidupan kami. Zahir tak terucap namun masing masing mengerti pengorbanan yang telah dilakukan.

Terima kasih kepada Pak Utih di atas semua tips yang diberi. Insya Allah, kami akan membina Mahligai Kasih kami sendiri. Kasih disemai, sayang dituai, Semakin hari semakin sayang.

Antara gambar gambar yang diambil ketika Kursus Mahligai Kasih.

Hmmm ibu bergambar dengan siapa tu ??? Macam pernah lihat aje.. Kat mana ya??

Dua suami macho ….. Tu dia pak utih …. ( 3 kali jumpa tapi kali ini baru dapat bergambar bersama)

Berlalunya zaman honeymoon

1/11/2007- Genap 3 tahun aku bekerja dengan agensi ini. Dan hari ini, ibu mula report duty di bahagian yg baru. Dah tahu bahagian baru tu di tingkat 18, transit sementara tingkat 7 sedang direnovate, so pastinya meja lama dan open space, tak ada partition. Perbezaan utama antara 2 bahagian adalah :-

Bhg lama Bhg Baru
Bil. Staff 29 org 92 org
Supervisor 5 tahun lagi pencen Tua setahun jer dari ibu
Rakan sekerja Pangkat ‘makcik dan pakcik’ Perempuan ramai yg hampir sebaya.Lelaki muda belia, ramai yg fresh grad.
Cara kerja Berkumpulan Individual dibantu oleh 2 org sub-ordinate (lelaki dan perempuan)
Tanggungjawab Kurang tanggungjawab Semuanya terjunjung atas batu jemala patek.

Zaman honey moon telah berlalu. Tiada lagi cuti-cuti Malaysia dan jalan-jalan cari makan. E-mail dan internet pun pastinya untuk belajar benda-benda baru sahaja, tidak lagi untuk perkara lagha dan merapu. Pastinya aku rindukan enaknya sarapan nasi panas2 dan masakan jamuan di pantry, kemeriahan dan kemesraan makcik-makcik yg menjadi rakan sebaya. Namun, demi Adam aku rela korbankan segalanya. Yang penting malam-malam Adam tidak lagi ditinggalkan.

Bukit Tinggi & Port Kelang

Pukul 8 pagi, kami bertolak untuk memulakan perjalanan yang agak jauh ke tempat yang belum pernah kami pergi; Bukit Tinggi Resort, Pahang Darul Makmur. Selepas terowong di Karak Highway, kami berhenti sebentar di R&R Genting Sempah, untuk menikmati sarapan pagi di MacD.

Kami sampai di gate di Bukit Tinggi Resort lebih kurang pukul 10 pagi. Selepas membayar sebanyak RM32 (RM16 seorang untuk lawatan sehari) kami pun masuk ke kawasan tersebut.

Mula2 kami ke Colmar Tropika. Satu kawasan yang terdiri dari hotel, restaurant dan kedai-kedai yang dibina ala2 di Perancis. Setelah puas ‘berada di Perancis’, kami bercadang untuk ke ‘Jepun’ pulak. Kami mengambil keputusan untuk menaiki kenderaan yang disediakan. Kemudian, kami di maklumkan bahawa kenderaan itu akan membawa kami melawat ke Taman Arnab dan Rusa. Seronok juga melihat arnab yang begitu jinak, boleh makan di tangan. Ada juga yang begitu cergas berlari dan melompat setiap kali di kejar dan cuba ditangkap oleh kanak-kanak. Dengan menggunakan kenderaan yang disediakan, kami kembali semula ke tempat kami meninggalkan kereta.

Kami memutuskan untuk menggunakan kereta sendiri untuk ke ‘Jepun’ sebab tidak mahu lama menunggu, memandangkan cuaca telah mula menampakkan tanda-tanda hujan akan turun. Kami ke Botanical Garden terlebih dahulu. Selepas itu barulah kami masuk ke Japanese Tea Garden, satu taman yang dibina ala2 jepun. Bangunan dan hiasan tamannya serupa macam yang biasa di lihat di negeri Jepun. Ditambah dengan beberapa orang pengunjung yang menyewa kimono untuk bergambar, terlupa sejenak yang kami masih berpijak di bumi Malaysia. Apabila hujan mula menitis dan kaki pun telah lenguh, kami mengatur langkah untuk pulang. Percutian setengah hari yang menyeronoknya. Tak perlu naik kapal terbang, kami mampu untuk merasai suasana di Perancis dan Jepun. Insya-Allah ini bukan kami pertama dan terakhir kami ke sana.

Kami tiba dirumah lebih kurang pukul 2 petang. Aku sangkakan semuanya telah berakhir dengan sampainya di rumah petang itu. Lepas solat asar, lebih kurang pukul 6 petang, suamiku menyuruh aku bersiap semula, untuk ke satu tempat yang istimewa katanya. Rupanya kami nak dinner di Restaurant Muara Ikan bakar, Tanjung Harapan, Pelabuhan Kelang.

Lama betul kami tidak kesana. Tak sedar sampai tersilap jalan. Sekarang nih dah ada Highway untuk ke sana, tapi kami terambil jalan kampung yang agak jem sikit. Teringat kenangan dulu-dulu, masa belum kawin. Pernah kami balik dari sana, waktu malam, dalam hujan lebat, tetiba air-cond kereta Tiara itu pula rosak. Jenuh aku mengelap kaca di depan, bagi membolehkan pemandu kereta nampak jalan. Itu dulu, dan kereta Tiara itu pun rasanya dah ‘bahagia’ menyusuri jalan-jalan di Johor Baharu. Tak tahulah masih kerap bermasalah lagi atau tidak, sebab dia dijaga oleh seorang mekanik kereta. Ayahnya yang bekerja sepejabat dengan aku tak pernah cerita apa-apa, oklah kut. Sedekah, selagi kereta itu masih berjasa kepada pemandunya kini, harapnya adalah ‘saham’ yang kami perolehi.

Kami sampai di sana lebih kurang pukul 7.30 p.m. Seperti biasa, lauk-lauk yang dipilih, sotong goreng tepung, udang masak masam manis, Ikan Siakap tiga rasa dan ketam muara. Ramai juga pengunjung pada malam itu, mungkin sebab hujung minggu dan cuti sekolah. Sedap makan, sambal didodaikan oleh bunyi ombak laut Selat Melaka. Sambil menikmati hidangan, kami didendangkan dengan rangkaian lagu-lagu sentimentel yang dipopularkan oleh Broery Marantika, seperti Widuri, Angin Malam dan sebagainya.

Sedang kami menikmati makanan tersebut, teringat kepada 2 orang sahabat kami yang mula-mula memperkenalkan tempat ini kepada kami. Pertama kali kami ke Muara ini adalah bersama-sama dengan dua orang sahabatku Asmah dan Arwah Dazrul yang lebih dikenali sebagai Zack. Aku yang telah sekian lama mengenali arwah, bercadang untuk memperkenalkannya kepada orang yang kuharapkan akan menjadi teman hidupku. Melihatkan banyaknya persamaan di antara dua orang lelaki ini, aku yakin mereka boleh menjadi sahabat karib. Memang benar sangkaanku, bila mana arwah menjadi pengapit suamiku di majlis perkahwinan kami. Masih teringat lagi senda-guraunya semasa kami makan di meja pengantin. Ajal, maut, jodoh pertemuan semuanya di tangan Allah. Betapa pun kami sayangkan dia sebagai seorang sahabat, tetapi Allah lebih sayangkan dia. Allah telah menjemputnya kembali ke pangkuan-Nya genap 10 hari selepas parkahwinan kami. Al-Fatihah. Semoga rohnya di tempatkan bersama golongan orang soleh.

Kami tiba dirumah pukul 10 malam. Berakhirnya perjalanan kami ke 3 negeri dalam satu hari yang indah, iaitu Pahang, Selangor dan Kepong, Kuala Lumpur.