Cemburu tanda sayang?

PERASAAN cemburu adalah salah satu punca pertengkaran dan pergaduhan antara suami isteri. Kata orang tua-tua “cemburu tanda sayang”. Adakah kata-kata itu benar? Apakah maknanya apabila seseorang itu berasa cemburu?

Cemburu

Kita boleh berasa cemburu kepada seseorang walaupun antara kita dan orang itu tidak ada apa-apa ikatan hubungan yang mesra. Dalam erti kata yang lain kita boleh berasa cemburu walaupun kita baru mengharap-harapkan sahaja akan hubungan itu.Maksudnya, kita baru
tertarik dengan orang itu sahaja.

Emosi cemburu dalam keadaan itu dipenuhi oleh perasaan mengharap-harapkan orang itu, cintanya kemesraannya dan kehadirannya. Kita juga sangat meng-ingini apa yang dimiliki oleh orang itu. Lazimnya kita berasa malu kerana mencemburuinya. Kita tidak menaruh apa-apa kecurigaan dan syak ke atasnya. Kita juga tidak menaruh perasaan tidak percaya kepadanya. Kita juga tidak mengalami takut kehilangannya dan sakit hati kerana dimungkiri.

Kuasa Tarikan

Salah satu teori psikologi yang cuba menerangkan gejala perasaan cemburu ialah teori kuasa tarikan. Kuasa tarikan ialah faktor yang menyebabkan seseorang itu mempunyai keupayaan menarik minat orang lain kepada dirinya. Setiap individu memiliki kuasa tarikan. Setengah-setengah isteri memiliki kuasa tarikan yang amat tinggi ke atas suami mereka dan juga ke atas lelaki-lelaki lain. Ertinya, sebagai mana suaminya tertarik kepadanya, begitu juga lelaki-lelaki lain. Hal yang sama juga berlaku di kalangan lelaki. Walaupun sudah beristeri, ramai wanita lain masih amat tertarik kepada mereka. Namun ada pula isteri yang tidak memiliki daya tarikan langsung ke atas suami mereka. Begitu juga di kalangan suami. Tetapi tidak ada orang yang memiliki kuasa tarikan ke atas semua orang. Dalam erti kata yang lain, kita hanya dapat menarik minat orang-orang tertentu sahaja.

Kuasa tarikan adalah sesuatu yang boleh timbul dan boleh hilang. Ia juga boleh timbul semula, atau hilang semula. Ia juga boleh dinaikkan dan boleh diturunkan. Sewaktu kita baru-baru jatuh cinta dulu, pasangan kita mempunyai kuasa tarikan yang kuat ke atas kita. Itulah sebabnya kita amat tertarik kepadanya. Selepas berkahwin beberapa lama, iaitu selepas kita melihat perangai-perangainya yang buruk, dan selepas selalu berkrisis dengannya, kuasa tarikannya ke atas diri kita turun. Kita tidak lagi seronok memandang wajahnya dan tidak lagi suka berada dekat di sisinya. Tetapi keadaan itu boleh dipulihkan dengan membuang faktor-faktor yang menyebabkan kita benci kepadanya, serta mewujudkan faktor-faktor yang menyebabkan kita suka semula kepadanya. Kuasa tarikan hapus sama sekali apabila kita mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan yang ada dan tidak mahu rujuk kepadanya lagi.
Ramai pasangan tidak memiliki kuasa tarikan yang sama tinggi, di mana si suami mungkin jauh lebih menarik daripada si isteri, ataupun sebaliknya. Antara faktor-faktor yang menyebabkan ketidakseimbangan itu ialah perbezaan pada rupa paras, taraf pendidikan, bakat, pendapatan, populariti, usia, keturunan, kerjaya, status sosial dan lain-lain lagi.

Pakar-pakar psikologi mengatakan ketidakseimbangan kuasa tarikan mempunyai kesan ke atas emosi, khususnya emosi cemburu. Isteri yang rendah kuasa tarikannya berasa seolah-olah dia teramat mencintai suaminya. Sebaliknya, si suami yang tinggi kuasa tarikannya berasa seolah-olah dia tidak berapa mencintai isterinya. Ini berbeza dengan pasangan yang mempunyai kuasa tarikan seimbang. Mereka berasa mereka mencintai pasangan mereka sebagaimana yang sebenarnya mereka rasakan.

Sebagai contoh, isteri yang tidak berpendidikan tinggi tetapi mempunyai suami yang profesional, akan berasa seolah-olah dia teramat mencintai suaminya. Manakala si suami pula berasa seolah-olah dia tidak berapa mencintai isterinya. Dalam keadaan begini, emosi yang biasanya dialami oleh si isteri ialah rasa cemburu. Perasaan cemburu bukanlah tanda cinta, tetapi lebih kepada tanda perasaan ragu, curiga, khuatir, syak, bimbang, takut dan tidak selamat. Ia adalah juga manifestasi orang yang cemburu mempunyai hasrat mahu menguasai orang yang dicintai. Jadi, isteri yang cemburu adalah isteri yang mahu menguasai dan mengongkong suaminya, begitu
juga halnya dengan suami yang cemburu.

Isteri yang cemburu berhasrat mahu mengawal tingkah laku, fikiran dan emosi suaminya. Dia tidak mahu suaminya melakukan perkara-perkara tertentu, umpamanya dia tidak mahu suaminya balik lambat. Dia tidak mahu suaminya memikirkan perkara-perkara tertentu,
umpamanya dia tidak mahu suaminya memikirkan hendak kahwin lain. Dan dia tidak mahu suaminya merasakan emosi-emosi tertentu, umpamanya dia tidak mahu suaminya tidak kasih kepadanya lagi, kerana itu semua membahayakan kedudukannya sebagai isteri.

Emosi Cemburu

Orang yang cemburu mengalami bermacam-macam emosi. Dia mudah hendak marah, cepat naik angin. Otot-otot badannya berasa tegang, dada rasa macam sesak. Dia berasa bagaikan hendak mengamuk, tetapi dia cuba mengawalnya. Dia berasa hendak menyakitkan hati orang itu sesakit-sakitnya. Dia ingin membalas dendam. Fikirannya tertumpu pada satu perkara sahaja, dia tidak dapat memikirkan apa-apa yang lain. Dia takut hendak melepaskan perasaannya, oleh itu dia cuba mengawal emosinya yang hendak meluahkan segala-galanya. Dia juga banyak memikirkan akibatnya kalau dia mengamuk. Dia cuba menyembunyikan perasaannya kerana dia takut orang lain tahu. Ada kalanya dia cuba melupakan perkara itu, oleh itu dia cuba memikirkan perkara-perkara lain.

Reaksinya melebih-lebih sangat. Dia asyik memikirkan apa yang pasangannya dapat. Dia memikirkan nasib pasangannya yang lebih baik daripada nasibnya sendiri. Dia mungkin berasa tidak berdaya hendak mengatasi keadaan yang sedang berlaku ke atas dirinya. Dia hilang keyakinan yang dia dapat menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Dia berasa dirinya tidak dapat mengawal keadaan. Dia ragu kepada dirinya sendiri. Dia hilang keyakinan. Fikirannya berkecamuk, haru-biru. Macam-macam perkara melintas dalam kepalanya. Dia asyik memikirkan apa yang sudah terjadi sampai dia jadi begini. Dia macam tidak percaya. Dia sangat ingin tahu apa sebenarnya yang terjadi. Dia berasa kehilangan dan kerugian. Dia rindukan pasangannya, dia inginkan pasangannya kembali kepadanya seperti sedia kala. Dia memikirkan apa yang boleh dibuatnya untuk mengubah keadaan. Dia tertanya-tanya dan tercari-cari jawapan. Dia asyik berfikir ‘mengapa’ perkara itu terjadi. Dia tidak tahu hendak bertindak ataupun tidak. Dia berasa dirinya ditinggalkan begitu sahaja. Dia berasa dirinya dikhianati. Dia berasa dirinya dikecewakan. Dia juga asyik memikirkan dirinya sahaja. Dia berasa sepi, tersisih, tidak tahu ke mana hendak pergi. Dia berasa dunia seperti tidak pedulikannya. Ada kalanya dia berasa sedih, murung, dan kasihan kepada dirinya sendiri. Dia berasa dirinya kecil, tidak penting dan tidak berharga. Bagaimanakah tindak balas orang yang cemburu? Kajian menunjukkan tindak-balas mereka boleh dikelompokkan kepada lapan jenis:

Kehancur-luluhan emosi

Kesan ini sangat buruk, dan wanita lebih teruk mengalami kesan jenis ini. Mereka terkejut dengan apa yang terjadi. Mereka sukar percaya perkara itu benar terjadi. Mereka tidak tahu apa yang sepatutnya dibuat. Mereka tidak dapat memikirkan perkara lain lagi. Mereka juga
tidak dapat membuat kerja-kerja lain. Mereka rasa demam, badan jadi lemah, tidak berdaya. Mereka berasa takut. Mereka sedih dan murung. Mereka keliru. Mereka berasa diri mereka diperalatkan. Mereka menangis apabila bersendiri.

Membalas dendam

Tingkah laku ini dilakukan baik oleh lelaki mahupun wanita, tetapi lelaki lebih cenderung melakukannya. Mereka menjalin hubungan dengan orang lain. Mereka sengaja melakukan perbuatan-perbuatan yang membuat pasangan mereka cemburu. Mereka menunjukkan sikap tidak pedulikan pasangan. Mereka mengkritik dan memburuk-burukkan pasangan kepada orang lain. Mereka cuba meminta pihak ketiga bercakap dengan pasangan mereka.

Kebangkitan emosi

Kesan ini berlaku kepada lelaki dan wanita. Mereka cuba memperbaiki hubungan, biasanya dengan cara memberi perhatian yang lebih banyak kepada pasangannya. Mereka mengadakan lebih banyak seks dengan pasangan. Mereka memonopoli masanya. Mereka lebih mudah terangsang oleh pasangannya.

Mencari sokongan sosial

Kesan ini lebih banyak dilakukan oleh wanita. Mereka bercakap dengan orang-orang yang rapat, seperti kawan baiknya tentang apa yang sedang mereka rasakan. Tetapi ada masanya mereka tidak mahu bercakap langsung, ini lebih banyak dilakukan oleh lelaki. Mereka cuba lari daripada keadaan itu dan menjalin interaksi yang pihak-pihak lain.

Menghukum diri sendiri

Kesan ini lebih banyak dialami oleh lelaki. Mereka berasa bersalah dan malu kerana cemburu. Mereka marah kepada diri sendiri. Mereka berasa seperti hendak membalas dendam. Mereka mendoakan mudah- mudahan pasangan mereka menderita.

Bersemuka

Tingkah laku ini lebih banyak dilakukan oleh lelaki. Mereka memaksa pasangan mereka menerangkan apa yang sebenarnya sudah terjadi. Mereka juga pergi bersemuka dengan orang ketiga. Ada kalanya mereka berlagak supaya pasangannya dan orang lain menyangka dia tidak peduli.

Marah

Kesan ini lebih banyak dialami oleh wanita. Mereka sangat marah kepada pasangannya dan kepada orang ketiga. Mereka menganggap pasangannya melakukan kesilapan. Mereka merasai diri mereka dikhianati. Mereka sangat kecewa kepada pasangannya. Timbul niat hendak membalas dendam.

Menjaga air muka

Mereka cuba berlagak dengan cara-cara supaya pasangan mereka menyangka mereka tidak peduli. Tingkah laku begini lebih banyak dilakukan oleh wanita. Mereka menjadi cepat marah kepada orang lain. Mereka takut hendak marah-marah kepada pasangan kerana takut hal itu merosakkan hubungan yang ada. Ada kalanya mereka terpaksa berlakon untuk menutup kecurangan suami.

Seseorang yang berasa cemburu mungkin mengalami semua jenis tingkah laku itu pada waktu yang sama. Ada kalanya mereka mengalami sebahagian daripada tingkah laku dan emosi itu. Seseorang mungkin berasa marah dan sedih serentak. Ataupun dia terasa hendak menghukum pasangannya tetapi pada waktu yang sama dia juga berasa bersalah. Ataupun dia cuba menutup rahsia itu, tetapi ingin bercerita kepada kawan baiknya.

Komitmen dan Cemburu

Perasaan cemburu tidak muncul sendiri tanpa ada apa-apa sebab dan alasan. Bagi membolehkan perasaan cemburu muncul, pra syarat yang pertama kita mesti mempunyai rasa cinta dan kasih kepada orang itu. Kita tidak mungkin mencemburui orang yang tidak kita kasihi.

Pra syarat yang kedua ialah kehadiran ancaman daripada pihak ketiga. Kita hanya berasa cemburu apabila kita takut kehilangan orang yang kita kasihi kepada pihak lain. Kita mungkin kehilangan orang itu apabila dia mati, atau apabila dia meninggalkan kita tanpa adanya orang ketiga. Dalam keadaan begitu, kita tidak cemburu meskipun kita kehilangannya.

Pra syarat yang ketiga adalah komitmen. Istilah komitmen merujuk kepada hubungan saling bergantungan. Apabila kita berasa kita sangat memerlukan pasangan kita, maka kita dikatakan mempunyai komitmen yang tinggi kepada pasangan kita dan juga kepada perhubungan antara kita dan dirinya. Dalam erti kata yang lain, apabila kita mempunyai komitmen kepada pasangan, kita memberikan nilai yang tinggi kepada perkahwinan kita. Bukti-bukti komitmen yang tinggi adalah kita tidak akan melakukan apa-apa yang menguntungkan diri kita. Pada waktu yang sama ia merugikan pasangan kita. Oleh yang demikian kita tidak menyisihkan kepentingan pasangan kita dalam sebarang perancangan yang kita buat.

Jadi, komitmen adalah pra syarat kepada emosi cemburu. Tanpa komitmen, tidak ada cemburu. Bagi kita yang mempunyai komitmen, perkahwinan kita adalah suatu pelaburan, di mana ia mempunyai potensi ganjaran masa depan, dan ganjaran mungkin hilang jika perhubungan itu berakhir. Perkahwinan menjanjikan banyak pulangan, antaranya anak-anak, kasih sayang, harta, kedudukan sosial dan banyak lagi. Jadi, sebarang perkara yang mengancam perkahwinan kita akan menimbulkan rasa tidak selamat dalam diri kita. Sebenarnya rasa tidak selamat yang dialami oleh ramai isteri bukan datang daripada sumber-sumber luar, khususnya wanita-wanita lain.

Sehubungan dengan hal ini, kita selalu mendengar wanita berkata, “Musuh perempuan ialah perempuan.” Kita juga selalu melihat bagaimana wanita menaruh curiga kepada wanita-wanita lain, sebagai contoh, isteri-isteri tidak mahu suaminya mengambil janda muda sebagai setiausahanya. Kedua-dua contoh itu memperlihatkan sikap dan kepercayaan yang rasa tidak selamat berpunca daripada orang-orang lain. Menurut pandangan kebanyakan wanita, jika tidak ada wanita lain yang cuba merampas suami mereka tentulah mereka berasa selamat, oleh itu mereka tidak akan cemburu. Ataupun, jika suami mereka sendiri tidak tergoda dengan wanita lain, mereka juga tidak akan berasa cemburu.

Anggapan punca rasa selamat atau tidak selamat ada di luar diri kita sendiri adalah anggapan yang salah. Menurut pakar-pakar psikologi, rasa selamat datang daripada diri orang itu sendiri. Ia datang daripada fikiran orang itu terhadap orang-orang lain dan terhadap peristiwa-peristiwa yang berlaku di sekelilingnya. Jadi, jika kita berasa tidak selamat, perasaan itu datang daripada fikiran kita sendiri.

1.Rasa tidak selamat datang daripada penilaian yang kita sendiri buat ke atas komitmen pasangan kita kepada diri kita dan kepada perhubungan kita dengannya. Jika pada penilaian kita suami kita mempunyai komitmen yang sangat tinggi kepada diri kita, maka kita akan berasa selamat. Jika pada penilaian kita, suami kita tidak komited kepada diri kita, maka kita berasa sangat tidak selamat.

Apabila kita sendiri mempunyai komitmen, dan kita juga berasa selamat, kita tidak akan berasa cemburu terhadap pasangan kita. Jadi, seseorang isteri yang sangat kasih kepada suaminya, dan dia juga berasa kedudukannya sebagai isteri adalah sangat terjamin, maka dia tidak berasa cemburu. Sebaliknya apabila dia sangat kasih kepada suaminya, dan dia berasa tidak selamat, barulah dia berasa cemburu.

2.Perasaan selamat datang daripada keyakinan di mana pasangan kita sangat bergantung dan amat kasih kepada kita. Jadi, jikalau suami kita mempunyai hubungan lain, tetapi kita tidak tahu, kita akan terus berasa selamat dan tidak menaruh cemburu kepadanya. Begitu juga sebaliknya, jikalau suami kita tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan wanita lain, tetapi kita sangka sebaliknya, kita akan berasa sangat tidak selamat dan kita menjadi cemburu.
Yang menjadi masalah adalah kita tidak boleh betul-betul tahu sejauh mana dia bergantung kepada kita, dan sebanyak mana kasih sayang dan komitmennya terhadap diri kita. Kita tahu dia kasih kepada kita, tetapi sejauh manakah kasihnya? Inilah salah satu faktor yang boleh
membuatkan kita berasa tidak selamat. Akibatnya, semakin kita berasa komitmennya kepada kita kurang, semakin kita berasa tidak selamat, semakin mudah kita mencemburuinya.

Tetapi apakah faktor-faktor yang menyebabkan kita berasa selamat ataupun tidak selamat? Kajian menunjukkan, rasa tidak selamat muncul apabila kita anggap pasangan kita tidak mempunyai komitmen yang kuat kepada diri kita dan kepada perhubungan antara kita dan dirinya. Sebenarnya, pasangan kita mungkin sangat komited kepada kita, tetapi apabila kita percaya dia tidak ada komitmen, maka kita akan cemburu. Ini soal sangkaan kita, soal apa yang kita fikir berkenaan komitmen pasangan kita. Ini bukan soal realiti. Jadi, realiti lain, sangkaan kita lain. Rasa cemburu datang daripada persepsi atau fikiran kita semata-mata.

Apakah faktor-faktor yang membentuk persepsi kita terhadap pasangan kita, maka kita sangka dia tidak mempunyai komitmen tinggi kepada kita? Persepsi itu datang daripada perkara-erkara dan peristiwa-peristiwa yang kita anggap boleh mengurangkan komitmennya kepada kita.

1.Faktor utama yang boleh menyebabkan kita percaya pasangan kita tidak mempunyai komitmen yang tinggi adalah berapa sifat yang ada kepada diri sendiri. Sifat-sifat itulah yang menyebabkan kita selalu berasa tidak selamat, lalu mudah cemburu. Antara sifat-sifat yang
menjadi punca kita berasa tidak selamat ialah estim-diri yang rendah. Estim-diri yang rendah membuat kita berasa hodoh, bodoh, kecil dan tidak penting. Keadaan ini datang apabila kita berasa diri kita tidak memiliki kejelitaan atau penampilan yang menarik di mata pasangan kita. Ia juga datang apabila kita berasa diri kita tidak memiliki sebarang keistimewaan.

Sebagai contoh, kita tidak mempunyai kelulusan yang tinggi, bakat yang dihargai masyarakat, wang, kedudukan, jawatan dan kejayaan yang boleh dibanggakan oleh pasangan kita. Apabila dia yakin kita tidak memiliki daya tarikan yang tinggi ke atas pasangan kita, akibatnya, kita pun mula berfikir keadaan diri kita itulah menyebabkan komitmen pasangan kita berkurangan, oleh itu kita pun berasa tidak selamat, lalu mudah cemburu.

2.Kita berasa tidak selamat apabila kita berasa pasangan kita adalah seorang yang sangat menarik, barangkali kerana penampilannya, kelulusannya yang tinggi, jawatannya yang penting, wangnya yang banyak, kejayaannya dan statusnya dalam masyarakat. Keadaan ini boleh menyebabkan kita percaya komitmen pasangan kita kepada diri kita akan berkurangan.

3.Kita juga boleh berasa tidak selamat apabila pasangan kita selalu bercampur gaul dengan orang-orang yang menarik. Bayangkan kedudukan seorang isteri yang mempunyai suami yang bertugas di tempat di mana di situ terdapat ramai rakan sekerjanya yang terdiri daripada wanita-wanita yang cantik-cantik dan menarik.

4.Apabila kita menganggap pasangan kita sudah tidak banyak lagi melibatkan dirinya dengan kita. Sebagai contoh, dia kini terlalu sibuk dengan kerja-kerjanya sahaja dan tidak ada masa lagi untuk bersama-sama kita. Ataupun, dia kini tidak meminati lagi apa yang kita minati, umpamanya dulu dia suka membantu kita membuat kerja-kerja yang kita buat, tetapi kini tidak lagi. Akibatnya, kita boleh mula mengesyaki dia tidak lagi mempunyai komitmen yang tinggi kepada diri kita.

Peristiwa-peristiwa yang berlaku juga boleh menimbulkan rasa tidak selamat dan cemburu di hati kita. Antara ciri-ciri peristiwa-peristiwa itu adalah:

1.Ia mengancam komitmen pasangan kita. Sebagai contoh, suami kita mengambil setiausaha baru, seorang janda, bekas isteri ketiga seorang jutawan, yang cantik dan mempunyai banyak harta yang diterima selepas perceraiannya.

2.Ia membayangkan perubahan sudah berlaku. Sebagai contoh, memang telah berlaku peristiwa-peristiwa yang dengan jelas menunjukkan suami kita sudah berubah. Kalau dahulu dia tidak cerewet dengan penampilannya, kini dia sangat mengambil berat serba-serbi berkaitan
penampilannya. Umpamanya, dia menukar potongan dan pilihan warna pakaiannya. Dia menukar stail menyikat rambutnya dan kasutnya. Malah dia kini memakai minyak wangi.

3.Ia membayangkan pasangan kita kini lebih banyak mendahulukan kepentingannya sendiri. Dia kurang peduli kepada perasaan dan fikiran kita apabila membuat keputusan.

Beberapa perkara yang dilakukan oleh pasangan kita juga boleh menyebabkan kita berasa tidak selamat, walaupun perkara-perkara itu tidak langsung melibatkan kehadiran orang ketiga. Ciri-ciri perkara itu adalah:

1.Apabila apa yang dilakukannya menyebabkan perubahan ke atas komitmennya terhadap diri kita. Sebagai contoh, dia lebih seronok melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak membolehkan kita ikut serta di dalamnya. Sebagai contoh, beliau lebih seronok menjalankan tugas-tugas perniagaan korporatnya sehingga dia kurang berada di rumah, dan seolah-olah tidak ada ruang bagi kita dalam jadual hariannya. Keadaan ini boleh menimbulkan rasa tidak selamat lagi dan seterusnya perasan cemburu.

2.Apabila hasil aktiviti yang dilakukannya itu tidak membawa keuntungan bersama. Dalam lain perkataan, hasil aktivitinya itu tidak ikut menguntungkan kita.

3.Apabila dia membuat aktiviti-aktiviti itu tanpa mengambil kira kepentingan kita. Ertinya, dia hanya mementingkan kepentingannya sendiri sahaja. Ataupun, dia lebih banyak mengutamakan kepentingannya daripada kepentingan kita.

Cemburu Buta

Ramai lelaki tidak faham mengapa isteri mereka sangat cemburu kepada mereka. Mereka juga tidak selesa dengan keadaan di mana mereka dicemburui isteri.

Walaupun emosi cemburu dialami baik oleh lelaki mahupun wanita, tetapi tingkah laku cemburu lelaki dan wanita mempunyai perbezaan di sana sini. Cara-cara mereka mengalami perasaan cemburu itu juga ada perbezaannya. Lazimnya, wanita lebih banyak merasakan emosi cemburu daripada lelaki.

Cemburu ialah salah satu punca konflik yang serius antara suami isteri. Perasaan cemburu timbul apabila kita berasa perkahwinan kita sedang menghadapi ancaman. Kita berasa ada kemungkinan kita akan kehilangan suatu perhubungan yang sangat besar maknanya kepada diri kita. Dan perkahwinan adalah suatu perhubungan yang sangat besar ertinya kepada kita. Kehilangan itu pula adalah kehilangan kepada pihak lain. Jadi, adanya pihak lain adalah pra syarat kepada perasaan cemburu. Kalau tidak ada pihak lain, kita tidak akan cemburu. Sebagai contoh, apabila kita kehilangan perhubungan itu kerana pasangan kita meninggal dunia, ataupun pergi bertugas di tempat lain, ataupun meninggalkan kita tanpa dia menjalin hubungan baru dengan orang lain, maka kita tidak berasa cemburu kepada kehilangannya.

Daripada satu sudut, cemburu mestilah didahului oleh wujudnya rasa terancam, dan ancaman itu mesti datang daripada pihak lain, iaitu yang diistilahkan sebagai `pesaing’. Salah satu punca tercetusnya rasa cemburu adalah apabila kita mengesyaki kasih sayang dan perhatian yang kita terima selama ini daripada pasangan kita akan diterima oleh orang lain, iaitu pesaing kita.

Apabila kita kehilangan pasangan tetapi bukan kepada pesaing lain, maka kehilangan tidak menimbulkan rasa cemburu. Sebagai contoh, kita tidak mengalami rasa cemburu apabila kita kehilangan pasangan kerana dia pindah bertugas ke tempat lain, meninggal dunia, atau kita bercerai tetapi pada waktu itu dia tidak mempunyai hubungan dengan orang lain. Jadi, ancaman itu mesti datang daripada pesaing. Jadi cemburu sentiasa melibatkan hubungan tiga segi.

Ancaman yang kita alami itu mungkin setakat suatu ketakutan semata-mata. Ketakutan itu mungkin tidak mempunyai asas sama sekali. Asal sahaja kita berasa takut kita mungkin akan kehilangan pasangan kita kepada orang lain, maka kita akan mengalami rasa cemburu.

Ketakutan itu mungkin juga ketakutan yang betul-betul ada kerana ancaman itu sedang berlaku, ataupun ancaman itu telah berlaku pada masa lalu. Sebagai contoh, kita tahu dengan pasti pasangan kita mempunyai hubungan dengan orang lain, ataupun, pada masa lalu dia pernah mempunyai hubungan seperti itu dan dia pernah meninggalkan kita buat sementara.

Cemburu sentiasa melibatkan ancaman kehilangan perhatian yang selama ini kita terima daripada pasangan kita. Perhatian itu ialah perhatian yang penting bagi pembentukan konsep-diri kita. Sebagai contoh, perhatian yang diterima oleh seorang wanita daripada suaminya menentukan bagaimana wanita itu menilai dirinya sendiri. Umpamanya, hasil daripada perhatian daripada suaminya si wanita menganggap dirinya seorang isteri yang menarik, baik, istimewa, dihargai, mulia dan lain-lain lagi konsep-diri. Daripada satu sudut lain, pasangan kita itu sendiri merupakan orang yang sangat penting bagi konsep-diri kita. Sebagai contoh, kita berasa diri kita seorang wanita yang mulia kerana suami kita adalah seorang yang mempunyai status tinggi dalam masyarakat. Sebagai contoh, kita menjadi ‘datin’ kerana menumpang status suami kita sebagai ‘datuk.’

Tanpa memiliki perkahwinan, kita tidak mungkin menjadi seorang yang dipanggil `teman hidup’ ataupun `isteri’. Kita sangat takut kehilangan perhatian yang diberikan oleh suami kita kerana tanpa perhatian itu kita tidak lagi boleh menganggap diri kita seorang `isteri yang dikasihi’. Kita juga takut kehilangan suami kita itu sendiri kepada orang lain, kerana dengan kehilangannya, kita kehilangan satu lagi sumber utama konsep-diri kita sendiri. Dalam erti kata yang lain, tanpa kedua-duanya, kita tidak lagi boleh mengatakan diri kita seorang wanita yang istimewa ataupun mulia. Tanpa mempunyai seorang ‘datuk’ sebagai suami, kita kehilangan kemuliaan status sebagai seorang ‘datin.’

Selama ini, kerana kita menerima perhatiannya, maka dengan itu kita terus-menerus dapat menganggap diri kita sebagai seorang isteri yang baik dan pandai menjaga suami. Beberapa ciri pada peribadi suami kita mungkin membantu kita menjadi lebih baik daripada kita yang
dahulu. Sebagai contoh, kerana suami kita seorang yang berpendidikan dan berstatus tinggi dalam masyarakat, hasilnya kita banyak belajar daripadanya cara-cara orang kelas atasan bercakap dan bercampur gaul. Dengan hal yang demikian kita mula menganggap diri kita adalah salah seorang daripada anggota kelas atasan itu. Oleh kerana dia mendapat banyak penghormatan, maka kita sendiri ikut menerima penghormatan itu semata-mata kerana kita adalah isterinya. Ertinya, perkahwinan kita itu sangat besar peranannya dalam membentuk siapa diri kita sekarang. Maka itulah sebabnya, sebarang ancaman terhadap perkahwinan itu sangat menghancurkan diri kita.

Jadi, ditinjau daripada satu segi, inti pati cemburu adalah keperluan untuk diperlukan. Kita memerlukan perkahwinan itu kerana ia mencipta konsep-diri kita sekarang. Setengah-setengah aspek daripada konsep-diri kita hanya muncul dalam konteks hubungan perkahwinan. Kita mungkin melihat diri sendiri sebagai seorang pasangan yang menyeronokkan ataupun sebagai seorang isteri yang solehah. Kita tidak mungkin menjadi seorang isteri yang menyeronokkan tanpa adanya suami yang seronok, dan begitu juga, gelaran isteri yang solehah tidak ada makna jika tidak ada suami.

Kita juga memerlukan perkahwinan kerana ia mengesahkan aspek-aspek tertentu pada diri kita. Sebagai contoh, sebelum berkahwin, kita memang yakin kita seorang yang menarik, dan memiliki bakat menjadi isteri yang baik. Maka, kehadiran seorang suami mengesahkan kepada kita keyakinan kita itu betul. Sekiranya tidak ada siapa yang memerlukan diri kita, maka konsep-diri kita tidak mungkin serupa seperti konsep-diri kita sekarang. Tanpa seorang suami, kita tidak mungkin melihat diri kita sebagai seorang `isteri’. Jadi, perkahwinanlah yang mencipta konsep-diri kita sebagai pasangan yang menyeronokkan dan isteri yang solehah. Oleh itu apabila seseorang wanita kehilangan suami, dia bukan hanya kehilangan suami dan sebahagian daripada harta kekayaan, dia sebenarnya kehilangan lebih banyak daripada itu. Oleh itu kita dapat memahami mengapa wanita sangat takut kehilangan suami.

Cemburu mungkin timbul walaupun punca ancaman itu tidak wujud, ataupun punca itu tidak jelas, iaitu punca itu mungkin betul mungkin tidak, ataupun ancaman itu memang betul-betul wujud dan kesan-kesan ancaman itu sudah pun dialami.

One thought on “Cemburu tanda sayang?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>