Jaga pemakanan si manja

Oleh ZUHAYATI YAZID


 
  RANGSANG semula pemakanan si kecil setelah sembuh dari demam. – Gambar hiasan

BAGI menjamin kesihatan si kecil, makanan yang mencukupi dan berzat amat penting. Sekiranya ‘buah hati’ sering diserang penyakit, pasti selera makan juga akan terganggu.  Bagi merangsang selera mereka sehingga sembuh, perubahan cara pemakanan dan sumber zat makanan yang diberikan amat penting dan perlu diberi perhatian.   

Demam   

  • Kanak-kanak yang demam biasanya akan hilang selera untuk menikmati makanan pejal, selain itu tubuh mereka juga kehilangan air.  
  • Kanak-kanak yang kekurangan air dalam tubuh biasanya tidak banyak mengeluarkan kencing dan warna air kencingnya juga berubah menjadi lebih pekat.  
  • Mereka mesti digalakkan meminum lebih air seperti jus oren, ribena atau barli.  
  • Harus diingatkan bagi mengelak si kecil muntah elakkan daripada memaksa mereka minum dengan kuantiti yang banyak.  
  • Lebih baik sekiranya memberikan mereka minum sedikit demi sedikit tetapi secara kerap.  
  • Sekiranya si kecil lapar, cuba ubah seleranya kepada masakan yang berkuah seperti sup.  
  • Malah roti yang dicampur dengan telur separuh masak bersama kicap juga disyorkan untuk diberikan kepada si kecil.  

Muntah-muntah   

  • Kanak-kanak yang muntah selalunya rumit diberi minum atau makan, lebih-lebih lagi ubat yang diberikan oleh doktor.  
  • Bagaimanapun, mereka boleh digalakkan untuk menghisap air batu atau ais yang telah dihancurkan.  
  • Sekiranya boleh, mereka digalakkan minum air melalui straw secara sedikit demi sedikit.  
  • Apabila dilihat mereka tidak muntah lagi, bolehlah mereka minum dengan banyak.  

Cirit-birit   

  • Bayi yang mengalami cirit-birit berisiko mendapat dehidrasi dan boleh membahayakan nyawa. Sekiranya si kecil kelihatan keletihan bernafas dengan kencang, mata seolah-olah tenggelam atau terdapat darah atau nanah dalam najis segeralah berjumpa doktor.  
  • Penyakit cirit-birit yang menyerang kanak-kanak sebenarnya berpunca daripada virus dan boleh dirawat dengan memberikan minuman larutan garam bercampur gula.  
  • Bagi bayi-bayi yang menyusu ibu pula bolehlah diteruskan manakala bayi yang minum susu formula hendaklah dicairkan sedikit bancuhannya atau diberhentikan serta -merta sekiranya bertambah serius.  

Sakit tekak dan batuk   

  • Kanak-kanak yang diserang penyakit radang tonsil biasanya berasa sakit apabila menelan sesuatu jenis makanan.  
  • Bagaimanapun tidak perlu bimbang dengan jangkitan ini kerana ia boleh surut dalam beberapa hari dan diet yang biasa boleh dimulakan kembali secara beransur-ansur.

 sumber: Utusan Malaysia :Kesihatan

Leave a Reply

Archives
Affiliates
Networkedblog