Akukah berubah, atau zaman yang berubah


“Minum apa tuh?”..”Ribena, mak kata minum nih bagus”..”Minta sikit”..”Boleh..sikit saja tau”..Hmmmmm.

A & W, A & W, A&W

Tulah 2 iklan terkenal zaman aku sekolah dahulu, dan masih lagi aku ingati hingga ke hari ini. Aku tau Ribena tu sirap dan A&W tuh ayam, cuma tak pernah terdetik dihatiku nak minta pada ayah untuk membelikannya. Mungkin sebab dah biasa, makan jer apa yang ada. Apa aku nak kisah sangat, nak makan, beras kami tanam sendiri, nak ikan tangkap jer di sawah, telaga atau parit. Nak sayur petik jer keliling rumah. Bersih dan berzat. Makanan kegemaran aku, ikan keli bakar cicah air asam mempelam, sayur keladi masak asam pedas/masak lemak dan juga kangkung atau pucuk ubi rebus dan ulam daun selum cicah sambal belacan. Setiap pagi mak mesti buat kuih untuk sarapan dan lebihnya untuk dibawa bekal ke sawah.

Pernah sekali jer aku minta, nak makan roti (bukannya Gardenia atau High5 pun). Arwah ayah kata kita tak boleh dapatkan roti tuh hari-hari dan kalau beli pun tak tahan lama sebab rumah kita tiada peti sejuk. Jangankan peti sejuk, lampu kalimantang dan air paip pun tak ada semasa arwah ayah masih ada. Arwah ayah menyahut panggilan Ilahi ketika aku berusia 12 tahun. Setahun lepas itu barulah ada bekalan elektrik. Barulah aku kenal apa itu iron dan juga rice cooker.

Tingkatan 4 aku ke Perlis, kemudian ke Kedah semasa matrikulasi dan lepas tuh selama 5 tahun di Pulau Mutiara. Masa tuh mak juga masuk universiti di Pondok Sungai Bakap. Tamat belajar di Universiti aku berdaftar sebagai warga kota. Dari setinggarden di Taman Datu’ Haron, ke Seksyen 17 Petaling Jaya, Pinggiran Batu Caves, Seksyen 25 Shah Alam, hinggalah ke Kepong bila aku bergelar isteri orang. Sedar tak sedar, dah jadi tradisi, lepas gaji jer baru beli semua keperluan dapur di pasaraya besar. Sebut jer jenama apa, semuanya ada. Yang utama pilihanku pastilah keluaran bumiputra, yang lazat dan bermutu tinggi. Tanpa aku sedari, KESETIAAN JENAMA menjadi sebahagian dari hidupku. Sesekali pulang ke kampung, guna jer apa jer barang yang mak dah beli. Pada mak tiada istilah jenama, colgate adalah ubat gigi, sabun lux adalah sabum mandi, sabun fab adalah sabun basuh dan maggi adalah mee segera. Opss ada satu lagi, chekedis..adalah untuk semua jenis jajan atau snack.

Sehari sebelum raya hari, mak minta aku belikan ayam, serbuk kari dan serbuk kunyit dipasar sari yang di adakah setiap hari ahad. Pastinya aku nak beli jenama kegemaranku. Puas aku menyelongkar kotak apek yang menjual barang dapur tuh, tapi yang ada cumalah serbuk kari dan serbuk kunyit ‘cap ayam’. Mahu tak mahu terpaksalah beli juga. Dalam perjalanan balik ke KL pula, my hubby minta belikan jajan jenama M dan air jenama D. Puasku cari, tapi jenama yang diminta TIADA. Untuk tidak menghampakan beli jugalah jenama lain janji halal. Menyebabkan aku terfikir seketika, akukah yang telah berubah kerana begitu mementingkan jenama product makanan atau zaman yang telah berubah. Yang nyata hingga sekarang A&W masih belum ada restaurant dipekan-pekan kecil berhampiran kampungku. Cuma tak pasti apakah air Ribena ada di kedai2 runcit yang berhampiran.

Leave a Reply

Archives
Affiliates
Networkedblog