Kasih disemai, sayang dituai, Semakin hari semakin sayang

Tanggal 21 Jun 2008, sekali lagi ayah adam dan ibu adam meninggalkan dunia keibubapaan dan memasuki dunia suami isteri. Awal pagi lagi, adam telah dihantar ke taska dan kami bergerak dari kepong ke Shah Alam untuk menyertai Kursus Mahligai Kasih yang akan dikendalikan oleh “Pak Utih” anjuran JIM Selangor di Dewan Sri Impian, Hotel UiTM Shah Alam.

Menyelusuri kenangan silam, kira kira 3 tahun yang lalu, pada 19 Jun 2005, kami menanda tangani satu memorandum persefahaman untuk menghidupkan nilai nilai yang kami kongsi bersama demi mencapai wawasan keluarga yang abadi untuk membelai kasih sayang di antara kami suami isteri. Manifestasi hasil dari Kursus Mahligai Kasih 2005 dan sepanjang tempoh itu, ayah adam dan ibu adam cuba menjadi pasangan yang mengamalkan nilai nilai yang kami fikirkan terbaik. Bagaikan lirik nyanyian P Ramlee, “Sedangkan lidah lagi tergigit, ini kan pula suami isteri” , Gelora badai ribut taufan memang melanda namun semuanya telah diduga dan dijangka. Kursus Mahligai Kasih 2005 telah memberikan sedikit tips dan panduan untuk menghadapinya. Dalam kursus tersebut, kami sedar bahawa kami memang berbeza. Ayah adam seorang lelaki dan ibu adam seorang wanita yang mempunyai hardware dan software yang tersendiri. Hanya melalui komunikasi yang effektif sahaja, kita boleh mengenali antara satu sama lagi. “Tak kenal maka tak cinta”, rasanya kami telah buktikan bahawa memang betul. Sepanjang tempoh 2 tahun kami bercinta sebagai sepasang suami isteri yang lebih ceria, lebih menyayangi dan lebih memahami antara satu sama lain.

Setelah 2 tahun, kami diamanahkan dengan seorang bayi comel, maka bermula perubahan dalam keluarga dengan gelaran tambahan ibu dan ayah adam. Dari “sayang” ke “cik Kiah@ibu adam” dan dari “abang” ke “ayah adam”. Pejam celik dah hampir setahun kami bergelar ayah dan ibu. Sewak tu ayah adam menerima emel mempelawa ayah adam menyertai Kursus Mahligai Kasih 2008, hati ayah tergerak untuk kembali semula ke tahun 2005. Kembali semula ke kelas yang mengajar kami erti kehidupan suami isteri. Dan ketika ayah adam mencadangkan kepada ibu adam, tak sangka ibu adam bersetuju dengan cadangan ayah adam agar kami meng”refresh” kembali apa yang kami pelajari 2 tahun yang lalu.

Sekali lagi semalam kami bertemu dengan penceramah yang sama, “Pak Utih” namun dengan peserta yang berbeza. Mungkin kerana kami sibuk dengan peranan sebagai ayah dan ibu adam maka kursus kali ini menyemarakkan semula hubungan kami sebagai suami dan isteri. Mengingatkan kami tentang nilai nilai yang penting dalam cinta kami iaitu menyayangi, menghargai dan menghormati antara satu sama lain.

Dalam salah satu sesi kursus berkenaan, kami dikehendaki menulis@menceritakan pengorbanan yang belum pernah kami ceritakan. Dalam sesi tersebut, ayah adam tak mampu nak tulis apa apa pun. Ketika kami diarahkan untuk berkongsi antara satu sama lagi, ayah adam secara spontan memulakan bicara,

“Pada hari ini, ku ceritakan satu peristiwa pengorbananmu yang belum pernah ku ceritakan padamu. Ianya amat bernilai pada diriku. Kejadian berlaku pada awal tahun 2007 ketika kami berusaha untuk memperolehi zuriat dengan kaedah IVF dan ….”

Ayah adam tidak mampu nak meneruskannya dan begitu juga dengan ibu adam. Air mata kami bercucuran tanpa dapat dibendung. Ayah adam sedar dan ayah adam tahu , begitu juga dengan ibu adam sedar dan tahu betapa pengorbanan masing masing dalam menempuhi detik dan ketika itu. Bermula dengan proses IVF, detik detik cemas keguguran bayi yang dikandung oleh ibu adam dan kemuncak kepada pengorbanan tersebut dengan kehadiran bayi yang bernama Adam Harith dalam kehidupan kami. Zahir tak terucap namun masing masing mengerti pengorbanan yang telah dilakukan.

Terima kasih kepada Pak Utih di atas semua tips yang diberi. Insya Allah, kami akan membina Mahligai Kasih kami sendiri. Kasih disemai, sayang dituai, Semakin hari semakin sayang.

Antara gambar gambar yang diambil ketika Kursus Mahligai Kasih.

Hmmm ibu bergambar dengan siapa tu ??? Macam pernah lihat aje.. Kat mana ya??

Dua suami macho ….. Tu dia pak utih …. ( 3 kali jumpa tapi kali ini baru dapat bergambar bersama)

Leave a Reply

Archives
Affiliates
Networkedblog